Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden hubungi Netanyahu gesa gencatan senjata segera di Gaza

Rumah Putih: Pegawai AS giat usaha capai perjanjian sebelum Biden lepas jawatan pada 20 Jan
Jan 13, 2025 | 2:29 PM
Kepulan asap kelihatan di Jaluran Gaza di tengah-tengah bangunan yang musnah pada 13 Januari ekoran pertempuran berterusan antara Israel dengan Hamas.
Kepulan asap kelihatan di Jaluran Gaza di tengah-tengah bangunan yang musnah pada 13 Januari ekoran pertempuran berterusan antara Israel dengan Hamas. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden telah bercakap dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada 12 Januari, kata Rumah Putih.

Perbualan itu berlaku sedang pegawai Amerika giat berusaha mencapai perjanjian tebusan dan gencatan senjata Gaza sebelum Encik Biden meninggalkan pejabatnya pada 20 Januari.

Kedua-dua pemimpin itu telah membincangkan usaha menghentikan pertempuran di wilayah Palestin dan membebaskan baki tebusan Israel, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan di akhir perbualan melalui telefon itu.

Encik Biden “menekankan keperluan segera untuk gencatan senjata di Gaza dan pemulangan tebusan dengan kenaikan besar bantuan kemanusiaan yang dibolehkan menyusuli perjanjian itu kelak”, katanya.

Encik Netanyahu telah memaklumkan Encik Biden tentang kemajuan dalam rundingan dan mandat yang beliau berikan kepada delegasi keselamatan peringkat tertingginya di Doha, Qatar, untuk memajukan perjanjian gencatan senjata, kata Encik Netanyahu dalam satu kenyataan.

Mereka turut membincangkan “keadaan serantau yang berubah berikutan perjanjian gencatan senjata di Lebanon, kejatuhan rejim Assad di Syria dan kelemahan kuasa Iran di rantau itu”, tambah Rumah Putih.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan Encik Biden, Encik Jake Sullivan, memberitahu agensi berita CNN pada 12 Januari bahawa pihak-pihak yang terlibat “sangat hampir” untuk mencapai perjanjian, tetapi masih perlu melepasi garisan penamat.

Beliau berkata Encik Biden juga mendapat maklumat terkini setiap hari mengenai rundingan di Doha yang menurut pegawai Israel dan Palestin bahawa beberapa kemajuan telah dicapai dalam rundingan tidak langsung antara Israel dengan Hamas sejak 9 Januari.

Encik Sullivan berkata: “Kami masih bertekad untuk memanfaatkan setiap hari yang kami ada di pejabat untuk menyelesaikan perkara ini.”

Beliau berkata masih ada peluang untuk mencapai persetujuan sebelum Encik Biden meninggalkan jawatannya, tetapi mungkin juga “Hamas, khususnya, kelihatan kekal tidak sabar”.

Semasa panggilan mereka, Encik Netanyahu juga berterima kasih kepada Encik Biden atas sokongannya dan “sokongan luar biasa dari Amerika untuk keselamatan dan pertahanan negara Israel”, kata Rumah Putih.

Israel melancarkan serangannya di Gaza selepas militan Hamas menyerbu merentasi sempadannya secara mengejut pada 7 Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan, berdasarkan pengiraan Israel.

Menurut pegawai kesihatan Palestin, serangan berterusan Israel sehingga kini telah membunuh lebih 46,000 rakyat Palestin di Gaza.

Bahkan, sebahagian besar wilayah Palestin musnah dan dicengkam oleh krisis kemanusiaan dek kurangnya bekalan bantuan kepada penduduk yang mengalami kebuluran.

Penduduk Palestin juga terpaksa hidup berpindah-randah dan kehilangan tempat tinggal ketika menyelamatkan diri daripada serangan tentera Israel.

Bakal Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance memberitahu program Fox News Sunday yang dirakamkan pada 11 Januari bahawa beliau menjangkakan perjanjian untuk pembebasan tebusan Amerika akan diumumkan pada hari-hari terakhir pentadbiran Encik Biden di Rumah Putih.

“Kami berharap akan ada perjanjian yang dicapai menjelang akhir pentadbiran Encik Biden, mungkin pada satu atau dua hari terakhirnya,” tambahnya.

Menurut Encik Vance, retorik bakal Presiden Encik Donald Trump – termasuk “neraka perlu dibayar” (mencetuskan kemarahan meluap Encik Trump jika ia berlaku) oleh Hamas – menjadikannya lebih optimistik bahawa perjanjian akan dicapai sebelum mereka memegang jawatan.

Encik Trump, penyokong tegar Israel, telah menyokong kuat matlamat Encik Netanyahu untuk memusnahkan Hamas.

Namun, beliau telah berjanji untuk membawa keamanan ke Timur Tengah, tetapi tidak menyatakan bagaimana beliau akan melaksanakannya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg