PHNOM PENH: Bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, menyampaikan mesej keras kepada individu yang pernah beliau anggap sebagai “saudara angkat” – bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra – dengan menuduh Encik Thaksin mengkhianatinya dan memberi amaran akan mendedahkan segala tindakan khianat, termasuk dakwaan menghina institusi diraja Thailand.
Dalam ucapannya kepada rakyat Kemboja yang dipindahkan di wilayah Preah Vihear pada 26 Jun, Encik Hun Sen berkata beliau akan tunggu dan lihat dahulu reaksi Bangkok sebelum bertindak lebih lanjut.
“Saya lebih rela dikhianati dahulu daripada mengkhianati orang lain. Sekarang saya telah dikhianati, saya rasa perlu untuk bongkar apa yang keluarga Thaksin lakukan dalam mengkhianati negara mereka. Ini satu amaran: ajarlah anak-anak kamu, mereka perlu faham siapa ayah mereka,” katanya.
Encik Hun Sen turut menyatakan rancangan untuk menjelaskan lebih lanjut hubungan turun naik antara Kemboja dan Thailand pada 27 Jun agar rakyat kedua-dua negara dapat memahami hubungan itu secara lebih mendalam.
“Saya tak pernah bayangkan keluarga yang saya bantu dulu akhirnya akan jadi perdana menteri dan mencetuskan pelbagai masalah. Sekejap kata mereka berkuasa, sekejap tidak. Esok saya akan jelaskan semua ini,” katanya, merujuk kepada Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan Thaksin.
Dalam ucapan itu, beliau turut menyasarkan kenyataan tajam kepada Encik Thaksin secara langsung.
“Kalau kamu angkuh, saya akan dedahkan semua yang kamu beritahu saya, termasuk kata-kata kamu terhadap raja kamu sendiri. Jaga anak-anak kamu. Kamu ada anak sebagai perdana menteri, saya pun sama. Tapi jangan anggap saya orang yang boleh kamu pijak. Saya tidak berhutang apa-apa dengan Thailand,” katanya.
Encik Hun Sen mendakwa keluarga Thaksin berhutang budi kepadanya tetapi beliau tidak menuntut balasan, sebaliknya hanya mahukan hubungan yang setara tanpa campur tangan luar.
Hubungan antara keluarga Hun Sen dan keluarga Thaksin sebelum ini sangat rapat. Thaksin dan adiknya, Cik Yingluck Shinawatra, yang juga bekas Perdana Menteri Thailand, pernah menginap di kediaman Hun Sen.
Namun, kini bekas pemimpin Kemboja itu menyatakan harapan agar perdana menteri Thailand yang baru dapat menyelesaikan ketegangan yang timbul, kerana menurutnya, keadaan semasa di Bangkok tidak menunjukkan siapa sebenarnya yang memegang kuasa untuk berunding.
“Sekarang kita pun tak tahu nak runding dengan siapa. Siapa yang berkuasa? Tentera? Parti politik? Orang di belakang parti? Atau perdana menteri itu sendiri? Kita hanya akan tahu bila perdana menteri baru dilantik,” katanya.
Bagaimanapun, Encik Hun Sen menegaskan bahawa Kemboja tidak menganggap Thailand sebagai musuh. “Kemboja tidak melihat Thailand sebagai musuh. Kami hanya nampak segelintir ekstremis, termasuk tentera dan ahli politik. Kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak di Thailand – sama ada baju kuning, baju merah atau mana-mana kumpulan sekalipun,” tambahnya.
Encik Hun Sen juga dijangka akan memberi ucapan lanjut pada 27 Jun untuk memperincikan dakwaannya terhadap Encik Thaksin, sekali gus menarik perhatian media serantau terhadap krisis kepercayaan antara dua bekas sekutu erat itu. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg