SEOUL: Mahkamah Korea Selatan pada 26 Jun menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun lagi terhadap bekas wanita pertama, Kim Keon Hee, dalam skandal pemberian hadiah mewah sebagai balasan bagi bantuan mendapatkan jawatan.

Kim, 53 tahun, sudah menjalani hukuman penjara empat tahun atas kes manipulasi saham dan rasuah.

Dalam keputusan yang disiarkan secara langsung, mahkamah mendapati dia bersalah menerima “logam berharga bernilai tinggi” sebagai balasan bagi bantuan dalam pelantikan jawatan.

Mahkamah berkata Kim “menerima tanpa ragu-ragu barang berharga yang sukar dimiliki rakyat biasa walaupun sekali seumur hidup”.

Dia didakwa pada Disember lalu atas beberapa pertuduhan tambahan, termasuk menerima barang kemas bernilai keseluruhan 103 juta won (S$86,000).

Barang itu termasuk rantai leher Van Cleef & Arpels, kerongsang Tiffany dan subang Graff daripada seorang hartawan pembinaan pada 2022.

Sebagai balasan, Kim didakwa menawarkan bantuan mendapatkan jawatan untuk menantu lelaki hartawan tersebut.

Mahkamah turut mendapati beliau bersalah menerima patung kura-kura emas bernilai 2.65 juta won daripada seorang ahli politik, selain jam tangan Vacheron Constantin bernilai 39 juta won daripada seorang usahawan perniagaan “anjing robot”.

Dalam hujah akhir pada 15 Mei, pihak pendakwaan menuntut hukuman penjara tujuh tahun setengah terhadap Kim kerana didakwa “memperdagangkan jawatan dan pengaruh”.

Kim dituduh berulang kali menerima wang dan barang berharga dengan menggunakan kedudukannya sebagai isteri kepada bekas presiden Yoon Suk Yeol.

Yoon sendiri kini dipenjarakan berhubung percubaannya yang singkat dan gagal untuk mengenakan undang-undang tentera pada 2024.

Kim menafikan tuduhan terhadapnya. Dia berhujah bahawa walaupun menerima hadiah, tiada permintaan bantuan atau balasan dikaitkan dengan pemberian tersebut.

Kim, yang pernah dikenali sebagai pencinta haiwan dan menyokong kempen mengharamkan perdagangan daging anjing di Korea Selatan, sebelum ini sering menjadi tumpuan beberapa skandal yang membayangi pentadbiran suaminya. - Agensi berita