SEOUL: Sebuah mahkamah di Korea Selatan pada 16 Januari menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas presiden, Yoon Suk Yeol, selepas dia mendapati bersalah atas beberapa pertuduhan serius.
Ia termasuk menghalang pihak berkuasa daripada melaksanakan waran tangkap susulan percubaannya mengisytiharkan undang-undang tentera pada akhir 2024, yang menemui kegagalan.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul memutuskan Yoon telah menghalang pihak berkuasa daripada melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan berhubung pengisytiharan undang-undang tentera pada Disember 2024.
Keputusan itu disiarkan secara langsung, menandakan keputusan pertama dalam siri perbicaraan jenayah yang dihadapinya berkaitan dekri kontroversi tersebut.
Selain itu, Yoon turut didapati bersalah memalsukan dokumen rasmi dan gagal mematuhi proses perundangan yang diwajibkan bagi pengisytiharan undang-undang tentera.
Keputusan itu merupakan yang pertama daripada lapan perbicaraan jenayah yang sedang berjalan terhadap Yoon, merangkumi dakwaan berkaitan dekri undang-undang tentera serta tuduhan lain.
Hukuman lima tahun penjara itu adalah separuh dari tempoh 10 tahun yang dimohon oleh pihak pendakwaan.
Yoon belum mengeluarkan kenyataan awam sejurus selepas keputusan itu, namun, pasukan peguamnya sebelum ini menolak tuntutan hukuman berat sebagai bermotif politik dan “tidak berasas dari segi undang-undang”.
“Permintaan hukuman 10 tahun adalah keterlaluan dan didorong kepentingan politik, bukannya prinsip keadilan,” kata pasukan pembelaan Yoon ketika mengulas tuntutan pihak pendakwa sebelum ini.
Peguam Yoon turut memaklumkan mereka merancang memfail rayuan terhadap keputusan mahkamah.
Yoon, yang merupakan pendatang baru dalam dunia politik, membina reputasinya melalui kerjaya perundangan yang panjang dan berprofil tinggi.
Namun, laluan awalnya tidak mudah.
Dia gagal dalam peperiksaan guaman beberapa kali sebelum akhirnya lulus pada cubaan kesembilan.
Walaupun bermula dengan perlahan, Yoon kemudian mengetuai beberapa pendakwaan bersejarah yang menyaksikan dua bekas presiden Korea Selatan, Park Geun-hye dan Lee Myung-bak, serta seorang bekas Ketua Hakim Mahkamah Agung dipenjarakan.
Pada 2019, Yoon dilantik sebagai Pendakwa Raya Negara oleh Presiden Moon Jae-in.
Dia meletak jawatan pada 2021 sebelum memenangi Pilihan Raya Presiden pada 2022 dengan majoriti amat tipis.
Kejayaannya sebagai pendakwa raya bagaimanapun berbeza sama sekali dengan prestasinya sebagai presiden, yang sering dibayangi kontroversi dan konflik politik domestik.
Salah satu kritikan terbesar terhadap pentadbirannya ialah keengganannya memecat pegawai kanan selepas tragedi rempuhan maut Halloween 2022 yang meragut banyak nyawa.
Tindakan itu mencetuskan dakwaan bahawa Yoon melindungi “orang kepercayaannya” walaupun berdepan tekanan awam yang besar.
Tahun-tahun akhir pemerintahannya turut dicemari skandal melibatkan isterinya, yang didakwa menerima sebuah beg tangan mewah jenama, Christian Dior, sebagai hadiah secara tidak wajar.
Menjelang Disember 2024, kedudukan politik Yoon dilihat kian rapuh.
Pada 3 Disember 2024, Yoon mengejutkan negara apabila mengisytiharkan undang-undang tentera pada tengah malam, dengan alasan mahu mengekang apa yang disifatkannya sebagai “kuasa antinegara” dalam kalangan pembangkang.
Dekri itu bagaimanapun hanya bertahan selama enam jam.
Ahli-ahli Parlimen bertindak pantas dengan berkumpul di Dewan Perhimpunan Kebangsaan dengan ada yang terpaksa memanjat tembok kompleks, sebelum mengundi, untuk membatalkan pengisytiharan tersebut.
Keputusan mahkamah turut menyatakan Yoon bersalah kerana menghalang pelaksanaan waran tangkap terhadap dirinya.
Selepas dekri itu, dia mengelak daripada ditahan selama beberapa minggu dengan berlindung di dalam kediaman rasminya, dilindungi ratusan anggota setia Pasukan Keselamatan Presiden.
Penahanannya akhirnya berlaku menerusi satu serbuan awal pagi yang melibatkan ratusan anggota polis dan penyiasat.
Mereka dilaporkan memintas sekatan bas, memotong dawai berduri dan memanjat tangga untuk memasuki kompleks kediaman tersebut, ketika Yoon dikelilingi oleh pengawal peribadinya.
Yoon ketika itu berkata dia bekerjasama dengan penyiasat bagi mengelakkan “pertumpahan darah”, namun, menegaskan bahawa dia tidak mengiktiraf kesahihan siasatan tersebut.
Sepanjang perbicaraan, dia berulang kali menyatakan pihak penyiasat tidak mempunyai asas undang-undang untuk menyiasat dan menahannya.
Bekas presiden itu kini telah ditahan selama beberapa bulan sementara menunggu perbicaraan lain.
Pemerhati mahkamah menyatakan Yoon kelihatan semakin kurus sejak penahanannya, dengan rambut yang jauh lebih beruban.
Di luar mahkamah, penyokongnya berdiri dalam diam ketika hakim membacakan pertuduhan, sebelum ada yang melambai dan menjerit namanya sebagai tanda sokongan.
Walaupun berdepan krisis dalam negara yang berpanjangan, Yoon mencatat beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa.
Usahanya membaiki hubungan yang tegang sekian lama dengan Jepun dan mengukuhkan kerjasama keselamatan tiga hala bersama Amerika Syarikat sering dianggap sebagai pencapaian dasar luar paling ketara sepanjang tempoh pemerintahannya.
Keputusan mahkamah itu masih tertakluk kepada proses rayuan, namun, bagi ramai rakyat Korea Selatan, hukuman terhadap Yoon menandakan satu detik penting dalam sejarah politik negara itu.
Ia menjadi sebagai peringatan tentang had kuasa eksekutif dan peranan undang-undang dalam mengekang tindakan luar biasa seorang pemimpin. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg