Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pemimpin Persatuan Guaman adakan mesyuarat bantah pemilihan Presiden baru

Dec 10, 2025 | 5:53 PM
Persatuan Guaman, law society, Dinesh Singh Dhillon
Sekumpulan anggota Persatuan Guaman telah menggesa diadakan mesyuarat agung luar biasa pada 22 Disember untuk membantah pemilihan Encik Dinesh Singh Dhillon sebagai Presiden. - Foto: MAXWELLCHAMBERS.COM

Kurang sebulan selepas Encik Dinesh Singh Dhillon diumumkan sebagai Presiden baru Persatuan Guaman Singapura, sekumpulan anggota mahu mesyuarat segera diadakan bagi membantah pemilihannya.

Kumpulan itu diketuai Encik Peter Cuthbert Low dan Encik Chandra Mohan Nair, kedua-duanya peguam veteran yang pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Guaman.

Mereka menjadualkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 22 Disember untuk membantah pemilihan Encik Dhillon sebagai Presiden.

Dalam surat yang dihantar kepada Persatuan Guaman pada 9 Disember, yang dilihat oleh The Straits Times (ST), anggota tersebut berkata mereka ingin membincangkan kesan pelantikannya terhadap kebebasan Badan Peguam.

Ini kerana Encik Dhillon – seorang anggota majlis yang tidak dipilih – telah dipilih sebagai Presiden persatuan tersebut.

Di Singapura, peguam mengundi setiap Oktober untuk memilih anggota majlis Persatuan Guaman, badan tertinggi dalam persatuan yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwalnya.

Persatuan tersebut mempunyai sekitar 6,400 anggota.

Di bawah Akta Kerjaya Guaman, Menteri Undang-Undang boleh melantik sehingga tiga ahli untuk menganggotai majlis.

Encik Dhillon ialah salah seorang daripada tiga yang dibawa masuk kali ini.

Anggota majlis kemudian mengundi sesama sendiri untuk memilih seorang Presiden, dua Naib Presiden dan seorang Bendahari.

Ini telah dilakukan, dan Persatuan Guaman mengumumkan pada 17 November bahawa Encik Dhillon akan mengetuai majlis yang terdiri daripada 21 anggota baru.

Resolusi yang dicadangkan dalam surat itu bertujuan merekod pandangan bahawa “sebagai amalan lalu dan konvensyen sedia ada, tadbir urus yang baik dan untuk menegakkan keyakinan terhadap kebebasan badan peguam”, hanya seseorang yang telah dipilih oleh anggota persatuan itu harus berkhidmat sebagai Presiden.

Namun, surat tersebut menjelaskan resolusi itu “tidak mengubah atau membatalkan mana-mana pemilihan pemegang jawatan”.

Usul itu dicadangkan oleh Encik Low dan disokong oleh Encik Nair.

Peguam yang bercakap dengan ST dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan berkata keresahan mula timbul sejurus selepas Encik Dhillon dipilih sebagai Presiden oleh pihak majlis.

Satu dokumen kemudian mula diedarkan dalam kalangan peguam untuk mengumpul tandatangan bagi mengadakan EGM.

Sesiapa dalam kalangan 25 anggota persatuan boleh meminta mesyuarat sedemikian diadakan.

Sementara itu, majlis Persatuan Guaman telah menganjurkan sesi minum petang untuk anggota, yang dijadualkan pada 10 Disember, untuk “menjawab sebarang pertanyaan atau kebimbangan anggota mengenai sebarang isu, khususnya peralihan jawatan anggota majlis”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg