WASHINGTON: Presiden Joe Biden memberi amaran tentang kemunculan sebuah “oligarki” yang melibatkan golongan maha kaya yang semakin memusatkan kuasa dan pengaruh mereka di Amerika Syarikat.
Encik Biden mengungkapkan kebimbangan tentang “tumpuan kuasa yang berbahaya” yang boleh mengancam demokrasi negara dan hak-hak asas rakyat.
“Hari ini, sebuah oligarki sedang terbentuk di Amerika, yang menggabungkan kekayaan, kuasa dan pengaruh yang luar biasa, dan ini mengancam keseluruhan demokrasi kita, hak asasi kita, serta peluang yang adil bagi semua untuk maju,” ujar Encik Biden.
Kenyataan ini jelas menunjukkan keprihatinan beliau terhadap peranan golongan kaya seperti Elon Musk yang dijangka akan memegang pengaruh besar dalam pemerintahan yang akan datang di bawah pentadbiran Donald Trump.
Walaupun tidak menyebut Encik Trump secara langsung, Encik Biden menekankan pengaruh yang wujud di dalam pentadbiran baru ini, yang boleh memberikan ruang yang luas kepada golongan kaya untuk mengukuhkan kedudukan mereka demi kepentingan peribadi.
Selain itu, Encik Biden turut membangkitkan kebimbangan terhadap pengaruh industri teknologi yang semakin besar, yang boleh mempengaruhi kesahihan dan integriti maklumat.
Beliau mengkritik tindakan platform media sosial seperti Meta yang baru-baru ini menghapuskan pemeriksaan fakta, menjadikan penyebaran maklumat palsu lebih mudah. “Amerika kini terperangkap dalam gelombang maklumat salah, yang membolehkan penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.
Dalam aspek lain, Encik Biden menyeru rakyat Amerika untuk terus terlibat dalam proses demokrasi dan tidak menyerah kepada pengaruh golongan elit yang hanya mementingkan keuntungan mereka sendiri.
“Golongan berkuasa ingin menggunakan pengaruh mereka untuk menghapuskan langkah-langkah yang telah kita ambil dalam menangani krisis iklim, demi kepentingan kuasa dan keuntungan mereka,” katanya. Beliau juga menekankan bahawa rakyat tidak boleh tunduk kepada tekanan yang mengorbankan masa depan generasi akan datang.
Encik Biden turut memberi penekanan terhadap pentingnya sistem pemisahan kuasa dan keseimbangan, yang telah menjadi asas kepada kestabilan demokrasi Amerika selama hampir 250 tahun. “Sistem kita mungkin tidak sempurna, tetapi ia telah berjaya mengekalkan demokrasi kita lebih lama daripada mana-mana negara lain dalam sejarah,” jelas Encik Biden.
Selain itu, beliau menggesa agar ada perubahan yang lebih jelas dalam sistem politik, termasuk pengenalan had tempoh untuk perkhidmatan Mahkamah Agung, serta reformasi etika bagi menghalang ahli Kongres daripada terlibat dalam perdagangan saham.
Beliau juga menggesa perubahan kepada Perlembagaan untuk memastikan bahawa tiada presiden yang dapat terlepas daripada tindakan jenayah semasa memegang jawatan.
Ucapan perpisahan ini bukan sahaja mencerminkan perjalanan politik Biden selama empat tahun di Rumah Putih, tetapi juga menggambarkan komitmennya terhadap nilai-nilai demokrasi yang telah dibina sejak sekian lama.
“Setelah 50 tahun berkhidmat, saya tahu bahawa mempercayai idea Amerika bermakna menghormati institusi yang mengatur masyarakat bebas,” kata Encik Biden.
Encik Biden juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan kepada keluarga dan orang terdekatnya, termasuk anaknya, Encik Hunter Biden, yang turut hadir dalam ucapan tersebut. “Kamu adalah cinta dalam hidup saya,” ujar Biden kepada mereka.
Dalam amanat terakhirnya, beliau menyeru rakyat Amerika untuk terus berpegang pada prinsip-prinsip negara dan menjaga kepercayaan yang telah dibina sejak sekian lama.
“Semoga anda semua menjadi penjaga obor ini. Semoga anda terus memelihara kepercayaan. Saya mencintai Amerika. Anda juga mencintainya. Semoga Tuhan memberkati anda semua. Semoga Tuhan melindungi tentera kita. Terima kasih atas penghormatan yang besar ini,” katanya, sebelum menutup ucapannya dengan penuh emosi. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg