Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Perancis dengar kes suami benar 72 lelaki rogol isteri

Sep 6, 2024 | 2:29 PM
Cik Gisele P yang diwawancara pihak media selepas sesi perbicaraan di mahkamah, mendakwa suaminya telah  memberinya dadah dan mengundang berpuluh-puluh lelaki yang tidak dikenali  merogolnya di rumah mereka di Mazan, sebuah bandar kecil di selatan Perancis.
Cik Gisele P yang diwawancara pihak media selepas sesi perbicaraan di mahkamah, mendakwa suaminya telah memberinya dadah dan mengundang berpuluh-puluh lelaki yang tidak dikenali merogolnya di rumah mereka di Mazan, sebuah bandar kecil di selatan Perancis. - Foto AFP

AVIGNON, Perancis: Seorang wanita Perancis yang suaminya telah mengaku meminta berpuluh-puluh orang yang tidak dikenali merogolnya semasa beliau diberi dadah, memberitahu mahkamah bahawa polis telah menyelamatkan nyawanya dengan membongkar jenayah itu.

Polis berkata wanita berkenaan telah dirogol oleh 72 lelaki, 51 daripadanya telah dikenal pasti.

“Polis menyelamatkan nyawa saya dengan menyiasat komputer Pelicot,” kata Cik Gisele P dalam perbicaraan di mahkamah di bandar selatan Avignon pada 5 September, merujuk kepada suaminya, Dominique P.

Suaminya adalah salah seorang daripada 51 penderanya, yang hanya dikenali dengan nama terakhirnya.

Bercakap buat kali pertama sejak perbicaraan luar biasa bermula pada 2 September, Cik P, kini 71 tahun, mendedahkan perasaan yang dipendamnya sepanjang 90 minit memberi keterangan.

Beliau berkata, selama bertahun-tahun beliau mengalami kehilangan ingatan yang aneh, masalah kesihatan lain termasuk mungkin menghidap Alzheimer.

Pada November 2020, beliau bercakap dengan penyiasat, yang menunjukkan kepadanya imej sedekad penderaan seksual yang didalangi dan dirakam oleh suaminya, katanya di mahkamah.

“Bagi saya, semuanya runtuh. Semua yang saya bina selama 50 tahun berkecai,” kata Cik P.

Beliau telah memberitahu polis bahawa Dominique P, suaminya yang berusia 50 tahun, adalah seorang “lelaki super”.

Anak perempuannya dan dua anak lelakinya berada di mahkamah bagi mengikuti perbicaraan tersebut.

Beliau ditunjukkan gambar “biadab” di mana “Saya terbaring tidak bergerak di atas katil, dirogol”, katanya, sambil suaminya mendengar dengan menundukkan kepalanya.

“Terus terang, ini adalah adegan seram bagi saya. Mereka melayan saya seperti anak patung kain buruk,” tambahnya. Cik P memberitahu lima hakim bahawa beliau telah menonton rakaman video itu pada Mei tahun 2024.

Peguam yang mewakili beberapa defendan telah mempersoalkan sama ada pasangan itu mempunyai hubungan bebas atau sama ada boleh dipercayai bahawa Cik P tidak menyedari sepanjang penderaan sedekad itu.

“Jangan bercakap dengan saya tentang adegan seks. Ini adalah adegan rogol,” kata Cik P. Cik P mengulangi bahawa beliau “tidak pernah bersubahat” dan “berpura-pura tidur” apabila ditanya oleh hakim Roger Arata.

Cik P berkata dia ingin menarik perhatian kepada bahaya jenayah seksual dengan memberi mangsa dadah dengan niat jahat. Cik P sedang dalam proses menceraikan suaminya, yang telah mengakui tuduhan terhadapnya.

Perbuatan suaminya terdedah secara kebetulan apabila dia ditangkap merakam skirt wanita di sebuah pasar raya. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg