Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Bangladesh arah siasat bekas PM bagi kematian pekedai

Aug 13, 2024 | 8:36 PM
Mahkamah Bangladesh telah mengarahkan siasatan ke atas peranan mantan Perdana Menteri Sheikh Hasina dalam kematian melibatkan seorang pemilik kedai runcit di ibu negara Dhaka semasa bantahan pimpinan pelajar pada Julai.
Mahkamah Bangladesh telah mengarahkan siasatan ke atas peranan mantan Perdana Menteri Sheikh Hasina dalam kematian melibatkan seorang pemilik kedai runcit di ibu negara Dhaka semasa bantahan pimpinan pelajar pada Julai. - Foto TAMIL MURASU

DHAKA: Mahkamah Bangladesh mengarahkan siasatan ke atas peranan perdana menteri yang digulingkan, Cik Sheikh Hasina, dalam kematian seorang pemilik kedai runcit Dhaka semasa bantahan pimpinan pelajar pada Julai, kata peguam.

Kes yang difailkan oleh Encik Amir Hamza terhadap Cik Hasina dan enam yang lain diterima oleh ketua mahkamah majistret metropolitan Dhaka selepas perbicaraan diadakan, menurut peguam, Encik Hamza Anwarul Islam.

Susulan tindakan itu, Majistret Rajesh Chowdhury, pada 13 Ogos, mengarahkan polis menyiasat kes tersebut, tambah beliau.

Ia adalah kes pertama yang difailkan terhadap Cik Hasina berikutan pemberontakan ganas yang mengorbankan kira-kira 300 orang, kebanyakannya pelajar kolej dan universiti.

Cik Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos dan kini berlindung di New Delhi.

Tertuduh lain dalam kes itu termasuk Obaidul Quader, setiausaha agung parti Liga Awami pimpinan Cik Hasina; bekas menteri dalam negeri, Asaduzzaman Khan Kamal; dan pegawai kanan polis.

Encik Hamza mendakwa peniaga runcit itu, Encik Abu Saeed, dibunuh pada 19 Julai sekitar 4 petang.

Beliau terkena peluru ketika polis melepaskan tembakan ke arah pelajar dan orang lain yang menjalankan tunjuk perasaan menentang kuota dalam pekerjaan pemerintah di kawasan Mohammadpur di Dhaka.

Pengadu menyalahkan Cik Hasina, yang mendesak diambil tindakan tegas agar menyuraikan demonstrasi itu.

Encik Hamza berkata beliau tidak mempunyai kaitan dengan Encik Saeed tetapi secara sukarela membawa kesnya ke mahkamah kerana keluarga mangsa tidak mempunyai wang untuk memfailkan kes tersebut.

“Saya rakyat biasa pertama yang menunjukkan keberanian mengambil tindakan undang-undang ini terhadap Sheikh Hasina atas jenayahnya. Saya akan memastikan kes ini diadili hingga akhir,” katanya.

Cik Hasina, yang menjadi perdana menteri sejak 15 tahun lalu, tidak dapat dihubungi segera untuk diminta mengulas.

Encik Nahid Islam, seorang pemimpin pelajar yang memainkan peranan penting menggulingkan Cik Hasina, dan kini menjadi anggota pemerintah sementara, baru-baru ini berkata mantan perdana menteri itu mesti menghadapi perbicaraan bagi pembunuhan sepanjang penggalnya, termasuk semasa bantahan baru-baru ini.

Pergerakan yang diketuai pelajar itu bermula dengan tunjuk perasaan menentang kuota pekerjaan dalam sektor awam dan memuncak menjadi bantahan ganas untuk menggulingkan Cik Hasina.

Menurut anak mantan perdana menteri itu, beliau merancang untuk pulang ke Bangladesh apabila pemerintah sementara, yang diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Dr Muhammad Yunus, memutuskan untuk mengadakan pilihan raya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg