LONDON: Parlimen Britain dibubarkan pada 30 Mei 2024, menjelang pilihan raya umum 4 Julai, yang kelihatan bersedia untuk membawa Parti Buruh berkuasa selepas 14 tahun pemerintahan Parti Konservatif.
Lima minggu berkempen secara rasmi bermula, apabila 650 kerusi Ahli Parlimen (AP) kosong pada 12.01 tengah malam (7.01 pagi waktu Singapura), selaras dengan jadual pilihan raya.
Minggu pertama berkempen menyaksikan permulaan yang goyah, berikutan hujan lebat yang turun ketika pengumuman pilihan raya dibuat Perdana Menteri Britain, Encik Rishi Sunak.
Ramai pemerhati menganggapnya sebagai petanda buruk.
Encik Sunak menetapkan pilihan raya pada 4 Julai, bukannya pada hujung 2024 seperti yang dijangkakan ramai dalam apa yang disifatkan golongan pemerhati sebagai percubaan untuk memperoleh semula rentak ketika partinya tergelincir dalam tinjauan pendapat.
Selepas 14 tahun menjadi pembangkang, Parti Buruh yang diketuai Encik Keir Starmer, mantan peguam hak asasi manusia, kini berpeluang untuk memenangi semula kuasa.
Mengekori dua digit di belakang parti Buruh dalam tinjauan pendapat, Parti Konservatif yang memerintah itu juga menghadapi penghijrahan beramai-ramai AP, dengan ada yang menyerah kalah dalam menghadapi peluang suram untuk menang.
Kira-kira 129 AP setakat ini mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding untuk pemilihan semula.
Antaranya ialah 77 daripada Parti Konservatif, satu bilangan yang ramai, yang belum pernah terjadi sebelumnya untuk sesebuah parti yang memerintah.
Dalam kalangan ahli Parti Konservatif yang bertanding untuk pemilihan semula, ada yang berasa jengkel terhadap tarikh pilihan raya pada Julai yang tidak mereka jangkakan.
Setiausaha Negara Ireland Utara, Encik Steve Baker, tetap dengan keputusannya untuk meneruskan percutiannya di Greece, dengan mengatakan bahawa beliau akan menyiapkan kempennya di sana.
Sementara itu, Parti Buruh berusaha untuk memanfaatkan kekecewaan orang ramai terhadap Parti Konservatif, yang telah melihat pertukaran lima perdana menteri sejak 2016 di samping berhadapan banyak skandal dan masalah ekonomi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg