JAKARTA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia sedang mempertingkat siasatan terhadap dakwaan rasuah berkaitan pengagihan kuota haji khas 2024.
Ia tidak menolak kemungkinan akan memanggil mantan Menteri Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas, atau lebih dikenali sebagai Gus Yaqut.
Kes itu masih berada di peringkat siasatan awal dan memberi tumpuan kepada kemungkinan penyelewengan dalam cara Kementerian Agama mengagihkan kuota tambahan haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.
KPK mengesahkan beberapa individu telah dipanggil memberikan keterangan, termasuk pendakwah terkenal, Ustaz Khalid Basalamah.
Jurucakap KPK, Encik Budi Prasetyo berkata, siasatan sedang berjalan.
“Yang pasti, KPK terus menjalankan siasatan dan meminta keterangan daripada pihak yang berkaitan,” katanya dalam sidang media di Gedung Merah Putih KPK, Jakarta Selatan, pada 2 Julai.
“Saudara Khalid telah diminta hadir dan memberikan maklumat mengenai pengurusan dana haji.
“Beliau memberi kerjasama yang baik dan keterangannya sangat membantu penyiasat,” jelas Encik Budi.
Walaupun beliau enggan memperincikan maklumat lanjut mengenai individu yang telah disiasat, Encik Budi menegaskan bahawa kes itu sedang menuju ke fasa seterusnya.
“Kami komited untuk mengumpulkan bukti yang kukuh agar kes ini dapat dibawa ke peringkat siasatan rasmi sepenuhnya,” katanya.
Siasatan itu turut menarik perhatian awam dan ahli politik, termasuk Anggota Parlimen, Encik Nasir Djamil, yang lantang mendesak agar isu itu diberi perhatian serius.
Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sebelum ini telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Haji bagi menyiasat pelbagai isu yang berlaku semasa musim haji 2024, termasuk dakwaan wujudnya jual beli kuota haji khas.
Encik Yaqut, yang berkhidmat sebagai Menteri Agama semasa pentadbiran Presiden Joko Widodo, masih belum tampil atau memberikan kenyataan rasmi.
Malah, beliau dilaporkan tidak hadir ke sesi persidangan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Khas Haji tersebut.
Akaun media sosial beliau juga tidak menunjukkan sebarang kegiatan sejak 12 Mei 2025.
Menurut laporan pertengahan 2024, beberapa gabungan masyarakat telah memfail laporan kepada KPK mengenai dakwaan salah guna kuota haji semasa era pentadbiran Encik Yaqut.
Laporan itu turut menyebut kemungkinan pelanggaran terhadap Undang-Undang Haji dan Umrah 2019, yang didakwa telah diabaikan dalam proses pengagihan kuota tersebut.
Timbalan Ketua KPK, Encik Asep Guntur, mengesahkan agensi itu sedang meneliti pengendalian kuota oleh Kementerian Agama, termasuk penyaluran 20,000 kuota tambahan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.
Daripada jumlah itu, 10,000 diberikan kepada program haji biasa dan baki 10,000 kepada program haji khas.
Jurucakap KPK, Encik Tessa Mahardhika, berkata pihaknya telah menerima lima laporan berasingan berkaitan dakwaan rasuah dalam penentuan kuota haji.
“Jika dokumen yang kami terima lengkap, kes ini akan diteruskan ke fasa siasatan penuh, sama ada oleh KPK sendiri atau agensi penguat kuasa lain,” katanya.
Menurutnya, pengurusan dana dan operasi haji melibatkan wang awam dan perlu diaudit secara berkala.
Sebarang penyelewengan boleh dijadikan asas untuk tindakan undang-undang.
“Jika terdapat penyalahgunaan atau ketidakwajaran, KPK, polis atau pejabat pendakwa raya boleh mengambil tindakan lanjut,” tegas Encik Tessa. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg