JAKARTA: Mahkamah Rasuah Indonesia pada 4 jun menjatuhkan hukuman penjara empat tahun enam bulan terhadap bekas Timbalan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Immanuel Ebenezer Gerungan selepas didapati bersalah dalam kes rasuah berkaitan pengeluaran sijil keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Panel hakim di Mahkamah Rasuah Jakarta Pusat memutuskan Immanuel, yang lebih dikenali dengan panggilan “Noel”, terbukti terlibat dalam amalan rasuah dan pemerasan berkaitan proses pengeluaran sijil Keselamatan dan Kesihatan Kerja (K3) di Kementerian Tenaga Kerja Indonesia.

Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengenakan denda sebanyak 200 juta rupiah (S$14,230).

Hukuman itu bagaimanapun lebih ringan berbanding tuntutan pihak pendakwa daripada Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) yang sebelum ini meminta hukuman penjara lima tahun dikenakan terhadap beliau.

Pendakwa raya berhujah bahawa Immanuel menyalahgunakan kedudukannya dengan memeras bayaran dalam proses pengeluaran sijil K3, sekali gus melanggar undang-undang antirasuah Indonesia.

Mereka turut menuntut denda 250 juta rupiah serta meminta beliau membayar semula 3.4 bilion rupiah wang hasil rasuah, dengan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal melunaskan bayaran tersebut.

Selepas keputusan mahkamah dibacakan, Immanuel menerusi pengurusnya berkata beliau menerima keputusan itu dan tidak akan mengemukakan rayuan.

“Saya menerima sepenuhnya apa yang diputuskan hakim dan bertanggungjawab atas apa yang telah saya lakukan,” katanya dalam kenyataan selepas prosiding mahkamah.

KPK sebelum ini menahan Immanuel dalam operasi tangkapan pada Ogos 2025 bersama 10 lagi suspek lain.

Siasatan mendapati beliau dipercayai menerima 3 bilion rupiah pada Disember 2024 sebagai sebahagian daripada skim sogokan bernilai 5.5 bilion rupiah yang didakwa beroperasi antara 2021 hingga 2024 menerusi orang tengah.

Menurut KPK, wang itu dikaitkan dengan pengeluaran sijil keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diwajibkan bagi syarikat dan operasi industri di bawah Kementerian Tenaga Kerja.

Kes itu menjadi perhatian besar di Indonesia kerana ia melibatkan sistem pensijilan yang sepatutnya memastikan tahap keselamatan pekerja dan operasi industri dipatuhi.

Dalam prosiding sebelum ini, Immanuel turut mencetuskan kontroversi apabila secara sinis berkata beliau “sepatutnya melakukan rasuah lebih besar” sekiranya tahu pendakwa tetap akan menuntut hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Beliau membandingkan kesnya dengan beberapa tertuduh lain dalam kes sama yang didakwa menerima jumlah lebih besar tetapi berdepan tuntutan hukuman yang menurutnya tidak jauh berbeza.

“Seseorang yang didakwa mengambil 75 bilion rupiah hanya dituntut enam tahun penjara, sedangkan saya yang didakwa menerima 3 rupiah bilion dituntut lima tahun,” katanya kepada wartawan selepas prosiding mahkamah sebelum ini.

“Saya menyesal. Sepatutnya saya lakukan rasuah sebanyak mungkin kerana perbezaan tuntutan hukuman cuma setahun,” tambahnya secara sinis.

Beliau turut mempersoalkan tuntutan hukuman terhadap seorang lagi tertuduh dalam kes sama, bekas pegawai kanan kementerian, Hery Sutanto.

“Saya simpati dengan Hery. Beliau didakwa menerima hanya 4 bilion rupiah tetapi dituntut tujuh tahun penjara. Ini gila. Saya tidak faham logik undang-undang ini,” katanya.

Di bawah undang-undang Indonesia, pegawai kanan yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab lebih besar boleh dikenakan hukuman lebih berat berbanding pegawai bawahan dalam kes rasuah.

Walaupun mengkritik tuntutan pendakwa raya, Immanuel berkata beliau tetap menghormati proses perundangan dan bersedia memberikan pembelaan diri di mahkamah.

Beliau juga mendakwa sepanjang memegang jawatan, beliau melaksanakan beberapa dasar yang menurutnya memihak kepada pekerja.

Antaranya termasuk usaha membanteras amalan majikan menahan sijil akademik pekerja serta kritikannya terhadap sistem sumber luar yang didakwanya menindas pekerja. - Agensi berita