RENNES, PERANCIS: Seorang bekas pakar bedah, Joel Le Scouarnec, bakal menghadapi perbicaraan terbesar dalam sejarah jenayah seksual Perancis selepas didakwa merogol dan melakukan serangan seksual hampir 300 mangsa, kebanyakannya kanak-kanak dan ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika diserang.
Le Scouarnec, 74 tahun, akan dibicarakan di Mahkamah Vannes, Brittany bermula 24 Februari dalam satu perbicaraan yang dijangka berlangsung selama empat bulan. Skala dan keterukan jenayah yang didakwa dilakukan bakal memberi kesan besar di Perancis dan peringkat antarabangsa.
Menurut Pendakwa Raya Wilayah, Stéphane Kellenberger, Le Scouarnec telah mengakui keterlibatannya dalam sebahagian besar jenayah ini, termasuk strategi yang digunakannya untuk menyembunyikan perbuatannya selama lebih dua dekad.
Kes ini dianggap mengejutkan bukan hanya kerana jumlah mangsa yang ramai tetapi juga kerana jangka masa panjang kesalahan itu berlaku.
Le Scouarnec dipercayai melakukan jenayah seksual antara 1989 hingga 2014, ketika bertugas di beberapa buah institusi perubatan di barat Perancis.
Mangsa termuda yang didakwa dirogol adalah bayi berusia satu tahun. Manakala mangsa tertua yang diserang secara seksual berusia 70 tahun
Le Scouarnec menggunakan kedudukannya sebagai doktor untuk melakukan jenayah ini, kebanyakannya terhadap pesakit yang tidak sedarkan diri di bilik pembedahan atau hospital tempatnya bertugas.
Jika disabitkan bersalah, dia berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara. Namun, undang-undang Perancis tidak membenarkan hukuman bagi setiap kesalahan ditambah secara berasingan, menyebabkan tempoh hukuman mungkin lebih pendek berbanding skala jenayahnya.
Kes Le Scouarnec mula terbongkar pada 2017, selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun di Jonzac membuat laporan mendakwa dia telah dirogol oleh lelaki itu.
Rumahnya di Jonzac dipenuhi dengan ratusan anak patung yang digunakan sebagai objek seksual. Lebih 300,000 imej pornografi kanak-kanak ditemui dalam simpanannya.
Senarai nama ratusan mangsa yang ditulisnya sendiri, termasuk pesakit yang diserangnya di atas meja pembedahan.
Le Scouarnec sudah pun menjalani hukuman 15 tahun penjara selepas disabitkan bersalah pada Disember 2020 kerana merogol dan menyerang seksual empat kanak-kanak, termasuk dua anak saudaranya.
Namun, skala sebenar jenayahnya hanya terungkap selepas polis menyiasat senarai mangsa yang ditemui dalam rumahnya.
Perbicaraan ini bukan sahaja tertumpu kepada jenayah Le Scouarnec, tetapi juga kegagalan sistem dalam menghentikannya lebih awal.
Pada 2005 dia disabitkan bersalah kerana memuat turun imej penderaan seksual kanak-kanak, tetapi hanya dijatuhi hukuman penjara tertangguh selama 4 bulan. Tiada larangan dikenakan ke atasnya untuk terus bekerja sebagai doktor.
Selepas 2005, dia masih bekerja di hospital di Quimperlé, Brittany dan dinaikkan pangkat walaupun pihak pengurusan hospital mengetahui rekod jenayahnya.
Dia berpindah ke barat daya Perancis dan bekerja sehingga bersara pada 2017.
Kini, satu siasatan tambahan telah dibuka bagi menyiasat kegagalan pihak berkuasa perubatan dan kehakiman dalam mencegah jenayah ini.
Badan hak kanak-kanak, La Voix de l’Enfant, telah memfailkan aduan terhadap pihak kehakiman dan kementerian kesihatan atas tuduhan membahayakan nyawa orang lain.
Le Scouarnec pernah berkahwin dan mempunyai tiga anak lelaki yang dilahirkan antara 1980 hingga 1987. Perkahwinannya berakhir awal 2000-an tetapi perceraian rasmi hanya diselesaikan pada 2023.
Dalam satu wawancara pada 2019, bekas isterinya menyatakan beliau tidak pernah menyangka suaminya seorang pemangsa seksual.
“Joel dimiliki syaitan… dan saya tidak mengesyaki apa-apa,” katanya kepada media Perancis Le Telegramme.
Bagaimanapun, beliau mengakui pernah melihat suaminya “memandang dengan pelik” terhadap kanak-kanak di sekitar kejiranan mereka.
Kes ini turut memberi impak di peringkat global, muncul hanya dua bulan selepas kes Dominique Pelicot, seorang lelaki Perancis yang memaksa berpuluh-puluh lelaki merogol isterinya yang berada di bawah pengaruh ubat pelali yang kuat.
Menurut pakar undang-undang, kes-kes sebegini membuktikan bahawa sistem keadilan jenayah Perancis perlu diperketatkan untuk mencegah kejadian serupa di masa hadapan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg