Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan Presiden Korea S dibicara hari pertama di mahkamah

Apr 14, 2025 | 2:01 PM
Kenderaan yang membawa mantan Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol (tengah) tiba di Mahkamah Daerah Seoul  pada 14 April 2025 untuk menghadiri perbicaraan berhubung pengisytiharan undang-undang tenteranya yang gagal pada 3 Disember 2024.
Kenderaan yang membawa mantan Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol (tengah) tiba di Mahkamah Daerah Seoul pada 14 April 2025 untuk menghadiri perbicaraan berhubung pengisytiharan undang-undang tenteranya yang gagal pada 3 Disember 2024. - Foto EPA-EFE

SEOUL: Pemimpin Korea Selatan yang telah digulingkan Yoon Suk-yeol menghadiri perbicaraan pertama pada 14 April berhubung dakwaan mengetuai pemberontakan apabila beliau mengisytiharkan undang-undang tentera lewat 2024 lalu dan menjerumuskan negara ke dalam kekacauan berbulan-bulan.

Pengisytiharan Yoon bahawa undang-undang tentera diperlukan untuk menghapuskan elemen “antinegara” telah ditarik balik enam jam kemudian.

Ini selepas kakitangan Parlimen menggunakan pengadang dan alat pemadam api untuk menghalang askar operasi khas yang cuba memasuki parlimen ketika para Anggota Parlimen mengundi untuk menolak undang-undang tersebut.

Encik Yoon, yang telah menafikan semua pertuduhan terhadapnya, menghadiri perbicaraan di Mahkamah Daerah Pusat Seoul pada 10 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Singapura) pada 14 April.

Tuduhan pemberontakan yang dihadapi oleh pemimpin yang telah digulingkan itu boleh membawa kepada hukuman penjara seumur hidup atau mati, walaupun Korea Selatan tidak melaksanakan hukum mati terhadap sesiapa dalam beberapa dekad.

Encik Yoon telah disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan daripada jawatan awal April kerana melanggar kuasa perlembagaan dengan tindakan yang dilabelkan sebagai “cabaran serius kepada demokrasi”.

Keputusan memecatnya dibuat setelah kesemua hakim sebulat suara menyokong usul tersebut yang telah dibawa ke peringkat Parlimen sebelumnya.

Pengisytiharan undang-undang tenteranya pada 3 Disember 2024 telah mengejutkan rakyat Korea Selatan, dan mencetuskan huru-hara dalam semua lapisan masyarakat, ekonomi dan dasar luar, kata Mahkamah Perlembagaan.

Pergolakan itu telah mendedahkan lagi keretakan sosial yang mendalam antara pihak konservatif dengan liberal dan meningkatkan tekanan ke atas institusi dan tentera, yang berada dalam kebingungan sama ada untuk menguatkuasakan undang-undang tentera.

Mantan presiden itu kembali ke rumah peribadinya pada 11 April dari kediaman rasmi, dengan ramai penyokong konservatif keluar berarak untuk menyambutnya.

Beliau tetap menentang dan telah berjanji untuk “berdiri dengan” penyokongnya.

Korea Selatan akan mengadakan pilihan raya mengejut pada 3 Jun.

Persoalan masih timbul sama ada Encik Yoon masih memainkan peranan atau mempunyai pengaruh politik.

Untuk perbicaraan jenayah pada 14 April, dua pegawai kanan tentera dijangka mengambil tempat di hadapan para saksi.

Salah seorang daripada mereka, Encik Cho Sung-hyun, dari pusat perintah pertahanan tentera, sudah pun memberi keterangan di Mahkamah Perlembagaan pada Februari bahawa beliau telah diarah menghantar tentera untuk “mengheret” para Anggota Parlimen keluar daripada Parlimen semasa pemerintahan tentera yang singkat itu.

Encik Yoon telah berkali-kali menafikan dakwaan tersebut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg