Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden akan berucap kali pertama sejak berundur dari pemilihan presiden

Jul 24, 2024 | 2:03 PM
Joe Biden
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, menghadapi cabaran sukar dalam mencapai kemajuan matlamat domestik pada bulan-bulan terakhirnya memegang jawatan. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, kembali ke Washington pada 23 Julai buat kali pertama sejak menarik diri daripada pemilihan presiden.

Beliau juga mengumumkan rancangan untuk berucap kepada negara pada 24 Julai bagi menjelaskan keputusannya itu dan bagaimana beliau mahu memanfaatkan enam bulan terakhirnya di Rumah Putih.

Encik Biden kembali ke Washington selepas pengasingan selama enam hari di rumah percutiannya di Pantai Rehoboth, Delaware, akibat dijangkiti Covid-19.

Perjalanannya ke Rumah Putih adalah kali pertama beliau dilihat di khalayak ramai sejak lewat 17 Julai.

Setibanya di Pangkalan Tentera Udara Dover di Delaware untuk penerbangan pulang, Encik Biden, berkata: “Saya berasa sihat.”

Selepas mendarat di Pangkalan Bersama Andrews di Maryland di luar Washington, beliau ketika ditanya tentang ucapannya yang akan datang seraya berkata:

“Tonton dan dengar. Mengapa kamu tidak menunggu dan mendengar apa yang saya katakan nanti?”

Dalam hantaran di media sosial, Encik Biden, menulis bahawa beliau akan membincangkan “apakah yang akan berlaku dan bagaimana saya akan menyelesaikan kerja itu untuk rakyat Amerika”.

Beliau menjelaskan dalam panggilan telefon ke ibu pejabat kempen lamanya pada 22 Julai bahawa beliau bertekad menggunakan baki masanya di pejabat untuk berkempen secara bersungguh-sungguh bagi membantu Naib Presiden, Cik Kamala Harris, dan untuk memajukan keutamaan di dalam dan luar negara.

“Saya tidak akan ke mana-mana,” katanya, frasa yang disebutnya tiga kali dalam empat minit.

Ini adalah petanda betapa cepatnya kitaran politik berlaku – Encik Biden hanya memberikan dua ucapan di Pejabat Oval dalam tempoh tiga setengah tahun menjadi presiden, tetapi pada malam 24 Julai, beliau memberikan dua lagi ucapan dalam masa hanya 10 hari.

Encik Biden, juga dijadual bertemu Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 25 Julai kata pegawainya.

Beliau turut dijangka bertemu dengan keluarga rakyatnya yang menjadi tebusan di Gaza di Rumah Putih akhir minggu ini, ujar seorang pegawai Amerika.

Kumpulan Hamas Palestin sebelum ini menangkap 251 orang sebagai tebusan dengan 116 daripadanya kekal di Gaza, termasuk 42 tentera dikatakan sudah meninggal dunia.

Ia akan menjadi pertemuan kedua presiden itu sejak tebusan diculik ketika serangan Palestin terhadap Israel pada 7 Oktober. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg