AHMEDABAD: Dalam tragedi paling buruk melibatkan pesawat Air India, kerusi 11A kini menjadi tanda tanya besar selepas penumpangnya terselamat dalam keadaan yang disifatkan pakar sebagai “luar biasa dan hampir mustahil”.
Encik Vishwash Kumar Ramesh, warga Britain keturunan India, duduk di kerusi 11A iaitu barisan kecemasan di atas sayap kiri pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang terhempas dan terbakar sejurus berlepas.
“Bunyi kuat meletup selepas berlepas... kemudian gelap. Tapi bila saya sedar, saya masih hidup,” katanya dari katil hospital, menggambarkan detik dirinya keluar melalui ruang kecil berhampiran pintu kecemasan, dengan tangan melecur disambar api.
Apa yang mengejutkan pakar keselamatan adalah lokasi kerusi itu.
“Tempat duduk atas sayap adalah kawasan paling teruk impak. Sukar dipercayai ada orang boleh keluar hidup dari situ,” kata David Soucie, bekas penyiasat FAA kepada CNN, dan dipetik laman Sinar Harian.
Menurut rekod yang tular di media India, pas masuk penerbangan Encik Ramesh menunjukkan 11A iaitu hanya beberapa sentimeter dari titik impak utama.
Namun bahagian tempat duduknya hampir tidak musnah.
Encik Ramesh berkata beliau membuka tali pinggang keselamatan dan meloloskan diri sambil melihat ramai penumpang mati di sekelilingnya.
Namun, Encik Ramesh masih trauma dan tidak tahu nasib abangnya yang duduk di tempat lain.
Ahli keluarganya di United Kingdom menyifatkan kelangsungan hidup Encik Ramesh sebagai “ajaib”, dan memilih untuk tidak mengulas lanjut demi menghormati mangsa lain.
Pesawat itu membawa 242 individu, termasuk 53 warga Britain. Hanya seorang dikatakan selamat iaitu dari kerusi 11A.
Kini, kerusi itu menjadi simbol keajaiban... dan misteri yang masih belum terjawab.
Sebabnya, pelakon dan penyanyi Thailand, Ruangsak Loychusak, juga pernah terselamat daripada nahas pesawat sekitar 27 tahun lalu, apabila duduk di kerusi 11A.
“Seorang penumpang terselamat daripada nahas kapal terbang di India. Dia pun duduk di kerusi yang sama dengan saya, 11A,” tulis Ruangsak di Facebook menyusuli nahas itu.
Pada Disember 1998, Ruangsak yang ketika itu berusia 20 tahun terlibat dalam nahas pesawat Thai Airways Penerbangan TG261.
Pesawat yang sedang mendarat di Lapangan Terbang Surat Thani di bahagian selatan Thailand, jatuh ke dalam paya, menamatkan nyawa 101 daripada 146 penumpang.
Ruangsak terselamat, dan bertahun selepas itu, terbuka untuk berkongsi kepada awam mengenai trauma dan rasa bersalah yang menyelubungi jiwanya.
Beliau dikatakan keberatan menaiki pesawat selama 10 tahun, menyifatkan kehidupan yang dijalani kini sebagai “peluang kedua”.
Dengan dua penumpang pesawat yang mengorbankan ramai duduk di tempat duduk yang sama, 11A, perbincangan dalam talian mengenai kerusi magis ini mula hangat.
“Setiap kemalangan berbeza, dan mustahil untuk meramalkan daya keselamatan seseorang hanya berdasarkan lokasi tempat duduk dalam pesawat,” jelas Pengarah Yayasan Keselamatan Penerbangan, yang berpangkalan di Amerika, Encik Mitchell Fox.
Susunan dalaman pesawat berbeza-beza dan apa yang dianggap posisi yang baik dalam satu keadaan mungkin tak sama dengan yang satu lagi.
Pengerusi syarikat runding cara penerbangan yang berpangkalan di Sydney, Australia, AvLaw Aviation Consulting, Encik Ron Bartsch, pula menambah: “Dalam hal ini, kerana penumpang duduk berhampiran pintu keluar pesawat, pastinya ini tempat duduk paling selamat.
“Tapi tak selalunya kerusi 11A merupakan tempat duduk magis, ini kebetulan merupakan tempat duduk yang diletakkan sebegitu (selamat) di dalam pesawat Boeing 787.” - Agensi Berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg