BAITULMAKDIS: Pertempuran berterusan dan keadaan huru-hara di wilayah Palestin yang dikepung oleh tentera Israel telah menyebabkan bekalan makanan dan ubat-ubatan penting bertimbun di lintasan Gaza dan tidak dapat diagihkan dalam musim panas kini dengan suhu kian meningkat.
Ini berlaku beberapa hari selepas Israel mengumumkan bahawa ia akan menghentikan sementara pertempuran di sekitar laluan penting di selatan Gaza setiap hari bagi membolehkan penghantaran lebih banyak bekalan bantuan ke Gaza.
Konflik lebih lapan bulan itu telah mengakibatkan keadaan kemanusiaan yang semakin buruk di Jaluran Gaza, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali memberi amaran mengenai krisis kebuluran.
Keadaan terdesak yang dihadapi 2.4 juta rakyat Palestin di Gaza menjadi bertambah perit dengan pertempuran semakin sengit, mencetuskan amaran daripada pelbagai agensi bantuan kemanusiaan bahawa mereka tidak dapat menghantar bekalan makanan harian, ubat-ubatan dan air bersih kepada rakyat Palestin.
Israel menyatakan ia membenarkan kemasukan bekalan bantuan ke Gaza, dan menggesa agensi bantuan supaya menggiatkan kerja penghantaran.
“Kegagalan ketenteraman dan keselamatan awam kini semakin membahayakan pekerja dan operasi kemanusiaan di Gaza.
“Selain pertempuran, kegiatan jenayah dan risiko kecurian dan rompakan telah menghalang kiriman bantuan kemanusiaan ke lokasi penting,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB dalam satu taklimat pada 21 Jun.
Namun, Israel menyatakan ia telah membenarkan ratusan trak bantuan kemanusiaan masuk ke selatan Gaza, dan menyalahkan PBB atas stok bekalan yang bertimbun di sempadan Gaza.
Israel berkongsi rakaman udara yang menunjukkan lori kontena yang beratur di Karm Abu Salem (Kerem Shalom) di bahagian Gaza.
Dengan keadaan ketenteraman awam yang kian terjejas dan semakin porak-peranda di Gaza, PBB menyatakan ia tidak dapat mengambil bekalan bantuan dari Karm Abu Salem sejak 18 Jun, menyebabkan kiriman bekalan penting ke Gaza tersekat.
Seorang timbalan jurucakap PBB pada minggu ini berkata lintasan Gaza “beroperasi dengan fungsi terhad, antaranya disebabkan pertempuran di kawasan itu”.
Ketua delegasi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Rafah, Encik William Schomburg, berkata kerja mengatur penghantaran lori dari Mesir cukup rumit.
“Ia bukan hanya soal ketenteraman awam, tetapi hakikatnya anda sering perlu melintasi medan perang,” katanya dalam satu taklimat dalam talian.
Beliau menambah bahawa kawasan berhampiran Karm Abu Salem amat berbahaya.
“Malah terdapat roket yang dilancarkan dari kawasan berhampiran. Jadi seluruh kawasan ini amat rumit untuk dilalui atas sebab berkaitan permusuhan dan keselamatan,” jelasnya. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg