SEOUL: Bekas wanita pertama Korea Selatan, Cik Kim Keon Hee, tampil buat pertama kali di hadapan pendakwa khas pada 6 Ogos untuk disoal siasat berkaitan pelbagai tuduhan serius termasuk manipulasi saham, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Sesi siasatan yang bermula sekitar jam 10 pagi itu berkemungkinan membawa kepada permohonan waran tangkap terhadap Kim. Jika diluluskan, ia akan mencatat sejarah sebagai kali pertama dalam sejarah Korea Selatan seorang bekas presiden dan isterinya ditahan secara serentak.
“Saya benar-benar mohon maaf kerana telah menimbulkan kekacauan, sedangkan saya hanyalah orang biasa,” kata Cik Kim kepada media sebelum melangkah masuk ke pejabat pendakwa khas di Seoul. “Saya akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan.”
Cik Kim, 52 tahun, berdepan tuduhan bersekongkol dengan pelabur saham untuk menaikkan harga saham secara palsu antara tahun 2009 hingga 2012. Beliau juga didakwa menerima pelbagai hadiah mewah secara haram, termasuk beg tangan jenama Dior bernilai AS$2,200 ($2,832), seutas rantai Van Cleef bernilai 60 juta won ($55,559), dan dua beg Chanel serta barangan kemas lain daripada kumpulan agama sebagai sogokan.
Ketibaan Cik Kim disambut dengan kawalan ketat serta tumpuan media tempatan yang mengikuti kenderaan beliau ke lokasi siasatan. Di luar bangunan, penyokong pasangan Kim dan bekas presiden Encik Yoon Suk Yeol berkumpul sambil mengibarkan bendera kebangsaan dan membawa sepanduk yang tertulis “Siasatan mesti dijalankan dengan adil”.
Skandal membabitkan Cik Kim bukanlah perkara baru. Beliau sebelum ini pernah memohon maaf secara terbuka kerana memalsukan rekod akademik sebelum pilihan raya presiden 2022, dan berjanji untuk bersikap telus sebagai pasangan pemimpin negara. Namun, skandal demi skandal terus menghantui pentadbiran suaminya.
Suaminya, bekas presiden Encik Yoon kini sedang ditahan dan sedang dibicarakan atas tuduhan pemberontakan selepas mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember lalu. Tindakan drastik itu, yang menggantung pemerintahan awam buat sementara waktu sebelum dibatalkan oleh parlimen, menyebabkan negara terjerumus ke dalam krisis politik selama enam bulan.
Encik Yoon, bekas pendakwa kanan yang pernah mengetuai siasatan ke atas bekas presiden Park Geun-hye, sebelum ini menolak tiga rang undang-undang siasatan khas yang diluluskan parlimen berkaitan kes Cik Kim dan menyifatkannya sebagai “propaganda politik”.
“Apa yang sedang berlaku terhadap saya adalah pendakwaan bermotifkan politik,” kata Encik Yoon, yang sejak ditahan pada 10 Julai enggan memberi kerjasama atau hadir ke perbicaraan.
Selepas Encik Yoon dipecat secara rasmi pada April, siasatan terhadap Cik Kim dipergiat semula oleh pasukan pendakwa khas. Beberapa kes lama yang sebelum ini ditutup oleh pejabat pendakwa raya atas alasan kekurangan bukti kini dibuka semula, termasuk kes manipulasi saham yang tertangguh sejak 2009.
Pendakwa turut menyiasat dakwaan bahawa Cik Kim gagal mengisytiharkan harta mewah seperti rantai Van Cleef yang dipakai semasa lawatan ke sidang puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pada 2022. Barangan seni bernilai jutaan dolar dan wang tunai yang dirampas turut dikaitkan dengan beliau.
Dalam kenyataan media sebelum ini, peguam Cik Kim menafikan semua dakwaan tersebut dan menyifatkan laporan media sebagai “spekulasi tidak berasas”. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg