Berbulan selepas Aceh banjir: Sambut Ramadan dalam khemah perlindungan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berbulan selepas Aceh banjir: Sambut Ramadan dalam khemah perlindungan

Feb 25, 2026 | 4:03 PM

Berbulan selepas Aceh banjir: Sambut Ramadan dalam khemah perlindungan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
aceh, banjir, ramadan
Mangsa banjir Rauzah (kiri), ibu kepada empat anak, mengumpulkan barangan dari rumahnya yang rosak di Meurah Dua, daerah Pidie Jaya, wilayah Aceh pada 22 Februari 2026, selepas banjir dan tanah runtuh melanda Sumatera hujung tahun lalu. Kira kira 32,000 mangsa masih kehilangan tempat tinggal selepas bencana monsun lewat 2025. Di Aceh yang paling teruk terjejas dan mencatat lebih 1,000 kematian, ramai keluarga semakin kecewa dengan respons pihak berkuasa yang perlahan. Ramai masih tinggal berhimpit di pusat perlindungan sementara atau khemah dan belum dapat kembali ke rumah yang diselaputi lumpur. - Foto AFP

ACEH: Ramadan tahun 2026 ini disambut dengan sederhana oleh Cik Rauzah, ibu empat anak yang kini tinggal di sebuah khemah oren sejak hampir tiga bulan lalu selepas banjir monsun melanda kampungnya di Sumatera pada 2025.

Jika sebelum ini beliau menyediakan hidangan berbuka yang meriah untuk keluarga, kini mereka hanya berkongsi juadah ringkas di atas lantai kadbod yang dilapisi permaidani nipis. Namun bagi wanita berusia 42 tahun itu, keselamatan keluarganya lebih utama.

“Saya masih trauma,” katanya. “Setiap kali hujan turun, saya rasa cemas. Saya fikir bagaimana hendak selamatkan anak-anak.”

Cik Rauzah adalah antara kira-kira 26,000 mangsa yang masih kehilangan tempat tinggal selepas bencana yang meragut lebih 1,000 nyawa di Aceh - antara tragedi terburuk di wilayah itu sejak tsunami 2004.

Di daerah Pidie Jaya, kesan banjir masih jelas kelihatan. Rumah tertimbus lumpur dan banyak keluarga belum dapat kembali ke kediaman asal. “Kampung saya masih kelihatan seperti bencana baru berlaku,” kata Cik Rauzah. “Rumah masih tertimbus,” tambahnya.

Walaupun serba kekurangan, beliau bersyukur keluarganya kini berada dalam keadaan selamat.

Banjir luar biasa pada November dan Disember lalu melanda beberapa wilayah Asia Selatan dan Asia Tenggara, menyebabkan tanah runtuh dan banjir besar. Di Sumatera sahaja, lebih 1,200 orang terkorban dan hampir 140 lagi masih hilang menurut agensi bencana negara.

Pemerintah turut mengambil langkah pembetulan termasuk menarik balik beberapa permit pembalakan yang dikenal pasti menyumbang kepada kemusnahan.

Di khemah perlindungan, Cik Rauzah berbuka bersama empat anaknya dengan hidangan sayur dan udang. Walaupun jauh berbeza daripada kehidupan dahulu, mereka tetap berusaha mengekalkan suasana Ramadan.

Ramai mangsa kini bergantung kepada sumbangan masyarakat dan organisasi sukarelawan sementara proses pemulihan berjalan.

Imam tempatan, Encik Fakhri, berkata masyarakat masih tabah walaupun menghadapi kesukaran ekonomi akibat sawah musnah dan pekerjaan terhenti. “Kami hanya bergantung kepada bantuan orang ramai,” katanya. “Ramai hilang mata pencarian, tetapi masyarakat terus saling membantu.”

Pemerintah Indonesia menegaskan keadaan masih terkawal dan melaksanakan pelan pemulihan secara berperingkat. Menteri Dalam Negeri Encik Tito Karnavian memaklumkan lebih 8,300 struktur perlindungan sementara telah siap dibina daripada 16,688 yang dirancang.

Selain itu, pembinaan rumah kekal juga sedang diteruskan walaupun menghadapi cabaran logistik dan kos, yang dianggarkan melebihi 51.82 trilion rupiah (S$4.5 bilion).

Bagi Cik Reni, 37 tahun, yang berpindah ke pusat perlindungan sementara bersama anak remajanya, keadaan kini sedikit lebih baik berbanding tinggal di khemah. “Kami bersyukur sekurang-kurangnya ada tempat seperti ini,” katanya. Namun beliau berharap lebih banyak kemudahan dapat disediakan.
“Kami hanya mahu kehidupan kembali stabil,” katanya.

Aceh pernah melalui pemulihan besar selepas tsunami 2004, pengalaman yang kini menjadi rujukan penting dalam usaha membina semula kawasan terjejas.

Walaupun berdepan cabaran, penduduk tetap optimistik. Banyak kumpulan masyarakat dan pelajar turut membantu mengagihkan bantuan serta membersihkan kawasan.

Cik Rauzah berharap keluarganya dapat berpindah ke tempat lebih selesa sebelum Aidilfitri. “Saya harap rumah sementara cepat siap,” katanya. “Dalam khemah sangat panas dan susah berehat.”

Bagi Encik Fakhri, Ramadan kali ini penuh ujian tetapi juga menguatkan hubungan komuniti.
“Ini takdir kami sebagai orang Aceh,” katanya. “Buat masa ini kami gunakan apa yang ada dan terus bersyukur.”

Walaupun jalan pemulihan masih panjang, semangat gotong-royong dan kesabaran masyarakat menjadi kekuatan utama untuk bangkit semula selepas bencana. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg