BEIRUT: Hezbollah membalas serangan udara Israel di Lebanon buat dua hari berturut-turut, dengan serangan roket dan dron yang meningkat mendadak ke atas Israel pada 13 Jun.
Peningkatan konflik yang semakin meruncing itu menimbulkan kebimbangan akan meletusnya perang sepenuhnya.
Tidak jelas berapa banyak senjata yang dilancarkan Hezbollah pada 13 Jun, tetapi penyiar Al-Manar kumpulan itu melaporkan bahawa pada satu ketika, lebih 100 serangan dilakukan serentak ke arah beberapa kemudahan tentera Israel, termasuk beberapa dron yang ditujukan ke ibu pejabat tentera utara Israel, kata Hezbollah.
Tentera Israel berkata Hezbollah, sebuah kumpulan yang disokong oleh Iran, menembak lebih 40 roket merentasi sempadannya, lapor New York Times.
Jurucakap tentera Israel menyifatkan serangan Hezbollah itu sebagai yang paling serius sejak perang antara Israel dengan Hamas bermula pada Oktober.
Sekurang-kurangnya empat orang cedera dalam serangan pada 13 Jun, kata tentera Israel dan perkhidmatan kecemasannya.
Tentera Israel berkata pada sebelah petang bahawa pertahanan udaranya menembak jatuh banyak senjata yang dilepaskan Hezbollah itu, tetapi beberapa daripadanya menembusi sempadan.
Serangan dan serangan balas mencetuskan kebakaran hutan di kedua-dua belah sempadan.
Pada malam 13 Jun, agensi berita pemerintah Lebanon melaporkan serangan Israel memusnahkan sebuah rumah, menyebabkan beberapa orang terkorban dan mencetuskan kebakaran di bandar Jannata.
Pada 11 Jun, serangan Israel membunuh Encik Taleb Abdullah, salah seorang komander kanan Hezbollah.
Israel mendakwa Encik Abdullah “merancang, memajukan dan melakukan sejumlah besar serangan pengganas terhadap orang awam Israel”.
Sehari kemudian, Hezbollah menembak lebih 200 roket ke arah Israel, dakwa tentera Israel, tetapi hanya menimbulkan kerosakan minimum.
Selepas serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober dan kempen ketenteraan Israel ke atas Gaza, Hezbollah meningkatkan serangannya terhadap Israel, yang membalas dengan artileri dan serangan udara ke atas Lebanon.
Serangan hampir setiap hari memaksa lebih 150,000 warga Israel dan Lebanon yang tinggal berhampiran sempadan meninggalkan rumah mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg