Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden: Gencatan senjata Gaza boleh kekang Iran serang Israel

Aug 14, 2024 | 12:18 PM
Ismail Haniyeh
Sepanduk pemimpin kanan Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh, yang terbunuh pada 31 Julai, dipasang di jalan raya di Teheran. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata perjanjian gencatan senjata di Gaza boleh menghalang Iran daripada menyerang Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan seorang pemimpin Hamas yang menyebabkan ketegangan serantau meningkat.

Kenyataannya dibuat selepas Iran menolak gesaan Barat agar “mengendurkan” ancaman pembalasannya terhadap Israel.

Iran dan sekutunya telah menyalahkan Israel di atas pembunuhan Encik Ismail Haniyeh ketika beliau berkunjung ke Teheran bagi menghadiri upacara pelantikan Presiden Iran yang baru, Encik Masoud Pezeshkian, pada 31 Julai.

Israel sejauh ini tidak menafikan atau mengaku bertanggungjawab di atas kematian Encik Haniyeh.

Iran berikrar membalas dendam atas kematian beliau itu, yang berlaku beberapa jam selepas serangan Israel di Beirut membunuh seorang komander kanan Hezbollah, kumpulan yang disokong Iran di Lebanon.

Ditanya sama ada gencatan senjata antara Israel dengan Hamas boleh menghalang serangan Iran, Encik Biden pada 13 Ogos berkata: “Itu jangkaan saya”.

Beliau memberitahu pemberita di New Orleans bahawa meskipun rundingan “semakin sukar”, namun beliau “tidak berputus asa”.

Setiausaha agung bagi hal ehwal politik dan pembangunan keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Rosemary DiCarlo, berkata:

“Sekitar 10 bulan sejak permulaan perang, ancaman peningkatan serantau lebih ketara, dan mengerikan, berbanding sebelum ini.”

Dalam satu kenyataan pada 12 Ogos, Amerika dan sekutu Eropahnya menggesa Iran supaya mengurangkan ketegangan.

Rumah Putih memberi amaran bahawa serangan Iran dan sekutunya mungkin berlaku minggu ini.

Amerika telah mengerahkan kapal perang dan kapal selam peluru berpandu ke rantau itu untuk menyokong Israel.

Pada 13 Ogos, Washington telah meluluskan penjualan senjata bernilai lebih AS$20 bilion ($26.3 bilion) kepada Israel termasuk jet pejuang F-15 dan hampir 33,000 peluru kereta kebal.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Nasser Kanani, mengkritik seruan Barat supaya ia menahan diri.

“Pengisytiharan oleh Perancis, Jerman dan Britain yang tidak menimbulkan bantahan terhadap jenayah antarabangsa oleh rejim Zionis dengan berani meminta Iran supaya tidak mengambil tindakan pencegahan terhadap rejim yang telah melanggar kedaulatan dan kewibawaan wilayahnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Amerika dan sekutu Eropahnya turut menggesa gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza, dengan rundingan gencatan senjata disambung semula pada 15 Ogos.

Dalam pada itu, parti-parti sayap kanan dalam gabungan pemerintah Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menentang keras sebarang gencatan senjata di Gaza. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg