SEOUL: Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, sedang berjuang untuk penakatan politiknya selepas percubaannya untuk memecahkan kebuntuan di Parlimen dengan mengisytiharkan undang-undang darurat sebelum membatalkannya enam jam kemudian.
Kejadian itu adalah sebahagian daripada satu siri kesilapan yang telah menghakis sokongan orang ramai dan boleh membawa kepada pemecatan beliau.
Salah satu peristiwa yang mengubah sentimen orang ramai terhadap pemerintahnya ialah beg tangan berjenama Dior yang diberikan kepada Wanita Pertama, Cik Kim Keon Hee, dalam keadaan yang meragukan.
Meskipun kejadian itu berlaku pada 2022, ia hanya diketahui pada November 2023 dan menjadi ‘ribut politik’ pada awal 2024.
Pendakwa kemudian membebaskan Cik Kim daripada sebarang pertuduhan jenayah, walaupun parti pembangkang menyatakan beg itu adalah hasil rasuah dan menggesa siasatan bebas dijalankan.
Encik Yoon dan isterinya itu telah menafikan sebarang salah laku dan berkata hadiah itu semata-mata untuk memburukkan nama mereka.
Sebuah video yang dilaporkan dirakam oleh Paderi Choi Jae-young, yang telah berusaha untuk melembutkan pendirian keras Presiden Yoon terhadap Korea Utara, menunjukkan pembelian beg tangan Dior pada harga 3 juta won ($2,840).
Menggunakan kamera yang disembunyikan pada jam tangan, Encik Choi kemudian masuk ke pejabat firma perancangan yang dikendalikan oleh Cik Kim dan menghadiahkan beg tangan Dior.
Ketika memberikan beg berkenaan, Cik Kim direkodkan sebagai berkata: “Mengapa anda terus membawa ini?” dan kemudian memberitahu Encik Choi agar tidak berbuat demikian dan “jangan sekali-kali membeli sesuatu yang mahal seperti ini”.
Video itu ditayangkan kira-kira setahun kemudian di laman politik berhaluan kiri yang sering memaparkan pandangan bertentangan dengan dasar Encik Yoon.
Pada Julai 2024, pendakwa raya menyoal Cik Kim selama kira-kira 12 jam mengenai kejadian itu. Pendakwa raya akhirnya mendapati tiada bukti bantuan ditawarkan sebagai balasan untuk pemberian beg itu.
Encik Yoon berkata dalam satu temu bual bahawa kontroversi beg Dior berpunca daripada isterinya tidak dapat memutuskan hubungan dengan paderi tersebut.
Tetapi kemarahan orang ramai terhadap insiden beg Dior tidak pudar dan penentang politik Encik Yoon menggunakannya untuk menyerang Presiden hampir sepanjang 2024.
Encik Yoon pada 3 Disember mengenakan undang-undang tentera buat kali pertama sejak Korea Selatan menjadi negara demokrasi hampir 40 tahun lalu.
Beliau membatalkan dekri itu kira-kira enam jam selepas ia ditolak secara sebulat suara melalui undian di Parlimen. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg