Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jeti sementara Gaza tidak dapat berfungsi dek laut bergelora

Tentera AS akan pindahkan sementara jeti untuk penghantaran bantuan ke Gaza
Jun 24, 2024 | 5:30 AM
Gaza
Sebuah kapal kelihatan berlabuh berhampiran jeti terapung di luar pantai Gaza Mei lalu. - Foto EPA-EFE

Tentera Amerika Syarikat berkata pada 14 Jun bahawa ia akan memindahkan sementara sebuah jeti yang dibina di luar pantai Gaza, yang digunakan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan di kawasan yang dilanda perang Israel-Hamas.

Jeti sementara itu musnah dan baru seminggu dibaiki selepas dipukul badai.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan berlaku “bencana kebuluran” dan kekurangan zat makanan dalam kalangan penduduk Palestin, justeru pelabuhan sementara itu amat diperlukan, kata Komando Pusat Amerika, dalam catatan di media sosial.

Ia menyatakan bahawa jeti itu akan dipindahkan ke Israel.

Kenyataan itu menambah bahawa jeti itu akan “dilabuhkan semula dengan pantas” di luar pantai Gaza apabila keadaan laut yang bergelora itu mulai reda.

Perpindahan itu merupakan tamparan terkini kepada usaha Amerika untuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan melalui jalan laut ke Gaza.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, mengumumkan pembinaan jeti itu pada Mac.

Tentera Amerika mula membinanya pada April dan ia berlabuh di luar pantai Gaza pada pertengahan Mei kerana aliran makanan dan bekalan melalui sempadan darat, sebahagian besarnya terhenti berikutan serangan Israel.

Penghantaran bantuan melalui laut bermula sejurus selepas dermaga mula beroperasi, tetapi tidak dapat memenuhi keperluan untuk mengatasi krisis kebuluran dan kekurangan yang mengejutkan di Gaza.

Jeti itu rosak ekoran laut bergelora pada akhir Mei dan khidmatnya terpaksa dihentikan.

Ia telah dibaiki awal bulan Jun ini, tetapi hanya berfungsi sebentar sahaja.

Pengumuman terkini bahawa ia akan menghentikan operasi, dibuat beberapa hari selepas jurucakap Pentagon, Cik Sabrina Singh, berkata bahawa jeti itu berfungsi semula selepas rehat “gara-gara keadaan laut yang bergelora.”

Sejak Mei, kira-kira 7.7 ton bantuan telah dibawa melalui koridor maritim, untuk diedarkan di Gaza, kata Komando Pusat Amerika itu dalam kenyataannya pada 14 Jun.

Tetapi berapa banyak bekalan itu sampai ke Gaza masih tidak jelas.

Penghantaran dari jeti ke gudang di Gaza juga menghadapi halangan.

Cik Cindy McCain, pengarah eksekutif Program Makanan Sedunia, berkata pada 16 Jun bahawa kerja agensi itu berhampiran jeti telah dihentikan buat sementara kerana beberapa kemudahannya terjejas semasa Israel bertindak untuk menyelamatkan empat tebusan pada 8 Jun.

Operasi itu telah membunuh berpuluh-puluh rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Saya bimbang tentang keselamatan kakitangan kami,” kata Cik McCain kepada CBS News.

Program Makanan Sedunia, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan ulasan selanjutnya daripada mereka pada 14 Jun. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg