Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel serang sasaran tentera Iran, Teheran kata kerosakan ‘terhad’

Agensi berita dakwa Israel serang tapak tentera di tengah, selatan Syria; Tel Aviv belum sahkan
Oct 26, 2024 | 8:10 PM
Tentera Israel menyatakan serangan tepat yang dilakukan ke atas sasaran tentera Iran adalah tindak balas mereka terhadap serangan berterusan dari Iran.
Tentera Israel menyatakan serangan tepat yang dilakukan ke atas sasaran tentera Iran adalah tindak balas mereka terhadap serangan berterusan dari Iran. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Israel berkata ia menyerang tapak tentera di Iran pada awal 26 Oktober sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu balistik Teheran ke atas Israel pada 1 Oktober.

Ia langkah terbaru dalam konflik yang semakin meruncing antara dua musuh bersenjata berat itu.

Beberapa jam kemudian, tentera Israel berkata serangannya telah selesai dan matlamatnya tercapai, tetapi sebuah agensi berita separuh rasmi Iran berikrar akan memberi “balasan setimpal” terhadap tindakan Israel ke atas Tehran.

Media Iran melaporkan beberapa letupan berlaku sepanjang beberapa jam di Teheran dan pangkalan tentera berhampiran, bermula sejurus selepas 2 pagi.

Sebelum subuh, penyiar awam Israel berkata tiga gelombang serangan telah selesai dan operasi itu telah berakhir.

Iran berkata sistem pertahanan udaranya berjaya mengatasi serangan Israel ke atas sasaran tentera di wilayah Teheran, Khuzestan dan Ilam dengan “kerosakan terhad” di beberapa lokasi.

Ketegangan antara dua musuh ketat itu memuncak sejak Hamas, sekutu Iran yang berpangkalan di Gaza, menyerang Israel pada 7 Oktober 2023. Tindakan Hamas disokong oleh sekutu Iran di Lebanon, Hezbollah.

Kebimbangan bahawa Iran dan Amerika Syarikat akan terlibat dalam perang serantau meningkat dengan serangan Israel yang semakin dahsyat ke atas Beirut, ibu kota Lebanon, sejak September, serta bedilan yang berlangsung selama setahun di Gaza.

Tentera Israel menyatakan serangan tepat yang dilakukan ke atas sasaran tentera Iran adalah tindak balas mereka terhadap serangan berterusan dari Iran. 

Mereka juga mengesahkan serangan itu telah berakhir dan pesawat-pesawat mereka telah kembali dengan selamat.

Menurut seorang pegawai Amerika, serangan itu tidak menyasarkan infrastruktur tenaga atau kemudahan nuklear Iran.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, memberi amaran bahawa Washington, sebagai sekutu utama Israel, tidak akan menyokong serangan ke atas tapak nuklear Iran dan menasihati Israel supaya mempertimbangkan sasaran alternatif.

Pihak berkuasa Iran telah berulang kali memberi amaran kepada Israel agar tidak melancarkan serangan, dengan mengatakan sebarang serangan ke atas Iran akan dibalas dengan lebih kuat.

Seorang jurucakap tentera mengatakan letupan yang kedengaran di Teheran berkait dengan sistem pertahanan udara yang bertindak balas terhadap serangan Israel di tiga lokasi di luar bandar.

Video dari media Iran menunjukkan pertahanan udara negara itu secara berterusan menembak peluru berpandu Israel di kawasan tengah Teheran.

Agensi berita Fars melaporkan beberapa pangkalan tentera di barat dan barat daya Teheran menjadi sasaran Israel, tetapi Tasnim menyatakan pangkalan Pasukan Pengawal Revolusi Iran yang diserang tidak mengalami kerosakan.

Jurucakap Pertubuhan Penerbangan Awam Iran berkata penerbangan di semua laluan dibatalkan hingga makluman lanjut, lapor agensi berita Irna.

Menurut agensi berita Syria, Sana, Israel melakukan serangan udara ke atas beberapa tapak tentera di bahagian tengah dan selatan Syria pada awal 26 Oktober, namun Israel belum mengesahkan serangan tersebut.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant, sedang memantau operasi ketenteraan dengan teliti dari pusat arahan di Tel Aviv.

Amerika telah dimaklumkan mengenai operasi Israel terhadap Iran, tetapi tidak mengambil bahagian dalam serangan itu. 

Setiausaha Negara, Encik Antony Blinken, yang berada di Timur Tengah untuk menjadi perantara perjanjian damai, menyatakan tindakan balas Israel tidak seharusnya meningkatkan ketegangan.

Namun, Amerika tetap meyakinkan sekutunya itu ia akan memberi sokongan dalam pertahanan jika berlaku sebarang serangan balas dari Teheran. Ini termasuk memindahkan sistem peluru berpandu penangkis ‘Thaad’ ke Israel serta mengerahkan sekitar 100 tentera Amerika untuk mengendalikannya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg