Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas Air India: 26 individu Muslim terkorban termasuk keluarga aktif kerja kebajikan untuk Gaza

Jun 14, 2025 | 5:41 PM
Air India, nahas, Nanabawa, Syed, India, London
Encik Akeel Nanabawa (kiri), isterinya, Cik Hannaa Vorajee (kanan), dan anak perempuan mereka yang berusia empat tahun, Sara Nanabawa, diangap sebagai keluarga yang disayangi ramai, dan banyak terlibat dalam kerja kemasyarakatan termasuk mengumpul dana untuk Gaza. - Foto ihsan keluarga AKEEL NANABAWA

Bencana penerbangan tragis, Air India 171, yang berlaku pada 12 Jun lalu, dalam perjalanan dari Ahmedabad, India, ke London Gatwick, dilaporkan mengorbankan 26 penumpang beragama Islam.

Pesawat Boeing 787 Dreamliner itu bertembung dengan kawasan perumahan berhampiran landasan, menyebabkan kebakaran yang turut mengorbankan penduduk dan pelajar perubatan di kawasan berhampiran.

Angka korban, buat masa ini, dilaporkan polis meningkat kepada 279 orang.

Hanya seorang penumpang, warga Britain, Vishwash Kumar Ramesh, dilaporkan terselamat kerana ketangkasannya melepas bebaskan dirinya daripada nahas berkenaan.

Agensi berita melaporkan Air India telah mengeluarkan senarai nama mangsa nahas termasuk 26 penumpang penerbangan tersebut yang dikenal pasti sebagai beragama Islam, sebagaimana yang ditukil laman The Islamic Information.

Dalam kalangan mereka, lima merupakan penumpang kanak-kanak.

Pihak berkuasa kini sedang menyelaras perihal pengkebumian mangsa nahas bersama keluarga yang terjejas serta masyarakat Islam di daerah masing-masing.

Talian bantuan dan khidmat kaunseling turut disediakan Air India bagi meringankan bebanan emosi keluarga mangsa.

KELUARGA NANABAWA

Antara penumpang Muslim dalam penerbangan tersebut ialah Encik Akeel Nanabawa, isterinya, Cik Hannaa Vorajee, dan anak perempuan mereka yang berusia empat tahun, Sara Nanabawa, lapor laman BBC.

Mereka dikatakan telah ke India bagi satu kunjungan kerja kemasyarakatan dan dalam perjalanan pulang ke London.

Satu kenyataan pihak keluarga mereka, yang diwakili Imam Abdullah, berkata: “Remuk hati kami dengan peristiwa yang memilukan ini. Kami masih lagi sukar menerima hakikat peristiwa yang pahit ditelan ini.

“Keluarga Nanabawa ini sangat disayangi dan dihormati ramai.”

Menurutnya lagi, Encik Akeel adalah insan yang murah hati dalam sikapnya yang pendiam, manakala Cik Hannaa pula baik budi dan mesra dengan ramai. Anaknya, Sara, pula ceria dan penyinar kesuraman di bilik darjahnya. Diharapkan pemergian merekia ini meninggalkan kesan dan ingatan yang baik dalam kalangan golongan yang mengingati mereka.

“Tragedi ini menyentak seluruh masyarakat. Di dalam ruang di mana kami saling mengenali dan mengambil berat terhadap satu sama lain, kesakitan yang dirasakan kehilangan orang tersayang dikongsi ramai,” kata Imam Abdullah lagi.

Masyarakat Muslim Gloucester menyampaikan takziah tulus dan mendalam dalam ucapan berikut:

“Tiada kata-kata yang dapat meluputkan keperitan yang dirasakan dengan kehilangan besar ini, tetapi kami berdoa agar keluarga mereka menemui ketenangan dengan keihsanan yang datang mencurah-curah serta perpaduan dari masyarakat merata dunia.

“Moga kenangan yang terpahat di ingatan mengenai keluarga ini akan memberi ketenangan di hati. Moga mereka ditempatkan tenang dalam kalangan mereka yang beriman.”

Encik Abdullah Samad yang merupakan guru kepada Sarah, berkata keluarga Nanabawa ini dikenali kerana kerja amal dan keihsanan mereka.

“Mereka menyentuh jiwa ramai orang dan akan dirindui orang-orang sekeliling.

“Mereka membantu mengumpul dana bagi kerja kemasyarakatan di Gaza serta mengusahakan misi kumpul dana untuk perubatan bagi individu kurang berkemampuan di India. Khidmat mereka akan sentiasa dikenang,” jelasnya.

KELUARGA SYED

Turut terkorban dalam nahas itu adalah Encik Syed Javed Ali dan isterinya, yang hanya dikenali sebagai Cik Mariam, dari kawasan barat London.

Mereka bersama dua anak kecil mereka, Zayn, lima tahun, dan Amani, empat tahun, dalam perjalanan pulang dari percutian di India.

Cik Mariam bertugas di gedung beli-belah mewah, Harrods selama sedekad, manakala Encik Javed pula bekerja di sebuah hotel di London.

Adik ipar Encik Javed, Cik Yasmine Hassan, memberitahu laman Telegraph: “Anak-anak Javed dan Mariam masih kecil lagi. Saya tak dapat bayangkan betapa takutnya mereka ketika nahas berlaku.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg