Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas tahanan Hamas dipindah ke Asia Tenggara, cetus kebimbangan keselamatan
Bekas tahanan Hamas dipindah ke Asia Tenggara, cetus kebimbangan keselamatan
Asia Tenggara boleh jadi platform jaringan, perekrutan atau sokongan logistik walaupun serangan dilakukan di tempat lain
Bekas tahanan Hamas dipindah ke Asia Tenggara, cetus kebimbangan keselamatan
Sebagai sebahagian daripada pelan damai Gaza dan perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas yang dimeterai pada Januari 2025, ribuan tahanan Palestin telah dibebaskan dari penjara Israel.
Antara mereka ialah beberapa ratus individu yang tidak dibenarkan kembali ke Gaza atau Tebing Barat kerana penglibatan mereka dalam serangan terhadap rakyat Israel.
Sebahagian militan tersebut dipindahkan ke negara ketiga.
Malaysia adalah antara negara terbabit apabila 15 bekas tahanan dilaporkan ditempatkan semula di negara itu.
Tidak banyak maklumat awam diketahui mengenai individu terbabit selain dakwaan hubungan mereka dengan Hamas dan penglibatan lampau dalam rancangan serangan pengganas.
Menurut laporan, seorang daripada mereka adalah anggota sel Hamas yang bertanggungjawab dalam serangan pengebom bunuh diri di Baitulmakdis pada 2003, manakala seorang lagi disabitkan kesalahan merancang serangan pengebom bunuh diri di Dimona pada 2008.
Walaupun kerajaan Malaysia menyatakan aktiviti mereka akan dipantau di bawah “langkah keselamatan ketat”, masih belum jelas sama ada individu terbabit telah menjalani proses pemulihan atau meninggalkan fahaman ganas.
Terdapat juga kemungkinan lebih ramai bekas tahanan akan dipindahkan ke Malaysia atau negara lain di rantau ini pada masa akan datang.
Indonesia pula dilaporkan menawarkan suaka kepada sejumlah tahanan Palestin dan pelarian, walaupun jumlah sebenar tidak dinyatakan.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan penting: adakah pemindahan militan yang dikaitkan dengan Hamas boleh membawa ancaman keselamatan baharu kepada Asia Tenggara?
Rangkaian Hamas di Asia Tenggara
Kehadiran Hamas di Asia Tenggara bukan perkara baharu.
Aktiviti kutipan dana, perekrutan dan latihan kumpulan itu telah lama dilaporkan berlaku di Malaysia.
Laporan media mendakwa Hamas menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan siber di Malaysia selama lebih sedekad, termasuk menggunakan ejen rahsia yang menyamar sebagai pensyarah universiti untuk merekrut pelajar bagi latihan peperangan siber.
Salah seorang individu terbabit, Fadi Mohammad al-Batsh, dilaporkan mempunyai kaitan dengan sayap ketenteraan Hamas dan terlibat dalam pembangunan roket serta dron.
Pada 2014, seorang komander Hamas yang ditahan turut mengaku dia adalah antara 10 anggota yang menerima latihan penggunaan payung luncur bermotor di Malaysia, taktik yang kemudian digunakan dalam serangan 7 Oktober terhadap Israel.
Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, yang dilaporkan berfungsi sebagai pejabat tidak rasmi Hamas di negara itu, turut menjalankan aktiviti kesedaran awam dan kutipan dana.
Pertubuhan itu mempunyai hubungan dengan badan amal berpangkalan di Malaysia yang menyalurkan sumbangan untuk menyokong aktiviti kemanusiaan di Gaza yang ditadbir Hamas.
Malaysia juga menyediakan peluang pendidikan dan rawatan perubatan kepada rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada bantuan kemanusiaan lebih luas sejak 2023.
Perlu diperhatikan bahawa Hamas sendiri merekrut ramai belia Palestin dan menghantar mereka menjalani latihan di luar negara – ada yang tinggal di Malaysia sementara yang lain kembali ke Gaza dan Tebing Barat untuk terlibat dalam aktiviti berkaitan siber.
Walaupun inisiatif sedemikian pada asasnya bersifat kemanusiaan, ia juga boleh mewujudkan keadaan yang membolehkan rangkaian militan mengukuhkan sokongan terhadap kempen keganasan Hamas di Asia Barat sekiranya pemantauan lemah.
Tumpuan baharu Hamas: Eropah
Perkembangan di Eropah menjadi amaran bagaimana operasi Hamas mungkin semakin berkembang melangkaui Asia Barat.
Selepas tindak balas ketenteraan Israel terhadap serangan 7 Oktober, keupayaan Hamas di Gaza dilaporkan semakin lemah.
Penganalisis percaya kumpulan itu mungkin cuba memperluaskan aktiviti luar negara dengan menyasarkan kepentingan Israel dan Yahudi di luar Asia Barat.
Pada 2025, beberapa rancangan serangan yang didakwa mempunyai kaitan dengan Hamas berjaya dipatahkan di seluruh Eropah.
Pada Februari 2025, empat lelaki yang disyaki anggota sel rahsia Hamas didakwa di Jerman kerana merancang serangan dan mewujudkan simpanan senjata atas arahan Briged Al-Qassam.
