Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas menteri pertanian Indonesia ditangkap agensi rasuah

Oct 13, 2023 | 11:57 AM
SUSPEK RASUAH DITAHAN: Agensi antirasuah Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK), pada Khamis menangkap bekas Menteri Pertanian, Encik Syahrul Yasin Limpo setelah menamakannya sebagai suspek kes suapan pada Rabu.
SUSPEK RASUAH DITAHAN: Agensi antirasuah Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK), pada Khamis menangkap bekas Menteri Pertanian, Encik Syahrul Yasin Limpo setelah menamakannya sebagai suspek kes suapan pada Rabu. - Foto AFP

JAKARTA: Mantan menteri pertanian Indonesia ditahan pada Khamis oleh agensi antirasuah Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK), atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan penipuan melibatkan kontrak dengan vendor swasta.

Encik Syahrul Yasin Limpo telah meletakkan jawatannya sebagai menteri pertanian minggu lalu untuk memberi tumpuan kepada prosiding undang-undang dan pada Rabu beliau secara rasmi dinamakan oleh KPK sebagai suspek kes suapan, sekali gus menjadi anggota keenam Kabinet Presiden Joko Widodo yang berdepan dakwaan rasuah.

Rakaman video pada lewat Khamis menunjukkan Encik Syahrul tiba di pejabat KPK dalam keadaan bergari dan memakai jaket kulit hitam, topi hitam dan pelitup. Beliau tidak menjawab soalan wartawan.

Encik Syahrul dilaporkan telah terlepas janji temu yang dijadualkan dengan KPK pada Rabu untuk disoal siasat. Beliau mendakwa mengunjungi ibu bapanya di kampung halamannya di wilayah Sulawesi Selatan. Beliau hanya kembali ke ibu kota Jakarta pada lewat Rabu.

Peguam Encik Syahrul, Encik Febri Diansyah berkata, Encik Syahrul tidak menafikan dakwaan terhadapnya, beliau akan bekerjasama dengan siasatan KPK. Encik Syahrul meletak jawatan selepas KPK menyerbu beberapa rumah dan kementeriannya.

“Saya jamin Syahrul Yasin Limpo tidak akan lari, tidak ada tanda-tanda dia akan melarikan diri atau memusnahkan bukti,” kata Encik Diansyah.

Timbalan pengerusi KPK, Encik Johanis Tanak, memberitahu sidang akhbar lewat Rabu bahawa Encik Syahrul disyaki menerima kira-kira 13.9 bilion rupiah ($1.2 juta) dalam bentuk rasuah melalui kakitangan bawahannya, Encik Kasdi Subagyono dan Encik Muhammad Hatta, yang turut dinamakan sebagai suspek.

KPK menamakan Encik Syahrul sebagai suspek kerana didakwa mengarahkan dua rakan sekerjanya memaksa pegawai membayar beliau hingga mencecah AS$10,000 ($13,600) sebagai pertukaran jawatan atau penyertaan dalam projek perolehan di kementerian itu.

Encik Johanis berkata, Encik Syahrul dan rakan-rakannya dituduh menerima kira-kira 14 bilion rupiah.

“Wang itu didakwa digunakan untuk membayar bil kad kreditnya dan untuk membeli sebuah kereta Alphard,” kata Encik Johanis.

Encik Johanis berkata wang itu didakwa adalah bajet kementerian dan siasatan lanjut terhadap Encik Syahrul sedang dijalankan.

Beliau juga mengesyaki Encik Syahrul menerima rasuah daripada vendor swasta yang diberikan projek dengan Kementerian Pertanian.

Awal bulan ini, penyiasat KPK menggeledah kediaman rasmi semasa Encik Syahrul dalam lawatan rasmi ke Italy dan Sepanyol. KPK menemui sedozen senjata api dan wang tunai bernilai kira-kira 30 bilion rupiah dalam beberapa bentuk mata wang asing.

Encik Syahrul, bekas gabenor Sulawesi Selatan, adalah ahli politik kedua dari Parti Nasdem yang menghadapi pendakwaan baru-baru ini. Encik Johnny G. Plate, bekas menteri komunikasi, sedang dibicarakan atas dakwaan rasuah dalam pemerolehan peralatan untuk projek komunikasi 4G.

Parti Nasdem adalah sebahagian daripada gabungan pemerintah dengan tujuh parti lain. Namun pada November lalu ia mengesahkan seorang ahli politiknya yang juga dilihat sebagai anggota pembangkang popular, Encik Anies Baswedan, sebagai calon presiden pada 2024. Ini mendorong Presiden Joko Widodo merujuk Parti Nasdem sebagai “orang luar” dalam gabungannya.

Dua kes rasuah ini berkemungkinan menjejas peluang Parti Nasdem dalam pemilihan presiden yang dijadualkan pada Februari 2024, termasuk pencalonan Encik Anies, bekas gabenor Jakarta, sebagai presiden.

Jurucakap KPK, menafikan kes terhadap Encik Syahrul mempunyai motif politik kerana mereka telah menahan kira-kira 250 anggota parlimen tempatan termasuk datuk bandar, gabenor, anggota aparlimen serta 12 menteri. sejak institusi itu ditubuhkan pada akhir 2003. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg