Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Biden akhiri lawatan ke Israel, ikrar salur bantuan kemanusiaan ke Gaza

Oct 19, 2023 | 11:51 AM



TEL AVIV: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berikrar bahawa Amerika Syarikat akan berdiri teguh bersama Israel dalam perang menentang Hamas dan mendedahkan perjanjian baru untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza menerusi Mesir.


Beliau yang pulang selepas mengakhiri lawatan ke Israel, dengan tegas menyokong dakwaan Israel bahawa ia tiada kaitan dengan letupan hospital di Gaza itu.

Pegawai perisikan Amerika dan Israel berkata bahawa bukti awal menunjukkan letupan maut itu disebabkan oleh roket sesat yang dilepaskan oleh pejuang Palestin.

Kemarahan melanda dunia Arab atas letupan yang mengorbankan ratusan orang di hospital di Gaza.

Dalam ucapannya, Encik Biden bercakap secara emosi tentang “kemarahan memakan masa” yang mesti dirasai oleh Israel selepas melihat 1,400 orang dibunuh oleh pengganas Hamas dalam serbuan rentas sempadan pada 7 Oktober itu.

Namun, beliau kemudian mengingatkan rakyat Israel supaya tidak terbawa-bawa dengan kemarahan sehingga mereka melakukan kesilapan.

“Selepas 9/11, kami marah di Amerika. Sementara kami berusaha mencari keadilan dan mendapatkan keadilan, kami juga melakukan kesilapan,” ujar Encik Biden.

Tidak jelas sama ada ucapan Encik Biden di Tel Aviv itu akan meredakan kemarahan yang meluas terhadap perang dan pembunuhan beramai-ramai dalam letupan pada Selasa di Hospital al-Ahli Arab di ibu kota Gaza, yang telah mendorong protes anti-Israel dari Teheran, Iran, ke Rabat, Maghribi.

Ketika kejadian berlaku, ramai orang awam berlindung daripada pengeboman Israel di kawasan hospital.

Hamas, kumpulan Palestin yang mengawal Gaza dan sedang memerangi Israel, menyalahkan serangan udara Israel tanpa menyebut bukti – satu dakwaan yang diterima secara meluas di seluruh Timur Tengah.

“Berdasarkan apa yang saya lihat, nampaknya ia dilakukan oleh pasukan lain, bukan anda,” kata Encik Biden kepada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, ketika mereka duduk bersebelahan di sebuah hotel di Tel Aviv di hadapan sekumpulan wartawan.

Encik Biden tidak meninggalkan Tel Aviv tanpa apa-apa untuk ditawarkan kepada pengkritik yang mendakwa Amerika menyokong pengepungan kejam ke atas Gaza yang hanya akan membawa kepada lebih banyak kematian orang awam.

Menurutnya, beliau telah memperoleh persetujuan dari Mesir dan Israel untuk membenarkan bantuan kemanusiaan antarabangsa disalurkan ke Jaluran Gaza yang dikepung Israel.

Ini merupakan petunjuk pertama bahawa bantuan kepada krisis kemanusiaan yang menyebabkan dua juta penduduk di kawasan itu menghadapi kekurangan keperluan asas yang teruk, akan menjadi kenyataan.

Encik Biden selanjutnya berkata bahawa pemerintah Mesir telah bersetuju membenarkan 20 trak bantuan masuk ke Gaza walaupun beliau tidak menyatakan bila.

Jika kumpulan Hamas memintas bantuan itu, ia akan terputus, tetapi jika tidak, Mesir akan memberi lebih banyak bantuan, kata Encik Biden. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >