RAFAH: Serangan tentera Israel ke atas Gaza menyebabkan para penduduk Palestin terpaksa berpindah-randah untuk mencari perlindungan termasuk di sekitar tanah perkuburan.
Salah seorang daripada mereka, Encik Mahmoud Amer dan keluarganya, telah mendirikan khemah untuk berteduh dekat dengan batu nisan di tanah perkuburan di Rafah, tempat terakhir yang masih selamat di Jaluran Gaza yang hampir musnah seluruhnya.
Selain beliau, puluhan keluarga juga mendirikan khemah di tanah perkuburan dengan hamparan pasir dan pemandangan Laut Mediterranean kerana berasa kurang berisiko daripada pengeboman Israel.
“Orang ramai terpaksa datang ke tempat lebih selamat ini dan hidup berjiran dengan mereka yang telah meninggal dunia,’‘ kata Encik Amer, yang berpindah dari kem pelarian Al-Shati di utara Gaza bersama 11 anggota keluarga termasuk anak dan cucu.
“Ia lebih baik daripada tinggal di kawasan perumahan yang boleh runtuh apabila dibom,” tambahnya yang menghabiskan beberapa minggu di beberapa lokasi lain bagi melarikan diri daripada serangan tentera Israel.
Lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini hidup berkhemah di Rafah, dekat sempadan Mesir.
Israel telah mengancam untuk menggempur wilayah itu dengan kereta kebal apabila ia menamatkan pertempuran di Khan Younis di utara.
Tanah perkuburan di Rafah itu mempunyai deretan kubur simen rendah yang kemas sebelum perang, dengan pohon-pohon renek dan bunga tumbuh di atasnya, inskripsi dan cat yang mengelupas.
Ia juga mempunyai lebih banyak kubur asas – tempat mangsa perang dikebumikan dengan sekadar timbunan pasir yang ditinggikan permukaannya.
“Setiap hari, jenazah dibawa untuk dikebumikan. Kami mendoakan mereka, tinggal bersama mereka dan memohon belas kasihan untuk arwah,” kata Encik Amer.
Menurut beliau, para pelarian terus hidup dalam serba-serbi kekurangan makanan dan air serta ketakutan yang berterusan akibat serangan tentera Israel. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg