Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB gesa Israel pikul tanggungjawab atas keselamatan bantuan di Gaza

Jun 22, 2024 | 2:40 PM
Ketua PBB, Encik Antonio Guterres (tiada dalam gambar), berkata kebanyakan trak dengan muatan bantuan kemanusiaan di dalam Gaza kini dijarah.
Ketua PBB, Encik Antonio Guterres (tiada dalam gambar), berkata kebanyakan trak dengan muatan bantuan kemanusiaan di dalam Gaza kini dijarah. - Foto REUTERS

NEW YORK: Menjadi tanggungjawab Israel, sebagai kuasa penjajah di Jaluran Gaza, untuk memulihkan ketenteraman dan keselamatan awam di wilayah Palestin itu supaya bantuan kemanusiaan dapat dihulurkan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 Jun.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, berkata terdapat “pelanggaran undang-undang sepenuhnya” di Gaza di mana PBB telah memberi amaran masalah kebuluran akan menimpa 2.3 juta penduduk selepas lebih lapan bulan perang antara Israel dengan kumpulan Hamas Palestin.

“Kebanyakan trak dengan bantuan kemanusiaan di dalam Gaza kini dirompak,” kata Encik Guterres kepada pemberita pada 21 Jun.

Beliau menambah bahawa Israel menghalang PBB daripada menggunakan polis awam Palestin untuk keselamatan bantuan.

“Terdapat huru-hara di Gaza dan tiada pihak berkuasa di kebanyakan wilayah.”

Tentera Israel mengumumkan pada 16 Jun bahawa akan ada masa tenang setiap hari, dalam serangannya di sepanjang jalan utama di selatan Gaza, yang digunakan oleh PBB dan kumpulan bantuan untuk mengakses lintasan Kerem Shalom dari Israel.

Tetapi jurucakap PBB, Encik Farhan Haq, berkata pada 21 Jun bahawa di samping pertempuran antara Israel dan Hamas, risiko jenayah telah “secara berkesan menghalang akses kemanusiaan” ke kawasan kritikal termasuk Kerem Shalom.

“Sebagai kuasa penjajah, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa Israel untuk memulihkan ketenteraman dan keselamatan awam sejauh mungkin, dan memudahkan akses kemanusiaan yang selamat supaya bantuan sampai kepada orang awam yang memerlukan,” kata Encik Haq.

Duta Israel di PBB, Encik Gilad Erdan, enggan mengulas.

Hamas berkuasa di Gaza pada 2006 selepas askar dan peneroka Israel berundur pada 2005, tetapi ia masih dianggap sebagai wilayah yang diduduki Israel oleh PBB. Israel mengawal akses ke Gaza.

“Kami melihat kesukaran yang melampau untuk mengagih bantuan di dalam Gaza,” kata Encik Guterres.

“Mesti ada mekanisme yang menjamin bahawa terdapat undang-undang dan perintah yang minimum bagi membolehkan pengedaran (bantuan) itu dilaksanakan.”

“Itulah sebabnya gencatan senjata amat diperlukan... untuk diatur dengan betul dan melaksanakan rancangan untuk tujuan itu,” katanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg