Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bertindak balas atau tidak? Iran hadapi dilema dalam konflik dengan Israel

Iran dilihat lemah oleh sekutu jika tidak bertindak; namun konflik berskala besar boleh jejas ekon
Nov 1, 2024 | 5:30 AM
Warga Iran berjalan melewati papan iklan anti-Israel dan anti-Amerika  yang memaparkan gambar Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian (dua dari kiri) serta Komander Tentera Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, Jeneral Mohammad Bagheri (kiri) dengan tajuk ‘Veteran’; dan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden (dua dari kanan) serta Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu (kanan) dengan tajuk ‘Pencetus Perang’ di Dataran Valiasr, Teheran, Iran, pada 28 Oktober.
Warga Iran berjalan melewati papan iklan anti-Israel dan anti-Amerika yang memaparkan gambar Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian (dua dari kiri) serta Komander Tentera Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, Jeneral Mohammad Bagheri (kiri) dengan tajuk ‘Veteran’; dan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden (dua dari kanan) serta Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu (kanan) dengan tajuk ‘Pencetus Perang’ di Dataran Valiasr, Teheran, Iran, pada 28 Oktober. - Foto EPA-EFE

TEHERAN: Situasi konflik antara Iran dengan Israel semakin tegang selepas serangan terkini Israel terhadap kedudukan Iran di Timur Tengah.

Iran kini berhadapan dengan dilema genting – sama ada untuk bertindak balas atau tidak.

Sekiranya Iran bertindak balas, ia berisiko meningkatkan konflik pada waktu ekonomi negara itu kini rapuh, seiring tekanan dalaman dan antarabangsa yang semakin memuncak.

Namun, jika ia tidak bertindak, Iran berisiko dilihat lemah oleh sekutu-sekutunya serta golongan berpengaruh dalam negara yang mendesak tindakan lebih agresif.

Serba Kekurangan

Iran berada dalam keadaan yang mencabar sejak serangan pada 7 Oktober 2023, apabila kumpulan Hamas menyerang Israel dan mencetuskan gelombang serangan balas dari Israel, yang turut menyasarkan sekutu Iran seperti Hezbollah, Houthi serta kepentingan Iran di Syria dan Iraq.

Menurut penganalisis geopolitik yang juga mantan diplomat Amerika Syarikat, Encik Jeremy Shapiro, kedua-dua pihak, Israel dan Iran, cuba mengekalkan ‘kesan penghalang’ melalui serangan balas bagi menunjukkan kekuatan masing-masing dan mempertahankan pengaruh dalam kalangan sekutu mereka.

“Serangan ini adalah demonstrasi kekuatan oleh kedua-dua pihak untuk menghalang pengaruh musuh,” kata Encik Shapiro.

Kesan penghalang ini adalah simbol kekuatan geopolitik yang membolehkan mereka mempengaruhi sekutu dan pesaing.

Tekanan Ekonomi

Ekonomi Iran menghadapi tekanan hebat disebabkan sekatan antarabangsa, khususnya dari Amerika dan Eropah, berkaitan program nuklearnya.

Sekatan itu telah menjejas ekonomi Iran sehingga memaksa negara itu menjalin hubungan lebih erat dengan Russia dan China.

Menurut Encik David Makovsky dari Institut Washington bagi Dasar Timur Tengah, Iran mungkin memilih untuk mengelak konflik berskala besar demi mengurangkan kos ekonomi.

“Mengawal konflik ini supaya tidak berkembang menjadi peperangan terbuka adalah kepentingan utama bagi kedua-dua pihak,” kata Encik Makovsky.

“Dalam dunia hari ini, membawa konflik ini ke dalam ‘perang bayangan’ lebih baik daripada perang terbuka,” tambahnya.

Kesulitan ekonomi memberi tekanan kepada Iran untuk mengelak konflik lebih besar dengan Israel kerana kos perang boleh memberi kesan lebih buruk kepada rakyat, yang sudah menderita akibat kenaikan harga dan ketidakstabilan ekonomi.

Tekanan Politik Dalaman

Di dalam negara, Iran turut berdepan tekanan daripada pelbagai pihak, terutama sekali Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), yang sering mendesak agar tindakan lebih tegas diambil terhadap Israel.

Mereka melihat tindak balas terhadap Israel sebagai satu cara menunjukkan kekuatan Iran di mata sekutu serta mengekalkan reputasi Iran sebagai kuasa besar serantau.

Penganalisis Encik Ali Vaez dari Kumpulan Krisis Antarabangsa menegaskan bahawa serangan Israel baru-baru ini lebih sengit berbanding sebelum ini, memandangkan mereka turut menyerang sistem pertahanan udara dan tapak menghasilkan peluru berpandu Iran.

“Persoalan utama sekarang ialah sama ada Iran akan menerima pukulan itu atau meningkatkan serangan balas,” kata Encik Vaez.

Ketegangan dalaman Iran itu turut rumit dengan persoalan mengenai pengganti pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang berusia 85 tahun.

Dengan kematian mantan presiden yang tegar, Encik Ebrahim Raisi, Iran kini dipimpin oleh Presiden Masoud Pezeshkian, yang lebih bersifat sederhana.

Encik Pezeshkian dilihat cuba mendekati Barat dan menunjukkan minat untuk rundingan semula program nuklear sebagai pertukaran bagi mengurangkan sekatan ekonomi.

Namun, ini hanya mungkin berlaku dengan izin Ayatollah Khamenei dan sokongan IRGC, yang cenderung kepada pendekatan konfrontasi.

Risiko Nuklear

Iran semakin hampir mencapai tahap penghasilan uranium bermutu bom nuklear.

Terdapat suara kuat dalam Iran yang melihat senjata nuklear sebagai satu-satunya cara mengimbangi kekuatan Israel, yang sudah memiliki senjata nuklear.

Bagaimanapun, Amerika sejak sekian lama menegaskan bahawa mereka tidak akan membiarkan Iran memiliki senjata nuklear.

Seperti yang disebut oleh Pengarah, Program Timur Tengah dan Afrika Utara dari institut dasar, Chatham House, Dr Sanam Vakil, Iran mungkin perlu mempertimbangkan risiko peperangan yang lebih besar jika ia meneruskan agenda nuklearnya, terutama sekali menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang akan datang.

Dr Vakil menambah: “Jika Iran mahu mengelakkan konflik besar menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika, ia harus mengambil pendekatan strategik yang lebih panjang dengan memberi tumpuan kepada diplomasi dan peluang yang mungkin muncul dari Barat.”

Langkah Seterusnya

Dilema yang dihadapi Iran adalah rumit.

Walaupun kepimpinan tertinggi Iran mungkin tidak mahu peperangan terbuka, mereka masih terdesak menunjukkan sokongan kepada sekutu seperti Hezbollah dan Houthi sebagai strategi pertahanan di hadapan.

Sejak serangan pada 7 Oktober 2023, tindakan tegas Israel telah merosakkan sekutu itu, yang turut memberi kesan kepada Iran sendiri.

Iran dilihat cuba memperkecilkan kesan serangan Israel dengan tidak memberi tindak balas yang berlebihan.

Setakat ini, media Iran masih menunjukkan program biasa tanpa laporan besar mengenai serangan tersebut, satu langkah yang kelihatan bertujuan meredakan ketegangan.

Iran mungkin memilih membalas secara simbolik bagi mengekalkan imej mereka sebagai kuasa yang kuat tanpa mencetuskan konflik terbuka yang lebih besar.

Langkah itu juga berpotensi membuka ruang diplomasi, yang mungkin dapat meredakan ketegangan serantau.

Namun, tekanan dari dalam negara, terutama dari IRGC, mungkin akan menentukan keputusan terakhir Iran dalam beberapa minggu mendatang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg