Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:32
Maghrib
7:20
Isyak
8:30
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

AS beri amaran berlaku ‘malapetaka’ jika tentera Israel gempur Rafah

Feb 09, 2024 | 11:52 AM



JALURAN GAZA: Amerika Syarikat memberi amaran kepada Israel pada 8 Februari bahawa terdapat risiko berlaku ‘malapetaka’ jika ia menghantar tentera ke bandar Rafah, di selatan Gaza – tempat lebih sejuta penduduk Palestin mencari perlindungan.


Amaran itu dibuat selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata beliau telah mengarahkan pihak tentera supaya “bersedia untuk melakukan operasi” di Rafah, bandar utama terakhir di Gaza yang belum dimasuki tentera darat Israel.

Angkatan bersenjata Israel meningkatkan serangan udaranya ke atas bandar itu pada 8 Februari, ketika kebimbangan pertempuran darat dan pengeboman semakin meningkat dalam kalangan ratusan ribu orang awam yang kini berlindung di dalam khemah di kawasan tersebut.

Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, memberi amaran serangan tentera Israel ke atas Rafah “akan meningkatkan penderitaan yang sudah menjadi mimpi ngeri kemanusiaan”.

Pertempuran hebat berterusan walaupun terdapat usaha antarabangsa ke arah gencatan senjata dalam perang paling berdarah di Gaza yang dicetuskan oleh serangan kumpulan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober yang membunuh lebih 1,400 orang dan 240 dijadikan tebusan.

Timbalan Jurucakap, Jabatan Negara Amerika, Encik Vedant Patel, berkata Washington “belum melihat sebarang bukti perancangan serius” untuk operasi darat di Rafah.

Menyedari bahawa Rafah juga merupakan pintu masuk penting untuk bantuan kemanusiaan yang disalurkan ke Gaza, Encik Patel berkata serangan sedemikian “bukan sesuatu yang kami sokong”.

“Untuk menjalankan operasi sedemikian sekarang tanpa perancangan dan sedikit pemikiran... akan menjadi bencana,” tambahnya.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, telah menyampaikan kebimbangan Washington kepada Encik Netanyahu semasa perbincangan mereka pada 7 Februari di Baitulmakdis, kata Encik Patel.

Secara terbuka, diplomat tertinggi Amerika itu memberi amaran bahawa sebarang “operasi ketenteraan yang dilakukan Israel perlu mengutamakan orang awam”.

Encik Blinken meninggalkan Israel setelah menamatkan lawatan krisis kelimanya di Timur Tengah sejak perang meletus.

Israel dilaporkan melakukan sekurang-kurangnya tujuh serangan udara semalaman di kawasan Rafah, menakutkan orang awam yang tinggal di tempat perlindungan dan kem sementara.

“Serangan ini adalah bukti tiada keselamatan di Rafah,” kata penduduk, Cik Umm Hassan, 48 tahun, yang rumahnya turut rosak akibat tembakan berhampiran yang mengena kediaman ketua polis tempatan.

Serangan dan pertempuran darat berterusan merentasi wilayah yang diperintah Hamas, yang kini telah membunuh lebih 27,000 rakyat Palestin.

Dalam pada itu, Presiden Amerika, Encik Joe Biden, pada 8 Februari berkata bahawa tindak balas ketenteraan Israel di Gaza adalah “melampau”, sambil menambah bahawa beliau sedang berusaha untuk mencapai gencatan senjata berterusan dalam pertempuran itu.

“Saya berpandangan, seperti yang anda ketahui, bahawa tindak balas di Gaza telah melampaui batas,” kata beliau kepada pemberita di Rumah Putih, dalam beberapa kritikannya yang paling tajam setakat ini terhadap pemerintah pimpinan Encik Netanyahu.

Encik Biden menambah beliau telah mendesak supaya bantuan kemanusiaan ditingkatkan kepada penduduk Palestin dan dilaksanakan gencatan senjata sementara untuk membolehkan pembebasan tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas. – Reuters​.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >