WASHINGTON: Presiden Joe Biden, yang akan meninggalkan Rumah Putih, berusaha menggilap rekod dasar luarnya dengan berkata musuh Amerika Syarikat kini lebih lemah berbanding ketika beliau memegang jawatan empat tahun lalu meskipun krisis sejagat masih belum dapat diatasi.
Berucap di Jabatan Negara pada 13 Januari – seminggu sebelum menyerahkan jawatan kepada Encik Donald Trump – beliau menyebut tentang sokongan pentadbirannya kepada Ukraine menentang pencerobohan Russia pada 2022 dan perang Israel di Timur Tengah.
Encik Biden berkata Amerika “memenangi persaingan di seluruh dunia” dan tidak akan diatasi oleh China dari segi ekonomi seperti yang telah diramalkan, manakala Russia dan Iran telah dilemahkan oleh peperangan tanpa penglibatan Amerika secara langsung.
“Berbanding empat tahun lalu, Amerika lebih kuat, pakatan kita lebih kuat, musuh dan pesaing kita lebih lemah. Kita tidak pergi berperang agar ia berlaku,” ujarnya.
Ketika perang terus berleluasa di Ukraine dan Timur Tengah, para pegawai berharap perjanjian antara Israel dengan Hamas dapat dicapai sebelum Encik Biden meninggalkan Rumah Putih pada 20 Januari.
Menurutnya, para perunding hampir mencapai perjanjian yang akan membebaskan tebusan Israel yang ditahan Hamas dan menghentikan pertempuran di wilayah Palestin bagi membolehkan lonjakan bantuan kemanusiaan.
“Begitu ramai orang yang tidak bersalah terbunuh, begitu banyak masyarakat telah dimusnahkan. Rakyat Palestin berhak mendapat keamanan dan menentukan masa depan mereka sendiri.
“Israel juga berhak menikmati keamanan dan keselamatan sebenar. Tebusan dan keluarga mereka layak disatukan semula.
“Kami sedang giat berusaha untuk mencapai perjanjian ini,” tegas beliau.
Encik Biden berdepan dengan kritikan kerana membekalkan Israel senjata dan sokongan diplomatik sejak konflik Israel-Palestin mencetuskan peperangan pada 7 Oktober 2023, apabila Hamas menyerang Israel dengan 1,200 orang terbunuh dan lebih 240 tebusan ditahan.
Tindakan ketenteraan Israel ke atas Gaza sehingga kini telah membunuh lebih 46,000 rakyat Palestin dan menyebabkan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal.
Penunjuk perasaan menjerit “penjenayah perang” ketika menyambut ketibaan Encik Biden di luar Jabatan Negara pada 13 Januari.
Encik Biden berkata beliau telah membantu Israel mengalahkan musuh seperti Hamas di Gaza dan Hezbollah di Lebanon, kedua-duanya disokong oleh Iran.
Beliau turut memuji sokongan Washington terhadap Israel semasa dua serangan Iran pada 2024.
“Iran lebih lemah berbanding beberapa dekad,” tambahnya sambil merujuk kepada kejatuhan rejim mantan presiden Bashar al-Assad di Syria.
Namun, Encik Biden akur bahawa negara seperti China, Iran, Korea Utara dan Russia kini lebih rapat antara satu sama lain, tetapi ia lebih “memaparkan kelemahan daripada kekuatan”.
Ukraine, dengan sokongan Amerika, telah menggagalkan matlamat Presiden Russia Vladimir Putin untuk menghapuskan negara itu daripada peta, kata beliau.
Encik Biden berkata apabila beliau memasuki Rumah Putih, pakar meramalkan China akan mengatasi Amerika dari segi ekonomi tetapi ia tidak berlaku dan ekonomi Amerika sedang bergerak ke depan.
Beliau berkata pentadbirannya meninggalkan pasukan seterusnya dengan “tangan yang amat kuat” untuk menerajui negara. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg