Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perancis, Jerman dan UK tekankan ‘tidak boleh tangguh lagi’ gencatan senjata Gaza

Aug 12, 2024 | 7:22 PM
Penduduk Palestin mengusung jenazah saudara mereka yang terkorban dalam serangan Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Yunis, di selatan Jaluran Gaza, pada 12 Ogos.
Penduduk Palestin mengusung jenazah saudara mereka yang terkorban dalam serangan Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Yunis, di selatan Jaluran Gaza, pada 12 Ogos. - Foto EPA-EFE

PARIS: Pemimpin Perancis, Jerman dan Britain berkata “tidak boleh ada penangguhan lagi” dalam merundingkan gencatan senjata di Gaza, dan memberi amaran kepada Iran serta sekutunya supaya “jangan memburukkan lagi” konflik itu

Kenyataan bersama itu dibuat pada 12 Ogos selepas salah satu serangan paling berdarah Israel di Jaluran Gaza, yang sudah dibelenggu perang lebih 10 bulan.

“Pertempuran mesti berakhir sekarang, dan semua tebusan yang masih ditahan oleh Hamas mesti dibebaskan,” kata Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron; Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz; dan Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, dalam kenyataan bersama itu.

“Rakyat Gaza memerlukan penghantaran dan pengagihan bantuan segera dan tidak dikawal,” ujar kenyataan itu. “Tidak boleh ada penangguhan lagi.”

Mereka juga mengalu-alukan kerja “tidak kenal lelah” pengantara Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat ke arah perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Beberapa pusingan rundingan gencatan senjata di Gaza telah gagal, kecuali gencatan senjata selama seminggu pada akhir November 2023.

Pengantara antarabangsa menjemput Israel dan kumpulan Hamas menyambung rundingan ke arah perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang telah lama dinantikan, kerana pertempuran di Gaza dan pembunuhan pemimpin militan bersekutu dengan Iran menimbulkan ketegangan yang memuncak di seluruh rantau itu.

Pada 11 Ogos, Hamas menggesa Amerika, Qatar dan Mesir supaya melaksanakan rancangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dan bukannya mengadakan “lebih banyak rundingan”.

Dalam kenyataan mereka, ketiga-tiga pemimpin Eropah itu juga menggesa Iran dan sekutunya “supaya menahan diri daripada serangan yang akan meningkatkan lagi ketegangan serantau dan menjejas peluang mencapai persetujuan gencatan senjata dan pembebasan tebusan”.

“Mereka akan bertanggungjawab atas tindakan yang menjejas peluang ini untuk keamanan dan kestabilan. Tiada negara atau bangsa yang akan mendapat keuntungan daripada peningkatan kemelut di Timur Tengah,” kata ketiga-tiga pemimpin itu.

Di utara Gaza, serangan udara Israel pada 9 Ogos membunuh sekurang-kurangnya 93 orang di sebuah sekolah agama yang menempatkan penduduk Palestin, menurut pegawai awam.

Perang Gaza bermula dengan serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas selatan Israel, yang mengakibatkan kematian 1,198 orang, menurut pengiraan AFP.

Serangan balas tentera Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 39,790 orang, menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu, yang tidak memberikan butiran mengenai kematian orang awam dan militan. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg