Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran akan tentukan tindak balas terbaik terhadap Israel

Oct 27, 2024 | 6:15 PM
Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Ayatollah Ali Khamenei, bercakap semasa satu mesyuarat di ibu kota Teheran pada 23 Oktober.
Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Ayatollah Ali Khamenei, bercakap semasa satu mesyuarat di ibu kota Teheran pada 23 Oktober. - Foto REUTERS

DUBAI: Pegawai Iran perlu menentukan cara terbaik untuk menunjukkan kuasa Teheran kepada Israel susulan serangan Israel ke atas negara itu pada 26 Oktober, kata Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Ayatollah Ali Khamenei, pada 27 Oktober.

“Kejahatan yang dilakukan oleh rejim Zionis itu dua malam lalu tidak boleh diperkecilkan atau diperbesar-besarkan”, tambah Encik Khamenei, lapor agensi berita rasmi Iran, Irna.

Iran pada 26 Oktober memperkecilkan serangan udara Israel terhadap kemudahan tentera mereka, dengan mengatakan ia menyebabkan kerosakan terhad.

Dua askar Iran terbunuh, namun infrastruktur tenaga atau kemudahan nuklear mereka tidak menjadi sasaran.

Tentera Israel menyatakan serangan tepat yang dilakukan ke atas kemudahan tentera Iran adalah tindak balas mereka terhadap serangan peluru berpandu balistik Teheran ke atas Israel pada 1 Oktober.

Puluhan jet pejuang Israel telah melengkapkan tiga siri serangan sebelum subuh ke atas kilang peluru berpandu dan tapak-tapak lain berhampiran Teheran dan di barat Iran, kata tentera Israel.

Iran berkata sistem pertahanan udaranya berjaya mengatasi serangan Israel ke atas sasaran tentera di wilayah Teheran, Khuzestan dan Ilam, dengan “kerosakan terhad” di beberapa lokasi.

Seorang jurucakap tentera mengatakan letupan yang kedengaran di Teheran datang daripada sistem pertahanan udara mereka yang bertindak balas terhadap serangan Israel di tiga lokasi di luar bandar.

Video daripada media Iran menunjukkan pertahanan udara negara itu secara berterusan menembak jatuh peluru berpandu Israel di kawasan tengah Teheran.

Agensi berita Fars melaporkan beberapa pangkalan tentera di barat dan barat daya Teheran menjadi sasaran Israel, tetapi agensi berita Tasnim menyatakan pangkalan Pasukan Pengawal Revolusi Iran yang diserang tidak mengalami kerosakan.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, menggesa agar dihentikan sebarang serangan yang boleh meningkatkan ketegangan atau menjadi penyebab tercetusnya konflik besar-besaran di Timur Tengah.

Sebuah agensi berita separa rasmi Iran berikrar akan memberi “tindak balas setimpal” terhadap serangan Israel itu.

Encik Khamenei pula berkata keupayaan Iran perlu ditunjukkan kepada Israel, sambil menambah bahawa cara melakukannya akan “ditentukan oleh para pegawai dan (langkah) yang terbaik untuk rakyat dan negara harus diambil”. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg