Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Pertanian Indonesia letak jawatan di tengah siasatan dakwaan rasuah

Oct 6, 2023 | 4:04 PM
DAKWAAN RASUAH: Menteri Pertanian Indonesia, Encik Syahrul Yasin Limpo telah meletakkan jawatan pada Khamis ketika siasatan giat dijalankan ke atasnya kerana dakwaan terlibat dalam rasuah.
DAKWAAN RASUAH: Menteri Pertanian Indonesia, Encik Syahrul Yasin Limpo telah meletakkan jawatan pada Khamis ketika siasatan giat dijalankan ke atasnya kerana dakwaan terlibat dalam rasuah. - Foto FACEBOOK SYAHRUL YASIN LIMPO

JAKARTA: Menteri Pertanian Indonesia Encik Syahrul Yasin Limpo telah meletakkan jawatan pada Khamis di tengah-tengah siasatan yang giat dijalankan terhadapnya atas dakwan terlibat dalam rasuah.

Beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya itu kepada Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo yang turut dikenali sebagai Encik Jokowi.

Peletakan jawatan itu dilakukan selepas para penyiasat Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) menemui 12 senjata api dan wang kertas bernilai kira-kira Rp 30 bilion ($2.6 juta) di kediaman rasmi Encik Syahrul di Jakarta ketika mereka menggeledah rumahnya pada Jumaat. .

Ketika serbuan itu dilakukan, beliau masih berada di Sepanyol atas tugas rasmi.

KPK belum menjelaskan perincian kes melibatkan beliau atau secara rasmi menganggap Encik Syahrul sebagai suspek.

Namun, media Indonesia melaporkan bahawa beliau disiasat atas dakwaan melakukan pemerasan, menerima rasuah dan pengubahan wang haram.

Encik Syahrul menyampaikan surat peletakan jawatannya sehari setelah beliau kembali ke Indonesia.

Beliau seharusnya pulang ke Indonesia pada Jumaat lalu tetapi hanya pulang ke Indonesia pada Selasa.

Dalam kenyataan sebelumnya, pemerintah Indonesia menyatakan mereka tidak mempunyai maklumat mengenai di mana Encik Syahrul berada dan rakan-rakan sekerjanya juga tidak dapat menghubunginya sejak 30 September, hari terakhir kunjungan kerjanya itu.

Beliau akhirnya pulang ke Indonesia pada Rabu dengan alasan lambat pulang kerana mengalami masalah prostat dan harus menjalani rawatan.

Pada Khamis, sehari setelah kepulangannya, beliau telah disoal siasat oleh polis selama tiga jam berkaitan dengan dakwaan terlibat dalam kes rasuah.

Bercakap kepada para pemberita sejurus sahaja disoat siasat polis, Encik Syahrul menyatakan beliau berada di Eropah untuk kunjungan kerja ketika siasatan dilakukan ke atasnya.

“Saya sedang melakukan kerja rasmi atas nama negara tetapi sehari setelah pulang saya langsung dihadapkan dengan masalah.

“Perjalanan saya untuk kepentingan rakyat, 280 juta orang harus saya kasi makan, dan saya sudah menjalankan tugas saya,” tambahnya.

Ditanya mengenai perletakan jawatannya itu, beliau berkata: “Alasan saya mengundurkan diri adalah ada proses hukum yang saya hadapi dan saya selalu siap menghadapi secara serius.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg