Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penghormatan negara AS bagi pengebumian mantan presiden Carter

Jan 4, 2025 | 4:35 PM
Patung mantan presiden Amerika Syarikat, Encik Jimmy Carter, di perkarangan Georgia State Capitol pada 3 Januari.
Patung mantan presiden Amerika Syarikat, Encik Jimmy Carter, di perkarangan Georgia State Capitol pada 3 Januari. - Foto EPA-EFE

GEORGIA (Amerika Syarikat): Masyarakat akan mula memberi penghormatan kepada mendiang Jimmy Carter pada 4 Januari, memulakan acara ucapan perpisahan enam hari yang dirancang dengan teliti bagi mantan presiden Amerika Syarikat yang hayatnya paling panjang itu.

Bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara itu sejak Encik Carter, yang menjadi presiden dari 1977 hingga 1981, meninggal dunia pada 29 Disember 2024 pada usia 100 tahun di kampung halamannya di Plains, Georgia.

Khidmat pengebumian negara Encik Carter secara rasmi bermula pada 4 Disember, dengan ejen Perkhidmatan Rahsia daripada kumpulan pengawal keselamatannya mengangkat kerandanya ke van jenazah untuk dibawa melalui Plains.

Iring-iringan kenderaan yang membawa jenazah akan berhenti seketika di ladang kacang tanah milik keluarga Encik Carter, dengan loceng ladang dibunyikan 39 kali sebagai penghormatan kepada presiden ke-39 Amerika itu.

Jenazahnya kemudian akan dibawa ke Atlanta untuk singgah sebentar di Georgia Capitol, tempat Encik Carter berkhidmat sebagai senator negeri sebelum menjadi gabenor.

Dari sana, jenazah Encik Carter akan dibawa ke Pusat Presiden Carter dan ia akan diletakkan dari 7 malam pada 4 Januari hingga 6 pagi pada 7 Januari untuk orang ramai memberi penghormatan.

Jenazah Encik Carter akan diterbangkan pada pagi 7 Januari dari sebuah pangkalan tentera di Georgia ke Pangkalan Bersama Andrews di luar Washington oleh pesawat Tentera Udara Amerika di bawa Misi Udara Khas 39.

Jenazah bekas ketua komander tentera itu kemudian akan dibawa ke Memorial Tentera Laut Amerika.

Encik Carter, yang menyertai Akademi Tentera Laut Amerika dan menamatkan pengajian pada 1946, akan dipindahkan dari van jenazah ke kenderaan berkuda bagi perarakan ke Capitol.

Pengusung tentera akan membawa kerandanya yang dibalut bendera ke sebuah bangunan di Capitol dan ia akan diletakkan hingga 7 pagi pada 9 Januari.

Satu khidmat pengebumian negara akan diadakan pada 9 Januari di Gereja Besar Negara, yang turut menganjurkan pengebumian negara bagi mantan presiden Encik Dwight D. Eisenhower, Encik Ronald Reagan, Encik Gerald Ford dan Encik George H.W. Bush.

Kesemua empat mantan presiden yang masih hidup – Encik Bill Clinton, Encik George W. Bush, Encik Barack Obama dan Encik Donald Trump – dijangka hadir.

Presiden Joe Biden akan menyampaikan ucapan bagi rakan Demokratnya itu.

Jenazah Encik Carter kemudian akan diterbangkan kembali ke Georgia untuk pengebumian privet.

Jet Tentera Laut Amerika akan melakukan terbang rendah untuk menghormatinya sebelum beliau dikebumikan bersama isterinya selama 77 tahun, Cik Rosalynn, yang meninggal dunia pada 2023 pada usia 96 tahun. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg