Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Korea Selatan arah tahan semula bekas Presiden Yoon

Jul 10, 2025 | 4:01 PM
Bekas presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol (tengah), tiba di mahkamah untuk menghadiri sesi pendengaran bagi menyemak permohonan waran tangkap terhadapnya yang dikemukakan oleh pasukan pendakwa khas, di Seoul pada 9 Julai 2025. Pendakwa raya Korea Selatan memohon waran tangkap baharu pada 6 Julai untuk menahan Yoon selepas menyoal siasat beliau sebanyak dua kali, termasuk satu sesi yang berlangsung lebih sembilan jam.
Bekas presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol (tengah), tiba di mahkamah untuk menghadiri sesi pendengaran bagi menyemak permohonan waran tangkap terhadapnya yang dikemukakan oleh pasukan pendakwa khas, di Seoul pada 9 Julai 2025. Pendakwa raya Korea Selatan memohon waran tangkap baharu pada 6 Julai untuk menahan Yoon selepas menyoal siasat beliau sebanyak dua kali, termasuk satu sesi yang berlangsung lebih sembilan jam. - Foto AFP

SEOUL: Sebuah mahkamah di Korea Selatan pada 10 Julai meluluskan waran tangkap baru terhadap bekas Presiden Yoon Suk Yeol dan menahannya, hanya beberapa hari selepas pendakwa raya khas memperbaharui usaha untuk menahan beliau atas cubaan gagal melaksanakan undang-undang tentera.

Encik Yoon sebelum ini dibebaskan pada bulan Mac selepas Mahkamah Daerah Pusat Seoul membatalkan penahanannya yang dibuat pada Januari, membenarkan beliau dibicarakan atas tuduhan pemberontakan tanpa perlu ditahan. Pada April, Encik Yoon secara rasmi disingkirkan daripada jawatan selepas pemecatannya disahkan oleh Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan.

Pendakwa raya khas pada 6 Julai lalu memohon waran tangkap baharu terhadap Encik Yoon atas beberapa tuduhan termasuk penyalahgunaan kuasa dan menghalang tugas rasmi.

Hakim kanan Nam Se-jin dari Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengeluarkan waran tangkap tersebut atas kebimbangan bahawa Encik Yoon mungkin akan “memusnahkan bukti” dalam kes berkenaan. Pendakwa raya Park Ji-young, anggota pasukan penyiasat khas, memberitahu media: “Kami telah menyemak dan mengesahkan bahawa waran telah dikeluarkan.”

Bekas presiden berusia 64 tahun itu kini sedang dibicarakan atas tuduhan pemberontakan dan secara peribadi hadir ke mahkamah untuk menafikan tuduhan-tuduhan tersebut.
Namun, Encik Yoon telah beberapa kali mengabaikan sapina yang dikeluarkan oleh pendakwa khas yang ditubuhkan oleh parlimen bagi menyiasat cubaan melaksanakan undang-undang tentera, menyebabkan pendakwa memohon penahanan beliau pada 24 Jun.

Permohonan pertama itu ditolak kerana mahkamah mendapati Yoon telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama. Namun, pada 6 Julai lalu, pasukan pendakwa khas memfailkan permohonan baharu dan menegaskan bahawa penahanan beliau adalah perlu.

Encik Yoon menghadiri sesi pendengaran pada 9 Julai yang berlangsung selama kira-kira tujuh jam dan menolak semua tuduhan sebelum dibawa ke pusat tahanan berhampiran ibu negara Korea Selatan.

Beliau menunggu keputusan mahkamah di sebuah bilik tahanan. Selepas waran diluluskan, Encik Yoon ditempatkan dalam sel bersendirian di kemudahan itu, di mana beliau boleh ditahan sehingga 20 hari sementara pihak pendakwa membuat pertuduhan rasmi, termasuk kemungkinan tuduhan tambahan.

Jika didakwa secara rasmi, Encik Yoon boleh terus ditahan sehingga enam bulan sementara menunggu keputusan awal mahkamah. Semasa sesi pendengaran, pasukan peguam Yoon mengkritik permohonan penahanan itu sebagai tidak munasabah, menegaskan bahawa Encik Yoon telah dipecat dan “tidak lagi memegang sebarang kuasa”.

Awal bulan Julai, pendakwa khas menyoal siasat Encik Yoon mengenai tindakannya menentang usaha penahanan pada Januari serta dakwaan bahawa beliau mengarahkan penerbangan dron ke Pyongyang bagi membolehkan pengisytiharan undang-undang tentera.

Encik Yoon juga berdepan dengan tuduhan memalsukan dokumen rasmi berkaitan cubaan tersebut. Beliau mempertahankan cubaan undang-undang tenteranya sebagai satu tindakan yang perlu untuk “membersihkan” elemen pro-Korea Utara dan “anti-negara”.

Namun, Mahkamah Perlembagaan dalam keputusan sebulat suara pada 4 April lalu menyifatkan tindakan Encik Yoon sebagai “pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat” dan “penafian terhadap prinsip demokrasi”.

Presiden Korea Selatan kini, Encik Lee Jae Myung, yang memenangi pilihan raya tergempar pada Jun, telah meluluskan undang-undang bagi melancarkan siasatan khas yang menyeluruh terhadap cubaan Encik Yoon melaksanakan undang-undang tentera serta pelbagai tuduhan jenayah lain yang dikaitkan dengan pentadbirannya dan isterinya.

Encik Lee kini mewarisi negara yang berpecah belah akibat krisis politik yang dicetuskan oleh Yoon, yang cubaan untuk menumbangkan pemerintahan awam termasuk tindakan menghantar askar bersenjata ke parlimen telah mengejutkan sistem demokrasi Korea Selatan. — AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg