DAMSYIK: Bekas Mufti Besar Syria, Sheikh Ahmad Badreddin Hassoun, yang menjadi antara tokoh agama paling lantang mempertahankan pemerintahan bekas Presiden Bashar al-Assad, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan berkaitan keganasan, pembunuhan dan jenayah perang sepanjang konflik hampir 14 tahun di negara itu.

Mahkamah Jenayah Keempat di Damsyik menjatuhkan hukuman itu pada 24 Ogos selepas mendapati Hassoun bersalah atas beberapa pertuduhan, termasuk menghasut keganasan yang mencetuskan perang saudara dan konflik sektarian, membenarkan pembunuhan serta menyalahgunakan kedudukannya sebagai pemimpin agama tertinggi Syria.

Hakim Fakhr al-Din al-Aryan berkata siasatan dan bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan turut menunjukkan penglibatan Hassoun dalam jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman mati terhadap Hassoun dalam perbicaraan yang bermula pada 25 Jun lalu.

Keputusan itu diumumkan pada sesi keenam perbicaraan.

Selain hukuman penjara seumur hidup, mahkamah mengenakan beberapa hukuman penjara tambahan terhadap Hassoun bagi kesalahan berasingan.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 20 tahun selepas didapati bersalah menghasut pembunuhan, selain hukuman 10 tahun atas kesalahan berkaitan tindakan yang membantu memanjangkan pengganasan.

Mahkamah turut memerintahkan Hassoun membayar pampasan kepada beberapa mangsa, manakala semua wang serta harta alih dan tidak alih miliknya dirampas untuk diserahkan kepada perbendaharaan negara.

Menurut Hakim al-Aryan, institusi agama rasmi yang pernah dipimpin Hassoun digunakan untuk memberikan sokongan dan justifikasi agama terhadap operasi ketenteraan dan keselamatan yang dijalankan ketika pemerintahan Assad.

Hubungan rapat Hassoun dengan kempen ketenteraan pemerintahan Assad menyebabkan pengkritiknya menggelarnya “mufti bom tong”.

Mahkamah mendapati ajaran dan kenyataan Hassoun turut digunakan bagi membenarkan penggunaan “bom tong” atau barrel bomb terhadap kawasan awam yang menyebabkan kemusnahan besar.

Bom berkenaan biasanya terdiri daripada bekas logam yang diisi bahan letupan dan serpihan sebelum dijatuhkan dari udara.

Penggunaannya di kawasan awam dikritik secara meluas kerana sifat serangannya yang tidak tepat dan boleh menyebabkan korban besar dalam kalangan orang awam.

Hakim berkata tindakan membenarkan serangan sedemikian terhadap kawasan penduduk awam merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Mahkamah turut mendapati beliau menggunakan ceramah agama dan penampilan di media untuk menggesa pegawai serta anggota tentera Syria memerangi pihak pembangkang.

Dalam satu kejadian, Hassoun dilaporkan menyeru penduduk di timur Aleppo supaya meninggalkan kediaman mereka, sebelum meminta tentera “memusnahkan” kawasan yang didakwa menjadi lokasi serangan terhadap pasukan pemerintah.

Dia juga dituduh mengancam penduduk di Idlib dengan pembunuhan dan pengusiran.

Hassoun, yang dilahirkan di Aleppo sekitar 1949, menjadi Mufti Besar Syria dari 2005 hingga jawatan itu dimansuhkan oleh Assad pada 2021.

Selepas kebangkitan rakyat Syria tercetus pada 2011, dia muncul sebagai antara tokoh agama paling berpengaruh yang mempertahankan Assad.

Hassoun menggambarkan bantahan terhadap pemerintahan ketika itu sebagai sebahagian konspirasi pengganas yang disokong pihak asing.

Dia menggunakan khutbah Jumaat, ceramah, penampilan awam dan pandangan agama untuk memberikan sokongan kepada tindakan pemerintah terhadap penentangnya.

Hassoun juga pernah mencetuskan kontroversi apabila mengancam bahawa Syria boleh melatih pengebom nekad untuk menyerang negara Eropah sekiranya kuasa Barat campur tangan dalam konflik negara itu.

Pengaruh Hassoun bagaimanapun semakin merosot selepas 2018 apabila sebahagian kuasa berkaitan hal ehwal agama dipindahkan kepada institusi lain, sebelum jawatan Mufti Besar dimansuhkan pada 2021.

Selepas pemerintahan Assad tumbang pada Disember 2024 susulan serangan pantas kumpulan pembangkang, Hassoun bersembunyi sebelum ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik pada Mac 2025 ketika cuba meninggalkan Syria.

Keputusan terhadap Hassoun merupakan sebahagian usaha pihak berkuasa baharu Syria membawa individu yang dituduh bertanggungjawab terhadap kekejaman sepanjang pemerintahan Assad ke muka pengadilan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mahkamah Syria turut menjatuhkan hukuman mati terhadap Assad, adiknya Maher dan beberapa bekas pegawai kanan keselamatan.

Sebahagian hukuman itu dibuat tanpa kehadiran tertuduh kerana mereka berada di luar negara.

Menurut agensi berita Syria, SANA, mahkamah menjatuhkan keputusan terhadap 10 tokoh utama era Assad sepanjang Ogos, melibatkan kesalahan termasuk pembunuhan, penyeksaan, penculikan, penahanan secara tidak sah dan hasutan membunuh.

Menteri Luar Syria, Encik Asaad al-Shaibani, menyambut baik keputusan terhadap Hassoun dengan menegaskan bahawa mempertahankan hak rakyat Syria merupakan tanggungjawab yang perlu diteruskan sejak tercetusnya tuntutan kebebasan di negara itu.

Kes Hassoun dianggap penting kerana beliau bukan pegawai tentera atau anggota keluarga Assad, sebaliknya seorang ulama Sunni yang pernah memegang jawatan agama tertinggi negara.

Ia sekali gus memperluaskan proses pertanggungjawaban pasca-Assad daripada pegawai politik, tentera dan keselamatan kepada tokoh awam serta agama yang dituduh memberikan sokongan atau legitimasi kepada tindakan pemerintah ketika perang.

Konflik Syria bermula dengan tunjuk perasaan antipemerintah pada Mac 2011 sebelum tindakan keras pasukan keselamatan dan kebangkitan bersenjata mengubahnya menjadi perang saudara yang berlarutan hampir 14 tahun.

Kira-kira 500,000 orang dianggarkan terbunuh, manakala jutaan lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka sebelum pemerintahan Assad akhirnya tumbang pada Disember 2024. - Agensi berita