Bekas wanita pertama Korea S dijel setahun 8 bulan kerana rasuah
Bekas wanita pertama Korea S dijel setahun 8 bulan kerana rasuah
SEOUL: Mahkamah Korea Selatan telah menjatuhkan hukuman penjara setahun lapan bulan ke atas bekas wanita pertama Kim Keon Hee selepas mendapatnya bersalah menerima rasuah daripada pegawai Gereja Penyatuan sebagai balasan untuk bantuan politik.
Namun, mahkamah membebaskan Kim, yang merupakan isteri bekas Presiden Yoon Suk Yeol yang disingkirkan pada tahun lalu, atas tuduhan manipulasi harga saham dan melanggar akta dana politik.
Keputusan yang dibuat pada 28 Januari itu, membolehkan beliau atau pendakwa raya mengemukakan rayuan di tengah-tengah beberapa siri perbicaraan berkaitan pelaksanaan undang-undang tentera oleh Yoon pada 2024..
Pendakwa raya telah menuntut hukuman penjara 15 tahun dan denda 2.9 bilion won (S$2.5 juta) atas tuduhan termasuk menerima beg Chanel mewah dan rantai berlian daripada Gereja Unifikasi Korea Selatan sebagai balasan untuk bantuan politik.
Mahkamah mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk menyimpulkan Kim bersalah memanipulasi harga saham dan melanggar undang-undang pendanaan politik, dengan menerima tinjauan pendapat daripada broker kuasa sebagai balasan untuk mempengaruhi pilihan calon pilihan raya.
Kim telah menafikan semua pertuduhan. Peguamnya berkata pasukannya akan menyemak semula keputusan itu dan memutuskan sama ada untuk merayu sabitan rasuah.
Kim berjalan masuk ke Mahkamah Daerah Pusat Seoul dengan memakai sut gelap dan pelitup muka, dan duduk diam ketika hakim utama panel tiga hakim menyampaikan keputusan itu.
Gereja berkenaan berkata hadiah itu dihantar kepadanya tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Ketuanya, Han Hak-ja, yang juga sedang dibicarakan, telah menafikan bahawa beliau telah merasuah Kim untuk mendapatlan layanan politik istimewa..
Gereja Penyatuan diasaskan oleh Moon Sun-myung yang mengisytiharkan dirinya sebagai mesiah.
Kim pernah dianggap mempunyai pengaruh besar di sebalik tabir semasa suaminya memegang tampuk kuasa.
Nama Kim mula tercalar selepas sebuah video tersebar menunjukkan beliau menerima beg tangan berjenama itu daripada seorang pastor, yang dirakam secara tersembunyi.
Skandal itu menjejas reputasi pentadbiran suaminya sehingga akhirnya tercetus pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon, yang membawa kepada penyingkirannya daripada jawatan presiden.
Yoon, yang digulingkan daripada kuasa pada April lalu, juga menghadapi lapan perbicaraan atas tuduhan termasuk pemberontakan, selepas percubaannya yang gagal untuk mengenakan undang-undang tentera pada Disember 2024.
Dia telah merayu terhadap hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atasnya bulan ini kerana menghalang percubaan untuk menangkapnya selepas dekri undang-undang tenteranya. - Reuters


