Bekas Presiden Korea S, Yoon mohon maaf atas krisis darurat tentera
Bekas Presiden Korea S, Yoon mohon maaf atas krisis darurat tentera
Dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas tindakan pemberontakan pada Dis 2024, lumpuhkan Dewan Perhimpunan Nasional
SEOUL: Bekas presiden Korea Selatan Encik Yoon Suk Yeol memohon maaf kepada rakyat pada 19 Februari atas “kesusahan” yang timbul susulan pengisytiharan darurat tentera pada 2024, sehari selepas beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan pemberontakan.
Walaupun mengakui percubaannya mengenakan pemerintahan tentera mencetuskan “kekecewaan”, beliau menegaskan langkah itu diambil “semata-mata demi negara”.
“Saya memohon maaf sedalam-dalamnya kepada rakyat atas kekecewaan dan kesusahan yang saya timbulkan akibat kelemahan saya sendiri, walaupun saya bertekad menyelamatkan negara,” katanya dalam kenyataan melalui peguamnya.
Namun Encik Yoon menyifatkan keputusan mahkamah sebagai “sukar diterima”, tanpa menjelaskan sama ada beliau akan mengemukakan rayuan.
Hakim Ji Gwi-yeon berkata Encik Yoon mengarahkan tentera dihantar ke bangunan parlimen bagi membungkam lawan politik yang menghalang pentadbirannya.
“Mahkamah mendapati niatnya adalah untuk melumpuhkan dewan perundangan bagi tempoh yang ketara,” kata hakim itu.
Pada lewat malam 3 Disember 2024, Encik Yoon mengejutkan negara melalui siaran televisyen apabila mengumumkan penggantungan kerajaan awam dan pelaksanaan pemerintahan tentera. Beliau ketika itu merujuk ancaman tidak jelas pengaruh Korea Utara dan kewujudan “kuasa antinegara”.
Namun undang-undang darurat itu hanya bertahan kira-kira enam jam selepas ahli parlimen bergegas ke bangunan Dewan Perhimpunan untuk mengundi pembatalannya dalam sidang tergempar.
Bekas pendakwa raya berusia 65 tahun itu kemudian didakwa menghalang keadilan dan beberapa kesalahan lain berkaitan kekacauan selepas pengisytiharan darurat tersebut.
Pendakwa raya mendakwanya atas tiga pertuduhan pemberontakan yang boleh membawa hukuman penjara panjang atau bahkan hukuman mati, walaupun hukuman mati jarang dilaksanakan di negara itu.
Kebanyakan banduan penjara seumur hidup hanya boleh memohon parol selepas kira-kira 20 tahun.
Encik Yoon bukan satu-satunya pemimpin Korea Selatan yang menamatkan kerjaya politik dalam skandal atau penjara.
Bekas presiden Encik Park Geun-hye, anak kepada bekas diktator Encik Park Chung-hee, dipecat oleh parlimen pada 2016 dan kemudian dipenjara selepas dituduh menerima puluhan juta dolar daripada konglomerat termasuk Samsung.
Beliau dijatuhi hukuman 20 tahun penjara pada 2021 sebelum diampunkan oleh penggantinya Encik Moon Jae-in pada tahun yang sama.
Ketika itu, Encik Yoon sendiri memainkan peranan penting sebagai pendakwa dalam kes tersebut.
Pendahulu Encik Park, Encik Lee Myung-bak, turut dihukum penjara 15 tahun pada 2018 atas kes rasuah berkaitan sogokan Samsung. Beliau kemudian menerima pengampunan presiden pada 2022.
Lebih tragis, presiden liberal Encik Roh Moo-hyun membunuh diri pada 2009 selepas disiasat berhubung bayaran jutaan dolar kepada ahli keluarganya.
Sejarah lebih lama Korea Selatan juga sarat episod dramatik. Pemimpin tentera Encik Chun Doo-hwan dan Encik Roh Tae-woo disabit kesalahan pengkhianatan dan rasuah pada 1996 berkaitan rampasan kuasa 1979 serta pembunuhan beramai-ramai Gwangju 1980, sebelum diberikan pengampunan selepas dua tahun dipenjara.
Diktator Encik Park Chung-hee pula dibunuh oleh ketua perisiknya sendiri pada 1979, manakala presiden pertama negara itu, Encik Syngman Rhee, dipaksa meletak jawatan dan hidup dalam buangan pada 1960 selepas protes pelajar besar-besaran.
Kes EncikYoon menambah satu lagi bab dramatik dalam sejarah politik Korea Selatan yang sering menyaksikan pemimpin tertinggi berakhir dengan pendakwaan jenayah.
Penganalisis melihat perbicaraan ini sebagai ujian penting terhadap institusi demokrasi negara itu, khususnya berhubung peranan tentera dalam politik.
Walaupun berdepan hukuman berat, Encik Yoon masih mempunyai penyokong setia yang percaya tindakannya bertujuan mempertahankan kestabilan negara. Namun pengkritik menegaskan percubaannya menggantung pemerintah awam merupakan ancaman serius terhadap demokrasi.
Keputusan mahkamah itu dijangka menjadi rujukan penting dalam menentukan had kuasa presiden pada masa depan serta mengukuhkan prinsip bahawa pemimpin tertinggi juga tertakluk kepada undang-undang. –Agensi berita.

