BANGKOK: Bekas perdana menteri Thailand yang berpengaruh, Encik Thaksin Shinawatra, memulakan hari pertama penuh di penjara pada 10 September selepas mahkamah memutuskan beliau telah menjalani hukuman penjara terdahulu secara tidak sah di hospital.
Mahkamah mengarahkan Encik Thaksin, 76 tahun, dihantar ke Penjara Reman Bangkok. Bagaimanapun, menurut kenyataan Jabatan Penjara, beliau dipindahkan ke Penjara Klong Prem untuk menjalani baki hukuman setahun.
Jabatan terbabit tidak memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai kes Thaksin.
Encik Thaksin dipilih sebagai perdana menteri pada 2001 dan sekali lagi pada 2005, namun melarikan diri ke luar negara selepas penggal keduanya ditamatkan oleh rampasan kuasa tentera.
Selepas pulang pada Ogos 2023, beliau dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun atas tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Namun, beliau tidak pernah bermalam di dalam sel penjara sebaliknya dibawa ke bilik hospital swasta, sebelum hukuman dikurangkan kepada setahun melalui pengampunan diraja. Kemudian, beliau dibebaskan lebih awal melalui skim pelepasan untuk banduan warga emas.
Waktu kepulangannya serta pemindahan ke hospital yang berlaku serentak dengan partinya, Pheu Thai, membentuk kerajaan baru telah mencetuskan syak wasangka orang ramai mengenai wujudnya rundingan sulit dan dakwaan layanan istimewa.
Mahkamah Agung memutuskan bahawa pelaksanaan hukuman penjaranya adalah tidak sah dan beliau sebenarnya tidak mengalami keadaan kecemasan kritikal.
Encik Thaksin dan keluarganya telah mendominasi politik Thailand sejak beliau mula dipilih sebagai perdana menteri pada 2001.
Pengaruh keluarga itu semakin merosot selepas beberapa kekalahan politik dan undang-undang, termasuk pemecatan anak perempuannya, Cik Paetongtarn Shinawatra, daripada jawatan perdana menteri bulan lalu. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg