JAKARTA: Mahkamah Indonesia pada 30 Jun menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas Menteri Pendidikan, Nadiem Makarim, selepas mendapati beliau bersalah dalam kes rasuah berkaitan program perolehan komputer riba Chromebook untuk sekolah.

Nadiem, 41 tahun, yang juga pengasas bersama syarikat teknologi Gojek, turut didenda 1 bilion rupiah (S$72,105) dan diperintah membayar ganti rugi 809.6 bilion rupiah.

Jika gagal membayar jumlah itu, dia berdepan tambahan hukuman penjara lima tahun.

Keputusan itu menutup salah satu perbicaraan rasuah paling mendapat perhatian di Indonesia, sekali gus menjadi kejatuhan besar bagi usahawan teknologi lulusan Harvard yang pernah dilihat sebagai simbol generasi baharu kepimpinan Indonesia.

Ketua hakim, Encik Purwanto, ketika membacakan keputusan di Mahkamah Jenayah Rasuah Jakarta berkata, dasar perolehan itu terbukti mengandungi unsur salah guna kuasa.

“Cara dan tujuan dasar itu diambil terbukti mengandungi penyalahgunaan kuasa yang bertujuan memberi manfaat secara melawan hukum kepada pihak tertentu,” katanya.

Panel lima hakim mendapati Nadiem “secara sedar dan sengaja mengarahkan dasar perolehan Chromebook” dan tindakannya didorong oleh hasrat “mengukuhkan hubungan perniagaan strategik antara Google dengan syarikat yang diasaskannya”.

Hakim menyifatkan motif itu sebagai “amat tercela” kerana bertentangan dengan sumpah jawatan seorang menteri.

Kes itu berpusat kepada program perolehan kira-kira 1.1 juta komputer riba Chromebook antara 2020 dengan 2022, ketika sekolah di seluruh Indonesia terpaksa beralih kepada pembelajaran dalam talian akibat pandemik Covid-19.

Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman penjara 18 tahun, denda 1 bilion rupiah dan bayaran ganti rugi 5.6 trilion rupiah. Mereka mendakwa perolehan itu menyebabkan kerugian negara sekitar 2.18 trilion rupiah.

Pendakwa juga mendakwa Nadiem memperoleh manfaat peribadi kira-kira 809 bilion rupiah melalui transaksi membabitkan PT Aplikasi Karya Anak Bangsa (PT AKAB), syarikat induk Gojek.

Mereka turut mendakwa pelaburan Google dalam Gojek mempengaruhi keputusan perolehan Chromebook, dakwaan yang ditolak Nadiem.

Google tidak didakwa dalam kes itu.

Nadiem menafikan semua pertuduhan sepanjang perbicaraan dan menyifatkan kes terhadapnya bermotif politik.

Peguamnya berhujah bahawa program itu dilaksanakan dengan niat baik bagi memastikan pendidikan terus berjalan ketika Indonesia berdepan salah satu tempoh paling sukar dalam sejarah moden negara itu.

Pihak pembelaan berkata Nadiem tidak menerima wang daripada perolehan tersebut dan kira-kira 97 peratus daripada 1.1 juta Chromebook telah dihantar ke 77,000 sekolah menjelang 2023.

Nadiem meninggalkan Gojek pada 2019 untuk menyertai kabinet bekas Presiden Joko Widodo sebagai Menteri Pendidikan.

Beliau berkhidmat sehingga 2024 dan dikenali dengan usaha membawa pendekatan teknologi ke dalam sistem pendidikan.

Sebelum menyertai pemerintah, beliau membina Gojek daripada perniagaan penghantaran dan teksi motosikal kepada aplikasi serba guna yang menawarkan khidmat penghantaran makanan, logistik dan pembayaran digital GoPay.

Gojek kemudian menjadi syarikat pemula niaga bertaraf unicorn pertama Indonesia dan pada 2019 dinilai sekitar AS$10 bilion (S$129 bilion).

Namun, inisiatif pendigitalan pendidikan yang menjadi sebahagian daripada legasi pentadbirannya kemudian menjadi asas kepada pertuduhan rasuah yang difailkan pada Januari 2026.

Pejabat Peguam Negara mendakwa kajian kementerian pada 2018, sebelum Nadiem menjadi menteri, menunjukkan Chromebook tidak berkesan digunakan di kawasan pedalaman dan luar bandar yang mempunyai capaian Internet lemah.

Pendakwa turut merujuk perbualan kumpulan pada Ogos 2019 yang didakwa menunjukkan perbincangan mengenai pelan pendigitalan berasaskan Chromebook sebelum Nadiem secara rasmi dilantik ke kabinet.

Nadiem sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa dia banyak berkorban untuk berkhidmat dalam pemerintah.

“Ganjaran yang saya terima ialah jeriji besi,” katanya.

Dalam pembelaannya pada 23 Jun lalu, beliau berkata kes itu bukan sekadar pertikaian mengenai perolehan, tetapi akan mempengaruhi cara generasi muda Indonesia melihat khidmat awam.

“Anak muda di seluruh Indonesia dan diaspora di seluruh dunia menunggu jawapan kepada persoalan yang bergema dalam hati mereka: adakah negara ini masih selamat untuk kami berkhidmat?” katanya kepada hakim.

Sehari sebelum hukuman dijatuhkan, Nadiem menerusi akaun LinkedIn yang dikendalikan pasukan peguamnya mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya.

“Selepas lima bulan dibicarakan, saya masih percaya kepada keadilan,” tulisnya.

Kes itu menarik perhatian luar biasa di Indonesia. Puluhan pemandu Gojek hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan moral, membawa sepanduk putih bertulis “Kami bersama Nadiem” dan “Bebaskan Nadiem”.

Ketika keputusan dibacakan, penyokong di luar mahkamah dilaporkan mengejek keputusan itu.

Ibu mentua Nadiem, Cik Sania Makki, berkata keluarga melalui tempoh yang amat sukar.

“Hampir 10 bulan ini sangat berat. Sebagai keluarga, kami terus berdoa, berjuang dan berdiri di sisinya sepanjang masa,” katanya. - Agensi berita