Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden tiba di Israel sedang pertemuan dengan pemimpin Arab dibatal

Oct 18, 2023 | 5:05 PM
HANYA LAWAT ISRAEL: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden (kanan) disambut oleh Perdana Menteri Israel, Encik  Benjamin Netanyahu, semasa tiba di Israel sedang Jordan membatalkan sidang puncak yang dijadualkan di Amman pada Rabu bersama pemimpin Mesir dan Palestin untuk membincangkan isu Gaza.
HANYA LAWAT ISRAEL: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden (kanan) disambut oleh Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, semasa tiba di Israel sedang Jordan membatalkan sidang puncak yang dijadualkan di Amman pada Rabu bersama pemimpin Mesir dan Palestin untuk membincangkan isu Gaza. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Usaha Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, untuk meredakan ketegangan perang yang semakin memuncak antara Israel dengan Hamas menghadapi halangan besar sebaik beliau tiba di Israel pada Rabu.

Encik Biden memeluk Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Presiden Isaac Herzog sejurus mendarat di lapangan terbang – selang beberapa jam Jordan membatalkan sidang puncak yang dirancang dengan Encik Biden dan beberapa pemimpin Arab susulan letupan maut di hospital Gaza yang menyebabkan ratusan orang terkorban.

Encik Biden sebelum ini dijadual bertemu Raja Jordan, Raja Abdullah II; Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah El-Sisi; dan pemimpin Pihak Berkuasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, dalam sidang kemuncak itu selepas melawat Israel buat kali pertama.

Encik Biden kini akan hanya melawat Israel dan terpaksa menangguhkan perjalanannya ke Jordan, kata seorang pegawai Rumah Putih.

“Selamat datang, Tuan Presiden. Moga anda diberkati kerana melindungi negara Israel,” lapor pejabat Encik Herzog yang dipetik sebagai memberitahu Encik Biden.

Presiden Amerika itu akan mengadakan perbincangan dengan Encik Netanyahu bagi menjelaskan Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, pada Selasa.

Penangguhan sidang puncak Amman dibuat selepas Encik Abbas menarik diri daripada mesyuarat berkenaan sebagai membantah serangan terkini ke atas hospital yang dipersalahkan oleh Kementerian Kesihatan Hamas di Gaza sebagai serangan udara Israel.

Namun, tentera Israel bertegas bahawa ia tidak terlibat dan menyalahkan roket Palestin yang tersasar.

Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, berkata Jordan hanya akan menjadi tuan rumah sidang puncak apabila semua peserta bersetuju dengan tujuannya iaitu untuk “menghentikan perang, menghormati hak kemanusiaan rakyat Palestin dan menyampaikan bantuan yang sepatutnya”.

Pembatalan itu mencerminkan situasi semakin tidak menentu yang akan menguji had pengaruh Amerika di rantau itu ketika Encik Biden melawat Israel.

Keputusan Encik Biden untuk meletakkan dirinya dalam zon konflik – pada tahun yang sama beliau membuat lawatan mengejut ke Ukraine – menunjukkan kesanggupannya untuk mengambil risiko peribadi dan politik apabila beliau terlibat dalam satu lagi konflik asing yang di luar kawalannya.

Usaha diplomatik menerusi lawatan presiden yang mempunyai kepentingan tinggi, adalah lambang kepercayaan Encik Biden bahawa Amerika tidak seharusnya berpatah balik daripada peranan utamanya di pentas sejagat dan kepercayaannya bahawa diplomasi peribadi boleh memainkan peranan ke arah itu. – Agensi berita.​

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg