SEOUL: Sebuah mahkamah di Korea Selatan pada 31 Julai mengeluarkan waran tangkap baru terhadap bekas presiden Yoon Suk Yeol, membolehkan pendakwa raya membawanya secara paksa untuk disoal siasat selepas beliau beberapa kali enggan hadir memenuhi panggilan mereka.
Penyiasat khas yang menyiasat Yoon dan isterinya, bekas wanita pertama Kim Keon Hee, berkata dalam satu kenyataan bahawa “waran tangkap telah dikeluarkan hari ini (31 Julai) terhadap bekas presiden Yoon Suk Yeol”.
Yoon mencetuskan krisis politik di Korea Selatan apabila beliau cuba menolak pemerintahan awam pada 3 Disember lalu, dengan menghantar tentera ke parlimen dalam usaha untuk menghalang undian ahli parlimen menolak pengisytiharan undang-undang tentera olehnya.
Beliau menjadi presiden pertama dalam sejarah negara itu yang ditahan semasa masih menyandang jawatan apabila beliau diberkas pada Januari selepas berminggu-minggu menentang tangkapan, dengan menggunakan pasukan keselamatan presidennya untuk menghalang penyiasat.
Beliau dibebaskan atas alasan prosedur pada Mac ketika perbicaraan berhubung tuduhan pemberontakan masih berjalan, tetapi ditahan semula awal Julai atas kebimbangan bahawa beliau mungkin memusnahkan bukti berkaitan kes itu.
Pendakwa yang menyiasat dakwaan penipuan dalam pilihan raya parlimen telah memanggil Yoon untuk disoal siasat namun beliau gagal hadir, dengan peguamnya memberikan alasan masalah kesihatan.
Pada 30 Julai, mereka memfailkan permohonan baharu untuk mendapatkan waran tahanan.
Kini setelah waran itu dikeluarkan, pendakwa dibenarkan memasuki pusat tahanan tempat Yoon ditahan sekarang dan memaksanya hadir untuk disoal siasat.
Masalah undang-undang juga terus membelenggu Yoon dan isterinya dalam kes lain yang tidak berkaitan dengan cubaan pengisytiharan undang-undang tentera itu.
Pendakwa sedang menyiasat dakwaan bahawa seorang bomoh, Jeon Seong-bae, telah menerima rantai leher berlian dan beg tangan mewah berjenama daripada seorang pegawai kanan Gereja Penyatuan dan kemudian memberikannya kepada Kim. — AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg