Indonesia batalkan 190 lesen lombong dalam tindakan penguatkuasaan terbesar
Indonesia batalkan 190 lesen lombong dalam tindakan penguatkuasaan terbesar
Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia menyifatkan keputusan membatalkan 190 lesen perlombongan sebagai tindakan paling tegas setakat ini dalam usaha mengekang pengendali lombong bermasalah yang gagal memenuhi komitmen untuk memulihkan tapak perlombongan terbiar menjadi kawasan tanah yang berfungsi.
“Pembatalan 190 lesen perlombongan ini belum pernah berlaku dalam sejarah Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral. Langkah ini diambil selepas tindakan pentadbiran dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan amaran pertama, diikuti amaran kedua dan akhirnya amaran ketiga. Apabila syarikat terus mengabaikan semua amaran tersebut, lesen mereka akhirnya digantung,” kata Ketua Pengarah Mineral dan Arang Batu, Encik Tri Winarno, dalam satu podcast kementerian pada 25 Januari.
Encik Tri berkata, lesen yang dibatalkan pada September 2025 itu kebanyakannya berkaitan kegagalan syarikat mematuhi kewajipan reklamasi dan pemulihan pasca perlombongan terhadap tanah yang rosak akibat aktiviti pengambilan mineral dari bawah permukaan bumi. Komitmen syarikat terhadap reklamasi tanah adalah penting bagi memastikan pemulihan alam sekitar selepas aktiviti perlombongan tamat.
Pemerintah mewajibkan syarikat perlombongan mengurangkan risiko kemerosotan alam sekitar akibat aktiviti perlombongan melalui pelaksanaan penilaian kesan alam sekitar, yang dikenali dengan akronim Indonesia AMDAL atau Analisis Mengenai Dampak Lingkungan.
Pengendali lombong diwajibkan melaksanakan kerja-kerja pemulihan, menyediakan jaminan pemulihan, dan penempatan jaminan tersebut tidak menggugurkan kewajipan syarikat untuk menjalankan pemulihan. Sekiranya syarikat gagal melaksanakan pemulihan, pemerintah akan melaksanakannya dengan melantik pihak ketiga menggunakan dana jaminan yang telah diperuntukkan sebagai jaminan.
Sekiranya dana jaminan tersebut tidak mencukupi untuk menampung kos pemulihan, kekurangan itu tidak menghapuskan tanggungjawab syarikat untuk menanggung baki kos berkenaan.
“Syarikat diwajibkan memulihkan tanah mengikut peruntukan guna tanah yang telah ditetapkan dalam dokumen rasmi seperti AMDAL atau pelan pemulihan. Pemulihan tanah tidak semestinya mengembalikan kawasan itu kepada keadaan asal, tetapi kepada kegunaan akhir yang telah ditentukan, sama ada untuk perumahan, pertanian atau tujuan lain,” kata Encik Tri.
Encik Tri menambah bahawa pemulihan pasca perlombongan amat penting kerana aktiviti perlombongan membawa risiko alam sekitar yang sangat tinggi, dan kemerosotan alam sekitar tidak dapat dielakkan apabila tanah digali dan diekstrak bagi tujuan perlombongan.
Kemerosotan alam sekitar akibat aktiviti perlombongan dipercayai menjadi antara faktor penyumbang utama kepada kejadian tanah runtuh besar-besaran dan banjir kilat yang melanda tiga wilayah di bahagian utara Pulau Sumatera, iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, susulan hujan lebat pada akhir November lalu.
Jurucakap Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral, Dwi Anggia, berkata pada awal Disember bahawa pemerintah sedang menilai 23 lesen perlombongan di tiga wilayah utara Sumatera itu, yang dikeluarkan antara tahun 2010 hingga 2020 ketika pemerintah daerah masih mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen perlombongan.
Undang-undang Perlombongan Mineral dan Arang Batu 2020, yang meminda undang-undang 2009, telah mengembalikan kuasa pengeluaran lesen perlombongan kepada pemerintah pusat.
Presiden Prabowo Subianto sebelum ini berikrar untuk bertindak tegas terhadap aktiviti perlombongan haram dalam ucapan sulung Kenegaraan beliau di Parlimen pada 15 Ogos 2025, dengan berkata beliau menerima laporan bahawa terdapat 1,063 lombong haram beroperasi, dengan potensi kerugian kepada negara sekurang-kurangnya 300 trilion rupiah.
Dalam ucaptama beliau pada 22 Januari di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Encik Prabowo berkata pentadbirannya telah menutup sekurang-kurangnya 1,000 lombong haram, sambil mendakwa bahawa tindakan itu, bersama penyitaan empat juta hektar ladang haram, merupakan “penguatkuasaan undang-undang hutan paling berani dan paling tegas dalam sejarah Indonesia”.
“Kami telah menutup setakat ini 1,000 lombong haram. Namun kakitangan saya melaporkan bahawa masih terdapat sekurang-kurangnya 1,000 lagi, malah mungkin sebanyak 666 syarikat yang melanggar undang-undang,” kata Encik Prabowo, sambil menambah bahawa pemerintah akan meneruskan tindakan tegas terhadap perlombongan dan perladangan haram, termasuk membatalkan lesen 28 syarikat yang menguasai 1.01 juta hektar tanah selepas terbukti membuka ladang di kawasan hutan simpan secara menyalahi undang-undang.