Pada Mei 2025, pihak berkuasa Denmark menahan seorang individu yang disyaki membeli dron untuk digunakan dalam serangan berkaitan Hamas di Denmark atau tempat lain di Eropah.
Pada Oktober 2025, pihak berkuasa Jerman menahan tiga rakyat Palestin di Berlin yang disyaki merancang serangan terhadap institusi Israel dan Yahudi di seluruh Eropah.
Pada November 2025 pula, agensi risikan domestik Austria menemui simpanan senjata Hamas di Vienna.
Penyiasat turut melaporkan bahawa rangkaian jenayah digunakan untuk menyeludup senjata, kemungkinan bagi membolehkan Hamas menafikan penglibatan secara langsung.
Siasatan di Eropah juga mencadangkan Hamas telah mewujudkan simpanan senjata di sekurang-kurangnya lima negara seawal 2019.
Agensi risikan luar Israel, Mossad, dalam kenyataan pada 19 November 2025 berkata rancangan tersebut dirancang di Qatar dan mungkin juga Turkey.
Hamas kemudian menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai “tidak berasas” serta cubaan mencemarkan reputasinya.
Namun, kesemua kes tersebut menunjukkan kumpulan itu sanggup beroperasi jauh di luar medan tradisionalnya dan menggunakan negara yang menerima mereka sebagai pangkalan bagi tindakan keganasan lanjut.
Mengapa Asia Tenggara tidak boleh abaikan risiko
Sesetengah pemerhati berpendapat Hamas tidak mempunyai banyak sebab untuk melakukan serangan di Asia Tenggara kerana rantau ini secara umumnya bersimpati terhadap Palestin.
Bagaimanapun, beberapa insiden lampau menunjukkan risiko tersebut tidak boleh diketepikan.
Pada Februari 2022, dilaporkan seorang anggota Hamas pernah bertemu seorang rakyat Filipina di Malaysia antara 2016 hingga 2018 untuk membincangkan perekrutan kumpulan militan tempatan bagi menyerang sasaran Yahudi di Filipina.
Kes sedemikian menunjukkan Asia Tenggara boleh menjadi platform jaringan, perekrutan atau sokongan logistik walaupun serangan dilakukan di tempat lain.
Kehadiran fizikal individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan juga boleh memburukkan lagi radikalisasi dalam talian, yang semakin menjadi cabaran keselamatan di Asia Tenggara.
Di Singapura, pihak berkuasa pada Julai 2024 melaporkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun telah dipengaruhi kandungan pro-Hamas di Internet.
Beliau merancang untuk pergi ke Afghanistan bagi menyertai kumpulan militan dan turut mempertimbangkan untuk melancarkan serangan tempatan.
Remaja itu juga mewujudkan kumpulan sembang dalam talian untuk merekrut individu lain.
Kes tersebut menunjukkan bagaimana naratif ekstremis yang tersebar di Internet boleh mempengaruhi individu mudah terdedah dengan pantas.
Dalam keadaan sedemikian, kehadiran individu yang mempunyai latar belakang militan berpotensi memperkuat propaganda ekstremis atau memberi inspirasi kepada penyokong mereka.
Imbangi bantuan kemanusiaan, keselamatan
Krisis kemanusiaan di Gaza mencetuskan tekanan awam yang kuat di negara majoriti Islam untuk membantu rakyat Palestin.
Bagaimanapun, memberikan perlindungan kepada individu yang dikaitkan dengan kumpulan militan turut membawa risiko keselamatan nasional dan serantau.
Risiko itu boleh meningkat di tengah ketegangan lebih luas melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat memandangkan Hamas mempunyai hubungan lama dengan Teheran.
Walaupun Hamas beroperasi secara bebas, penganalisis telah lama menyatakan kumpulan itu menerima sokongan daripada Iran dan berpotensi digunakan sebagai proksi dalam konflik serantau yang lebih besar.
Dalam keadaan sedemikian, rangkaian Palestin di luar negara termasuk bekas tahanan Hamas berpotensi dieksploitasi untuk menyokong atau melancarkan serangan terhadap sasaran Amerika atau Israel di peringkat global dan serantau.
Rancangan serangan Hamas yang dipatahkan di Eropah menunjukkan kumpulan itu enggan melucutkan senjata dan sanggup beroperasi jauh di luar kawasan tradisionalnya.
Pemindahan militan ke negara ketiga, digabungkan dengan rangkaian militan global dan radikalisasi dalam talian, bermakna ancaman keselamatan jarang kekal terhad kepada satu rantau sahaja.
Asia Tenggara tidak boleh menganggap dirinya terlindung daripada dinamika tersebut.
Walaupun bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin kekal penting, pemerintah di rantau ini juga perlu memastikan langkah pemantauan dan antiradikalisasi yang kukuh dilaksanakan.
Kewaspadaan dan bukannya sikap leka akan menjadi faktor penting dalam menghalang rangkaian militan daripada bertapak.
Penulis zamil penyelidik di Pusat Antarabangsa bagi Kajian Keganasan Politik dan Penyelidikan Pengganasan (ICPVTR) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Penyelidikannya memberi tumpuan kepada ekstremisme di Asia Barat dan Afrika Utara.

