Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Thai perintah Thaksin jalani hukuman penjara setahun

Sep 9, 2025 | 1:31 PM
thaksin, jail, dipenjara
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra (tengah), tiba di Mahkamah Agung di Bangkok pada 9 September. - Foto EPA

BANGKOK: Mahkamah Agung Thailand pada 9 September memutuskan jutawan Thaksin Shinawatra mesti menjalani hukuman penjara setahun, dalam satu lagi tamparan hebat bagi sebuah dinasti yang telah menguasai politik di negara itu selama dua dekad.

Polis akan menahan Thaksin, kata seorang wartawan Reuters yang menghadiri pendengaran keputusan kes.

Selepas keputusan itu diumumkan, Thaksin dilihat menanggalkan jaketnya dan masuk ke dalam van jabatan penjara.

Hakim seramai lima orang itu berkata Thaksin tidak menghidap penyakit yang teruk dan kemasukan ke hospital tidak boleh dikira sebagai tempoh penjara, sambil menambah bahawa tanggungjawab bukan semata-mata terletak pada doktor dan jutawan itu sengaja memanjangkan tempoh rawatannya di hospital.

Keputusan itu dibuat hanya beberapa hari selepas parti Pheu Thai digulingkan daripada jawatan tertinggi, dengan anak perempuan Thaksin, Cik Paetongtarn Shinawatra, dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan yang memutuskan bahawa beliau telah melanggar etika menteri dalam pertelingkahan sempadan dengan Kemboja.

Pheu Thai telah memegang jawatan perdana menteri sejak pungutan suara 2023.

Berikutan pemecatan Cik Paetongtarn pada Ogos, huru-hara berlaku sebelum kerajaan pimpinannya tumbang pada 5 September, dikalahkan oleh pencabarnya, Encik Anutin Charnvirakul, yang dipilih sebagai perdana menteri bagi menggantikannya.

Pemilihan Encik Anutin oleh Parlimen merupakan kekalahan memalukan bagi parti Pheu Thai pimpinan Thaksin yang pernah tidak dapat dihalang.

Encik Anutin, hartawan binaan Thailand, secara rasmi memegang jawatan Perdana Menteri pada 7 September selepas diperkenankan oleh Raja Maha Vajiralongkorn.

Beliau berikrar menunaikan janji dengan menetapkan Pilihan Raya pada awal 2026.

Thaksin, 76 tahun, dipilih sebagai perdana menteri pada 2001 dan sekali lagi pada 2005, tetapi membawa dirinya dengan hidup dalam buangan selepas penggal keduanya dipendekkan oleh rampasan kuasa tentera.

Sekembalinya pada Ogos 2023, dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana rasuah dan salah guna kuasa.

Tetapi dia tidak pernah bermalam di dalam sel penjara – dibawa hampir serta-merta dari pusat tahanan ke bilik peribadi di Hospital Besar Polis Bangkok.

Kepulangannya, yang bertepatan dengan parti Pheu Thainya membentuk kerajaan baru, mencetuskan kecurigaan orang ramai terhadap perjanjian ruang belakang dan dakwaan layanan istimewa.

Pengampunan diraja menyaksikan hukumannya dikurangkan kepada hanya satu tahun, sebelum dia dibebaskan pada Februari 2024 sebagai sebahagian daripada skim pembebasan awal untuk banduan warga emas. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg