Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas menteri agama Indonesia nafi terima wang dalam kes kuota tambahan haji
JAKARTA: Bekas Menteri Agama Indonesia, Encik Yaqut Cholil Qoumas, menafikan menerima sebarang wang dalam kes rasuah berkaitan pengagihan kuota tambahan haji, selepas pendakwa raya mendakwa beliau menerima AS$271,500 ($347,709) daripada pengendali pelancongan swasta.
Encik Yaqut, defendan utama dalam kes itu, menafikan tuduhan tersebut selepas perbicaraannya bermula di Mahkamah Rasuah Jakarta pada 11 Ogos.
Pendakwa raya daripada Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) menuduh beliau menyalahgunakan kuasa dalam mengurus dan mengagihkan kuota tambahan haji pada 2023 dan 2024 sehingga menguntungkan dirinya, pegawai kementerian serta syarikat pelancongan swasta.
“Terus terang, saya tidak memahami dakwaan itu kerana orang lain yang menerima wang, tetapi saya pula yang didakwa berdasarkan andaian,” kata Encik Yaqut kepada wartawan selepas perbicaraan.
“Sekali lagi, saya mahu menegaskan bahawa saya tidak pernah menerima walau satu rupiah pun daripada kes yang menyebabkan saya berada dalam keadaan ini,” katanya.
Kes itu tertumpu pada keputusan Kementerian Agama membahagikan kuota tambahan haji yang diberikan Arab Saudi secara sama rata antara program haji biasa yang dikendalikan pemerintah dengan program haji khusus yang diuruskan syarikat pelancongan swasta.
Indonesia menerima tambahan 8,000 tempat bagi musim haji 2023 dan 20,000 lagi pada 2024, selain kuota tahunan sekitar 221,000 jemaah ketika itu.
Bagi tambahan 20,000 tempat pada 2024, sebanyak 10,000 diperuntukkan kepada jemaah haji biasa dan baki 10,000 kepada haji khusus.
KPK mendakwa pembahagian 50-50 itu melanggar undang-undang pengurusan haji Indonesia yang menetapkan sekitar 92 peratus kuota diperuntukkan kepada jemaah biasa dan lapan peratus kepada program haji khusus.
Menurut pendakwa raya, pemberian bahagian lebih besar kepada program haji khusus membolehkan syarikat pelancongan swasta memperoleh lebih banyak tempat untuk dijual kepada pelanggan yang sanggup membayar harga lebih tinggi bagi mendapatkan tempoh menunggu lebih singkat.
Isu kuota haji amat sensitif di Indonesia, negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia, kerana jutaan bakal jemaah terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk menunaikan ibadah itu.
Di sesetengah wilayah, tempoh menunggu bagi program haji biasa boleh melebihi 15 tahun, malah mencecah lebih dua dekad.
Pendakwa raya mendakwa Encik Yaqut berpakat dengan Pengarah Operasi syarikat pelancongan Maktour, Encik Ismail Adham, serta Encik Asrul Azis Taba, yang mengetuai Persatuan Penyelenggara Haji dan Umrah Indonesia (Kesthuri), bagi meningkatkan bahagian kuota tambahan yang diberikan kepada pengendali swasta melebihi had ditetapkan.
Menurut pendakwa raya, skim itu membolehkan syarikat pelancongan memperoleh keuntungan tambahan melalui penjualan tempat haji dan bayaran tambahan yang disifatkan sebagai “yuran percepatan”.
Bekas kakitangan khas Encik Yaqut, Encik Ishfah Abidal Aziz, turut didakwa terbabit sebagai orang tengah yang menyampaikan arahan berkaitan pengagihan kuota kepada syarikat pelancongan serta pihak berkaitan di Arab Saudi.
Pendakwa raya mendakwa Encik Yaqut menerima AS$271,500 daripada syarikat pelancongan berhubung pengagihan kuota itu, manakala Encik Ishfah didakwa menerima sejumlah AS$23.7 juta.
Sebanyak 313 syarikat pelancongan swasta pula didakwa memperoleh keuntungan tambahan keseluruhan 438 bilion rupiah ($33.6 juta) menerusi skim berkenaan.
Berdasarkan audit Badan Pemeriksa Kewangan (BPK), pendakwa raya menganggarkan pengagihan kuota itu menyebabkan kerugian negara sebanyak 622 bilion rupiah ($47.8 juta).
Pendakwa raya, Encik Fahmi Idris, berkata sebahagian kerugian itu dikaitkan dengan ribuan bakal jemaah haji biasa yang kehilangan peluang mendapatkan tempat yang menurut pihak pendakwa sepatutnya diperuntukkan kepada mereka, tetapi diberikan kepada pengendali haji swasta.
Encik Yaqut mempertikaikan dakwaan itu dan meminta semua pihak yang didakwa mendapat keuntungan daripada pengagihan serta penjualan kuota tambahan tersebut dibawa ke mahkamah.
“Mereka yang memulakan usaha untuk memperoleh keuntungan daripada kuota, mereka yang memperdagangkan kuota dan menerima bayaran, merekalah yang sepatutnya dibawa ke sini,” katanya.
“Sesiapa yang mendapat manfaat dan menambah kekayaan mereka harus dibawa ke mahkamah.”
Encik Yaqut berkhidmat sebagai Menteri Agama dari 2020 hingga 2024 semasa pentadbiran mantan Presiden Joko Widodo.
Beliau didakwa mengikut peruntukan Undang-Undang Pencegahan dan Pembanterasan Rasuah serta Kanun Keseksaan atas tuduhan menyalahgunakan kuasa untuk memperkayakan diri sendiri, individu atau syarikat lain sehingga menyebabkan kerugian kepada negara.
Encik Ismail, Encik Asrul dan Encik Ishfah turut berdepan dakwaan berkaitan kes sama.
Peguam Encik Yaqut, Encik Dodi Abdulkadir, berkata pihak pendakwa gagal menunjukkan bahawa anak guamnya mempunyai niat jenayah untuk mengambil kesempatan daripada kuota tambahan haji.
Beliau turut mendakwa pihak pendakwa tidak menjelaskan dengan jelas sumber AS$271,500 yang didakwa diterima Encik Yaqut.
“Kenapa kesalahan yang dilakukan orang lain dipersalahkan kepada Yaqut?” katanya.
Perbicaraan akan bersambung minggu depan dengan pasukan peguam Encik Yaqut dijangka mengemukakan bantahan terhadap pertuduhan yang dibacakan pihak pendakwa. - Agensi berita
