Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas wanita pertama Korea S ditahan atas tuduhan rasuah

Aug 13, 2025 | 12:59 PM
Kim Keon Hee, Korea selatan
Kim Keon Hee (tengah), isteri mantan presiden Korea Selatan yang telah digulingkan, ditahan atas tuduhan rasuah selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya pada 12 Ogos 2025. - Foto EPA-EFE

SEOUL: Bekas wanita pertama Korea Selatan Kim Keon Hee, isteri bekas presiden Yoon Suk Yeol, yang telah digulingkan, telah ditangkap atas tuduhan rasuah, kata seorang pendakwa raya yang mengetuai siasatan itu.

Penahanan itu, yang dibuat selepas keputusan mahkamah daerah pusat Seoul, mewujudkan situasi yang menyaksikan mantan pasangan presiden berada dalam tahanan serentak.

Mahkamah mengeluarkan waran tangkap itu dengan alasan risiko mengganggu bukti, menurut agensi berita Yonhap.

“Waran tangkap terhadap Kim telah dikeluarkan,” kata pendakwa raya dalam satu kenyataan ringkas.

Tuduhan terhadap Kim termasuk pelanggaran undang-undang pasaran modal dan pelaburan kewangan, serta undang-undang dana politik. Kim menafikan tuduhan itu.

Bekas presiden Yoon telah dihantar semula ke pusat tahanan pada Julai ketika pendakwa raya menyiasat percubaannya yang gagal untuk mengenakan undang-undang tentera pada Disember 2024.

Pasukan peguam khas telah ditubuhkan selepas Encik Lee Jae Myung dipilih sebagai presiden pada Jun untuk menyiasat 16 dakwaan jenayah terhadap Kim.

Bagaimanapun, waran tangkap yang dikeluarkan pada 13 Ogos meliputi hanya tiga pertuduhan.

Pendakwa raya mendakwa dia memperoleh lebih 800 juta won ($741,34) melalui manipulasi harga saham Deutsch Motors, pengedar kereta BMW tempatan, antara 2009 dengan 2012, dengan bersubahat untuk menaikkan harga saham.

Kim juga dituduh menerima dana politik haram bernilai lebih 270 juta won melalui perkhidmatan tinjauan pendapat percuma, dan menggunakannya untuk mempengaruhi pemilihan calon bagi parti Kuasa Rakyat konservatif dalam pilihan raya kecil 2022.

Pertuduhan ketiga melibatkan menerima hadiah mewah termasuk beg tangan Chanel dan barang kemas mahal daripada Gereja Penyatuan sebagai pertukaran untuk layanan baik terhadap projek pembangunan di Kemboja.

Kim disoal siasat selama lebih tujuh jam oleh penyiasat pada 6 Ogos sebelum waran tangkap dikeluarkan.

Semasa mengeluarkan waran, Hakim Jeong Jae-wook memetik “kebimbangan mengenai pemusnahan bukti” sebagai sebab utama penahanannya.

Kim menafikan semua pertuduhan terhadapnya dalam sesi selama empat setengah jam di mahkamah.

Semasa perbicaraan, Kim dilaporkan menyatakan kekecewaan tentang hal ehwal peribadinya diteliti, memberitahu hakim dia “kesal kerana isu sebelum perkahwinan saya terus dibangkitkan”.

Kim pernah dianggap mempunyai pengaruh besar di sebalik tabir semasa suaminya berkuasa.

Bekas eksekutif syarikat pameran seni itu terlibat dalam beberapa isu termasuk skandal beg Dior yang kini sedang disiasat semula oleh pihak pendakwa. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg