Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Thailand mohon maaf selepas panggilan telefon dengan Hun Sen bocor

Jun 19, 2025 | 2:28 PM
Paetongtarn Shinawatra, hun sen, minta maaf
Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, di sidang media susulan kebocoran rakaman panggilan telefon antara beliau dengan mantan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, berhubung pertikaian sempadan antara kedua-dua negara, di Bangunan Kerajaan, Bangkok, pada 19 Jun. - Foto REUTERS

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, pada 19 Jun memohon maaf selepas rakaman perbualan telefon antara beliau dengan mantan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, tersebar.

Cik Paetongtarn berkata panggilan itu dibuat daripada telefon peribadinya dan beliau tidak tahu perbualan tersebut akan dirakam dan didedahkan kepada umum.

Beliau menyatakan kerajaan bersedia menyokong angkatan tentera negara itu dalam semua aspek.

Cik Paetongtarn berdepan desakan kian meningkat supaya meletak jawatan selepas panggilan telefon itu mencetuskan kemarahan meluas dan mendorong rakan gabungan utama menarik diri.

Kerajaan gabungan pimpinan parti Pheu Thai yang diketuai Cik Paetongtarn kini berada di ambang kejatuhan, sekali gus menjerumuskan Thailand ke dalam satu lagi episod ketidakstabilan politik ketika negara itu berusaha memulihkan ekonominya yang perlahan dan mengelakkan tarif dagangan besar oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Parti konservatif Bhumjaithai, rakan gabungan terbesar Pheu Thai, menarik diri pada 18 Jun dengan menyatakan bahawa tindakan Cik Paetongtarn telah mencemarkan maruah negara dan tentera.

Dalam panggilan itu, Cik Paetongtarn dilaporkan berbincang dengan Encik Hun Sen mengenai pertikaian sempadan yang masih berlarutan.

Meskipun Encik Hun Sen telah berundur sebagai Perdana Menteri Kemboja pada 2023 selepas empat dekad, beliau masih mempunyai pengaruh besar.

Cik Paetongtarn merujuk pemimpin veteran itu sebagai “bapa saudara” dan menyifatkan Panglima Tentera Thailand di wilayah timur laut sebagai pihak lawannya, satu kenyataan yang mencetuskan kecaman hebat di media sosial.

Kehilangan sokongan 69 Anggota Parlimen Bhumjaithai menyebabkan Cik Paetongtarn hanya tinggal sokongan tipis untuk mengekalkan majoriti dalam Parlimen, dan pilihan raya mengejut kini dilihat semakin hampir – tidak sampai dua tahun selepas pilihan raya terakhir pada Mei 2023.

Dua parti gabungan, United Thai Nation dan Parti Demokrat, dijadual mengadakan mesyuarat pada 19 Jun untuk membincangkan keadaan tersebut.

Jika salah satu daripada mereka menarik diri, ia berkemungkinan besar menandakan berakhirnya pemerintahan Cik Paetongtarn, sama ada melalui pilihan raya atau percubaan parti lain untuk membentuk gabungan baru.

Tentera Thailand dalam kenyataan menegaskan bahawa Ketua Angkatan Tentera, Jeneral Pana Claewplodtook, “komited mempertahankan prinsip demokrasi dan kedaulatan negara”.

“Ketuanya menekankan bahawa keutamaan utama adalah ‘rakyat Thailand perlu bersatu’ dalam mempertahankan kedaulatan negara,” kata kenyataan itu.

Angkatan tentera Thailand telah lama memainkan peranan penting dalam politik negara itu, dan ahli politik lazimnya berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan tentera.

Negara itu telah mengalami lebih 12 rampasan kuasa sejak tamatnya pemerintahan monarki mutlak pada 1932, dan krisis semasa itu sudah mencetuskan khabar angin bahawa satu lagi rampasan kuasa mungkin berlaku.

Jika Cik Paetongtarn digulingkan melalui rampasan kuasa, beliau akan menjadi ahli keluarga ketiga – selepas ibu saudaranya, Cik Yingluck, dan bapanya, Encik Thaksin Shinawatra, yang disingkirkan oleh tentera.

Parti pembangkang utama, Parti Rakyat, yang memenangi kerusi terbanyak pada 2023 tetapi dihalang oleh senator konservatif daripada membentuk kerajaan, menggesa Cik Paetongtarn agar mengadakan pilihan raya.

“Apa yang berlaku semalam (18 Jun) merupakan krisis kepimpinan yang meruntuhkan kepercayaan rakyat,” kata Ketua Parti Rakyat, Encik Natthaphong Ruengpanyawut, dalam satu kenyataan.

Parti Palang Pracharath, yang memimpin kerajaan hingga 2023 dan kini diketuai oleh Jeneral Prawit Wongsuwan, yang menyokong rampasan kuasa 2014 terhadap Cik Yingluck menyatakan rakaman panggilan bocor itu menunjukkan Cik Paetongtarn lemah, kurang berpengalaman dan tidak mampu mengurus keselamatan negara.

Ratusan penunjuk perasaan antikerajaan, termasuk beberapa veteran pergerakan ‘Baju Kuning’ yang anti-Thaksin pada akhir 2000-an, berhimpun di hadapan Bangunan Kerajaan pada 19 Jun menuntut Cik Paetongtarn meletak jawatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg