Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia buka siasatan penyelewengan program makanan berkhasiat percuma
Indonesia buka siasatan penyelewengan program makanan berkhasiat percuma
Prabowo akui hubungan rapat dengan bekas ketua program makanan, namun kepentingan negara jadi keutamaan
Indonesia buka siasatan penyelewengan program makanan berkhasiat percuma
JAKARTA: Bekas Ketua Agensi Pemakanan Nasional Indonesia (BGN), Encik Dadan Hindayana, ditahan Pejabat Peguam Negara Indonesia selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan pengurusan program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG), salah satu program utama Presiden Prabowo Subianto.
Penahanan itu dibuat pada 3 Jun selepas Encik Dadan selesai menjalani soal siasat intensif oleh pasukan penyiasat jenayah khas di Jakarta.
Kes tersebut sekali lagi mengundang perhatian ramai terhadap pelbagai kontroversi yang menyelubungi kepimpinan Encik Dadan sepanjang menerajui BGN, termasuk isu pengurusan dan pelaksanaan program MBG yang menjadi agenda penting kerajaan Prabowo.
Pengarah Siasatan Jenayah Khas Pejabat Peguam Negara Indonesia, Encik Syarief Sulaeman Nahdi, berkata Encik Dadan disyaki terlibat dalam beberapa penyelewengan termasuk proses perolehan barangan dan perkhidmatan yang melanggar undang-undang.
Siasatan mendapati terdapat campur tangan terhadap pegawai pembuat komitmen (PPK) dalam proses penyediaan dokumen perolehan sehingga tidak menepati keperluan sebenar di lapangan.
“Selain menggunakan yayasan berkait, saudara DH bersama SS dan LP disyaki melakukan campur tangan dalam proses perolehan barangan dan perkhidmatan di BGN yang melanggar undang-undang,” katanya kepada media di Jakarta Selatan.
Encik Dadan dinamakan sebagai suspek bersama dua timbalan ketua BGN iaitu Encik Lodewyk Pusung dan Encik Sony Sanjaya.
Ketiga-tiga mereka disyaki terbabit dalam kes penjualan dan pembelian unit titik perkhidmatan pemenuhan nutrisi atau SPPG.
Beliau berkata penyiasat turut menemukan unsur kenaikan harga atau ‘mark-up’ dalam beberapa projek perolehan berkaitan program MBG.
Antara yang menjadi tumpuan siasatan ialah perolehan 21,801 motosikal elektrik bernilai sekitar 1 trilion rupiah ($72 juta).
Selain itu, terdapat juga perolehan 32,000 pasang kasut yang didakwa tidak mematuhi peraturan serta mengandungi unsur kenaikan harga.
Penyiasat turut menyiasat pembelian lebih 31,000 unit tablet dan 5,400 televisyen bersaiz 75 inci yang didakwa tidak mengikut prosedur dan dipercayai berlaku pembesaran kos.
“Perkara ini dipercayai menyebabkan kerugian kewangan kepada negara,” kata Encik Syarief.
Para suspek disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
Mereka kini ditahan selama 20 hari di pusat tahanan Salemba bagi membantu siasatan lanjut.
Sehari sebelum penahanan dilakukan, penyiasat Pejabat Peguam Negara turut menyerbu pejabat BGN di Jakarta.
Tindakan itu menarik perhatian umum kerana berlaku hanya sehari selepas Presiden Prabowo melakukan rombakan kepimpinan agensi berkenaan.
Selepas selesai disoal siasat, Encik Dadan dibawa keluar penyiasat dengan memakai rompi tahanan berwarna merah jambu milik Pejabat Peguam Negara Indonesia.
Presiden Prabowo mengakui keputusan memecat Encik Dadan bukan sesuatu yang mudah kerana beliau sebelum ini mempunyai hubungan profesional yang rapat dengan bekas ketua BGN itu.
“Saya akui ini sukar bagi saya. Ketika saya menandatangani pemecatan itu, ia bukan keputusan mudah,” katanya ketika menghadiri Konsolidasi Nasional Program Makanan Berkhasiat Percuma di Bogor pada 3 Jun.
“Ini orang yang saya naikkan, saya beri penghargaan, saya beri pangkat,” katanya.
Encik Dadan sebelum ini menerima anugerah Bintang Jasa Utama daripada Encik Prabowo pada Februari lalu sebagai penghargaan terhadap peranannya mempercepat pelaksanaan program MBG.
Namun hanya beberapa bulan selepas menerima anugerah tersebut, beliau disingkirkan daripada jawatan ketua BGN pada 2 Jun.
Pada hari sama, Encik Prabowo turut memecat dua timbalan ketua BGN sebelum ketiga-tiga mereka dinamakan sebagai suspek sehari kemudian.
Encik Prabowo berkata beliau menerima pelbagai laporan mengenai kelemahan, ketidakpatuhan dan petunjuk penyelewengan dalam pengurusan BGN.
Bagi memastikan kesahihan laporan itu, beliau meminta semakan dan pengesahan dilakukan oleh beberapa institusi termasuk Badan Pengawasan Kewangan dan Pembangunan (BPKP) serta Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK).
Menurut beliau, langkah itu penting kerana program MBG melibatkan kepentingan jutaan rakyat Indonesia.
“Ini program yang sangat penting untuk bangsa dan negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen pemerintah memastikan program MBG dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan bebas daripada penyelewengan.
Encik Prabowo berkata program tersebut bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan nutrisi kanak-kanak Indonesia tetapi juga membantu mengurangkan kemiskinan, meningkatkan kesihatan rakyat dan menggerakkan ekonomi daerah.
Sebagai langkah pemulihan, pemerintah melantik Cik Nanik S Deyang sebagai ketua baharu BGN manakala jawatan timbalan ketua disandang Agustina Arum Sari dan Mejar Jeneral TNI Trenggono. - Agensi berita
